Friday, October 31, 2025

Rasulullah SAW Enggan Solatkan Jenazah Mati Syahid

Jumaat, 9 Jamadil Akhir 1447H | Rasulullah SAW Enggan Solatkan Jenazah Mati Syahid

عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تُوُفِّيَ يَوْمَ خَيْبَرَ فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ فَتَغَيَّرَتْ وُجُوهُ النَّاسِ لِذَلِكَ فَقَالَ إِنَّ صَاحِبَكُمْ غَلَّ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَفَتَّشْنَا مَتَاعَهُ فَوَجَدْنَا خَرَزًا مِنْ خَرَزِ يَهُودَ لَا يُسَاوِي دِرْهَمَيْنِ

Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani bahawa seorang sahabat Nabi SAW meninggal dunia pada hari peperangan Khaibar. Kemudian sahabat memberitahu hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Lalu baginda bersabda: "Solatkanlah jenazah sahabat kamu itu!". Maka berubah wajah para sahabat kerana terkejut mendengar sabda Baginda. Lalu baginda menegaskan: "Sesungguhnya sahabat kalian telah mengkhianati harta rampasan perang di jalan Allah." Kemudian kami segera memeriksa barang-barangnya, dan kami menjumpai perhiasan milik orang  Yahudi yang harganya tidak sampai dua dirham. (HR Abu Daud No: 2335) Sanad Tsiqah

Pengajaran:

1.  Setiap harta yang kita miliki perlu dipastikan bersih dan halal hasil dari sumber yang benar dan baik.

2.  Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah sahabat yang mengambil harta yang bukan haknya walaupun nilainya kecil (tidak sampai 2 dirham atau lebih kurang RM 2.00).

3.  Perbuatan ghulul iaitu mengambil harta yang berkaitan dengan hak orang lain atau dengan cara menzalimi orang lain seperti rasuah, mencuri, harta rompakan, menipu atau sebarang sumber yang haram.

4.  Menurut al-Nasafi, ghulul adalah apabila seseorang mengambil sesuatu dengan sembunyi-sembunyi  ( ‘Abd Allah bin Ahmad, Tafsir al-Nasafi, h.191). Dengan kata lain segala macam bentuk pangambilan dan penyimpangan harta, seperti rasuah, penipuan, manipulasi dan mencuri, termasuk perbuatan ghulûl. Kalimah ghulul secara umum digunakan untuk setiap pengambilan harta oleh seseorang secara khianat, atau tidak dibenarkan dalam tugas yang diamanahkan kepadanya.

5.  Larangan mengambil harta yang bukan hak ini walaupun nilainya kecil sehingga menyebabkan Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan, enggan mendoakan untuk pengampunan dan keselamatan untuk jenazah tersebut menunjukkan baginda sangat marah dengan perbuatan itu.

6.  Jika nilai harta yang sekecil itu Rasulullah SAW tidak mahu menyembahyangkan jenazah tersebut apa lagi kalau jumlah yang lebih besar.

7.  Hadis ini adalah amaran tegas terhadap ketidakjujuran dalam urusan harta awam. Perkara kecil di mata manusia boleh menjadi sebab besar bagi azab di akhirat, jika melibatkan hak bersama.

Thursday, October 30, 2025

Makan Dari Sumber Haram

Khamis, 8 Jamadil Akhir 1447H  |  Makan Dari Sumber Haram

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلَّا كَانَتْ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Daripada Kaab bin Ujrah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah daging manusia tumbuh dari barang yang haram kecuali neraka lebih berhak atasnya (HR Tirmizi No: 558) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Setiap makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam mulut, pastikan ianya dari sumber yang halal dan baik.

2.  Makanan dan minuman daripada sumber yang haram seperti hasil mencuri, rasuah, riba, menipu dalam jual beli, menindas, salah guna kuasa, membuat tuntutan palsu, makan harta anak yatim tanpa hak akan menumbuhkan daging pada tubuh badan kita. Apa sahaja sumber yang batil adalah diharamkan dan berdosa.

3.  Daging yang tumbuh hasil daripada makanan dan minuman yang haram tidak layak masuk ke syurga melainkan mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

4.  Imam al-Ghazali menyatakan bahawa makanan haram akan menggelapkan hati dan menyebabkan doa tidak diterima dan amalnya tertolak.

5.  Ketahuilah, hasil yang diperolehi secara salah adalah haram dan tidak berkat. Sanggupkah kita memberi makan dan minum kepada anak isteri serta keluarga kita dari sumber yang haram? Ingatlah, memakan makanan dari sumber yang haram maka nerakalah lebih utama baginya.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ

Maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh dari yang haram maka Neraka lebih layak baginya.”(HR at-Thabrani dalam Al-Kabir, 19/136; Sahihul Jami’, 3594.)

Ibnu Mas’ud berkata: “Perbuatan Shuht” adalah seseorang menyelesaikan hajat saudaranya maka orang tersebut memberikan hadiah kepadanya lalu dia menerimanya. Lalu dengan harta haram itu ia makan, berpakaian, berkendaraan, membeli rumah, atau menyewanya, melengkapkan perabot didalamnya serta mengenyangkan perutnya dengan yang haram tersebut. Nerakalah tempat yang layak baginya.


Wednesday, October 29, 2025

Pemberi, Penerima dan Pengantara Rasuah Dilaknat

Rabu, 7 Jamadil Akhir 1447H  | Pemberi, Penerima dan Pengantara Rasuah Dilaknat

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا

Daripada Thauban RA berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya” (HR Ahmad No: 22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW melaknat mereka yang terlibat dengan rasuah sama ada pemberi, penerima mahupun pengantara atau orang tengah.

2.  Para ulama’ sebahagiannya menafsirkan maksud dilaknat dengan makna ia termasuk dalam dosa besar. Imam al-Zahabi memasukkan rasuah ini dalam salah satu daripada dosa-dosa besar melalui kitabnya al-Kabair.

3.  Mereka yang terlibat dengan rasuah sama ada secara langsung mahupun tidak langsung termasuk orang yang menjadi pemudah cara atau orang tengah adalah dilaknat dan mereka akan menanggung dosa dan balasan di akhirat.  Kaedah fiqh menyatakan:

الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat.

4.  Imam Ibnul Arabi mengatakan: Rasuah adalah setiap suatu pemberian yang diberikan untuk membeli dan membayar seseorang yang memiliki jawatan untuk membantunya memiliki sesuatu yang tidak halal baginya.

5.  Pengharaman rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya) (Surah al-Maidah Ayat: 42)

Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)

Said bin Jubair menghuraikan ayat ini dengan mengatakan bahawa makna أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ adalah rasuah kerana rasuah adalah memakan harta yang diharamkan Allah.

6.  Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, rasuah bukan hanya jenayah kewangan tetapi pengkhianatan terhadap amanah dan merosakkan aqidah, kerana menunjukkan hilangnya rasa takut kepada Allah.


Tuesday, October 28, 2025

Pelaku Rasuah Dilaknat Allah dan Rasul

Selasa, 6 Jamadil Akhir 1447H  |   Pelaku Rasuah Dilaknat Allah  dan Rasul

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Daripada Abdullah bin 'Amr RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:"Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah" (HR Tirmizi No: 1337) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Amalan memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan keji bukan hanya haram tetapi termasuk dalam dosa besar dan pelakunya dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

2.  Rasuah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219)

3.  Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun dan sebagainya.

4.  Rasuah bukan sekadar salah laku moral, tetapi merupakan pengkhianatan terhadap amanah masyarakat dan agama. Rasuah membawa kepada ketidakadilan, kezaliman, penindasan dan keruntuhan sistem masyarakat. Rasuah menyekat hak orang lain dan mengangkat yang tidak layak.

5.  Rasulullah SAW juga mengancam neraka ke atas mereka yang terlibat.

الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِي النَّارِ

Maksudnya: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah berada dalam neraka.” (HR al-Tabarani dalam al-Kabir No: 4415) Status: Hadis Sahih

6.  Setiap pemberian atau penerimaan sesuatu dengan jalan yang batil atau salah adalah dosa besar dan dilarang. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat: 188).

7.  Pemberi dan penerima rasuah akan dijauhkan dari Rahmat, kasih sayang dan keampunan Allah. Ia adalah amaran keras, kerana tidak semua dosa dilaknat oleh Allah, tetapi rasuah termasuk di antaranya. Jangan sekali-kali terlibat dengan Rasuah yang mengakibatkan kita dilaknat oleh Allah dan Rasul.


Monday, October 27, 2025

Jangan Ambil Yang Bukan Hak

Isnin, 5 Jamadil Akhir 1447H  |  Jangan Ambil Yang Bukan Hak

عَنْ أَبِي حُمَيْدٍ السَّاعِدِيِّ قَالَ اسْتَعْمَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا مِنْ الْأَسْدِ يُقَالُ لَهُ ابْنُ اللُّتْبِيَّةِ قَالَ عَمْرٌو وَابْنُ أَبِي عُمَرَ عَلَى الصَّدَقَةِ فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا لِي أُهْدِيَ لِي قَالَ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ وَقَالَ مَا بَالُ عَامِلٍ أَبْعَثُهُ فَيَقُولُ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِيَ لِي أَفَلَا قَعَدَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ أَوْ فِي بَيْتِ أُمِّهِ حَتَّى يَنْظُرَ أَيُهْدَى إِلَيْهِ أَمْ لَا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَنَالُ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْهَا شَيْئًا إِلَّا جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى عُنُقِهِ بَعِيرٌ لَهُ رُغَاءٌ أَوْ بَقَرَةٌ لَهَا خُوَارٌ أَوْ شَاةٌ تَيْعِرُ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى رَأَيْنَا عُفْرَتَيْ إِبْطَيْهِ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ مَرَّتَيْنِ

Daripada Abu Humaid As Sa'idi dia berkata, "Rasulullah SAW mengambil seorang lelaki dari suku Al-Asad bernama Ibnu Luthbiyah sebagai pekerja. Amru dan Ibnu Abu 'Umar berkata (Nabi SAW mengupah lelaki tersebut) untuk mengumpulkan harta zakat. Ketika lelaki tersebut menyerahkan zakat yang dikutip, dia berkata, "Zakat ini kuserahkan kepada kamu  (Rasulullah), dan ini pemberian orang kepadaku sebagai hadiah." Abu Humaid berkata, "Rasulullah SAW lalu naik ke atas mimbar dan berkhutbah, setelah baginda memuji-muji Allah, baginda menyatakan: "Adakah patut seorang petugas yang aku tugaskan untuk mengurus suatu tugas, dia berkata, 'Ini untuk kamu, dan ini hadiah orang kepadaku!.' Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibu bapanya menunggu orang menghantarkan hadiah kepadanya? “Demi (Allah), yang jiwaku berada di tanganNya. Tidaklah seseorang mengambil sesuatu daripadanya (harta secara tidak halal), melainkan dia akan datang pada hari Kiamat sambil memikul ditengkuknya. Jika (yang diambil) seekor unta, maka (unta itu) bersuara. Jika (yang diambil) seekor lembu, maka (lembu itu pun) bersuara. Atau jika (yang diambil) seekor kambing, maka (kambing itu pun) bersuara." Kemudian baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami melihat putih kedua ketiaknya, kemudian baginda bersabda: 'Ya Allah, telah aku sampaikan.' Baginda mengatakannya dua kali." (HR Muslim No: 3413) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap pekerja yang diupah melakukan suatu pekerjaan, menjadi kewajipan kepadanya melaksanakan pekerjaan tersebut dengan amanah bukan mengkhianatinya.

2.  Pekerja yang amanah dan jujur hanya akan mengambil upah yang diberi dan tidak sekali-kali mengkhianatinya.

3.  Sesiapa yang mengambil sesuatu yang lain daripada upah yang dibayar kepadanya, akan dipersoal di hari kiamat.

4.  Hadiah kepada penjawat awam dalam konteks ini dianggap sebagai rasuah atau salah guna kuasa, kerana tidak akan diberikan kepadanya jika dia bukan seorang yang berjawatan.

5.  Menerima sebarang bentuk hadiah lebih-lebih lagi daripada orang yang berurusan dengan bidang kerjanya adalah dilarang kerana dibimbangi ada tujuan lain.

6.  Rasulullah SAW mengingatkan bahawa setiap harta kita akan dipersoal dari mana sumbernya dan kemana dibelanjakan:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ …… وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ

Maksudnya: “Tidak berganjak dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya - tentang hartanya dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan” (HR Tirmizi No: 2341).

Sebagai warga negara yang bertanggungjawab dan memiliki semangat patriotik dan cintakan negara, pastikan setiap kita memelihara amanah yang diberi. Pastikan juga harta yang kita perolehi adalah yang bersih dan halal. Jangan sesekali mengambil dan menerima yang bukan hak kita.


Sunday, October 26, 2025

Pesanan Buat Musafir

Ahad, 4 Jamadil Awal 1447H  |  Pesanan Buat Musafir

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلاً قَالَ : يَا رَسُولَ اللهِ  إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي  قَالَ : عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ  وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ  فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ  قَالَ : اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ  وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak bermusafir. Maka berilah wasiat kepadaku. Baginda bersabda: Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki di tempat yang tinggi. Kemudian ketika orang itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya: Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya, dan mudahkanlah perjalanannya.” (HR Tirmizi No: 3445) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ramai dalam kalangan kita mengambil kesempatan untuk bermusafir sama ada bercuti rehat bersama keluarga mahupun menziarahi ahli keluarga pada hujung minggu juga cuti sekolah. Sebelum bermusafir, mintalah nasihat daripada orang yang soleh atau berilmu. Wasiat yang baik akan menjadi panduan sepanjang perjalanan.

2.  Musafir itu satu bentuk ibadah jika niatnya baik, seperti menuntut ilmu, ziarah, berniaga secara halal, atau berjihad. Maka perjalanan itu perlu disertai dengan amalan sunnah dan adab Islam.


3.  Antara pesanan Rasulullah SAW kepada orang yang ingin bermusafir:

a.  Sentiasa bertaqwa kepada Allah. Takwa adalah bekalan utama dalam setiap keadaan, termasuk ketika bermusafir, kerana ia melindungi kita daripada dosa dan maksiat.

b.  Apabila menaiki tempat yang tinggi hendaklah bertakbir.

4.  Syeikh al-Mubarakfuri yang mensyarahkan hadis ini menyatakan ia merupakan pesanan supaya orang yang bermusafir itu:

a.  Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.

b.  Sentiasa takut dan menjaga diri daripada melakukan maksiat kepada-Nya.

c.  Mengingati kebesaran Allah SWT dan bersyukur dengan segala kurniaan-Nya (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/406)

5.  Bagi kita yang mengetahui ada ahli keluarga atau sahabat yang akan bermusafir, doakanlah mereka dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ  وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

Maksudnya: “Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya (cepat sampai ke destinasi), dan mudahkanlah perjalanannya (jauh daripada bahaya juga gangguan)”


Saturday, October 25, 2025

Rasulullah SAW Enggan Solatkan Jenazah Berhutang

Sabtu, 3 Jamadil Akhir  | Rasulullah SAW Enggan Solatkan Jenazah Berhutang

عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلِّ عَلَيْهَا قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قِيلَ نَعَمْ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ

Daripada Salamah bin Akwa` RA bahawa dia berkata: “Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Adakah dia mempunyai hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu harta?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Rasulullah, solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW, “Adakah dia mempunyai hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu harta (untuk membayar hutang)?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Adakah dia mempunyai hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah berkata: “Mohon solatkan ke atas jenazah ini wahai Rasulullah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.” (HR Bukhari No: 2286) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hutang adalah perkara penting yang perlu diambil berat. Hutang yang belum diselesaikan boleh menyebabkan urusan akhiratnya terganggu, termasuk dari aspek penghormatan ke atas jenazahnya.


2.  Setiap hutang yang dibuat perlu dijelaskan dengan segera, sama ada hutang kepada individu mahupun hutang pada bank atau organisasi.

3.  Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah orang yang berhutang sehinggalah ada yang menjelaskan hutang tersebut. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tindakan Nabi SAW adalah untuk mendidik dan menakutkan umat tentang kesan buruk hutang, bukan kerana jenazah itu tidak layak disolatkan.

4.  Berusahalah sedaya upaya mengelakkan diri daripada berhutang kecuali diyakini mampu untuk membayarnya semula.

5.  Bagi orang yang berhutang, pastikan hutang ditulis dan dimaklumkan kepada ahli waris agar dapat diselesaikan daripada harta pusaka yang ditinggalkan apabila berlaku kematian kepada penghutang.

6.  Pentingnya perancangan kewangan sebelum mati. Muslim digalakkan membuat wasiat dan meninggalkan harta yang cukup untuk melangsaikan hutang jika ada.


Friday, October 24, 2025

Sebaik-baik Pakaian

Jumaat, 2 Jamadil Awal 1447H  |  Sebaik-baik Pakaian

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: البِسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبِيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ، وَإِنَّ خَيْرَ أَكْحَالِكُمْ الإِثْمِدُ: يَجْلُو الْبَصَرَ، وَيُنْبِتُ الشَّعَرَ

Daripada Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Pakailah pakaian berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian kamu, dan kafankanlah orang-orang mati kamu dengannya. Dan sebaik-baik celak kamu ialah al-Ithmid, kerana ia mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata (rambut)." (HR Abu Daud No: 3878) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam menganjurkan kesederhanaan dalam berpakaian, dan warna putih adalah sunnah yang terbaik.

2.  Pakaian berwarna putih adalah sebaik-baik pakaian kerana ia melambangkan kesucian dan kebersihan serta tidak melambangkan sesuatu yang berlebihan, warna  sederhana amat sesuai dengan adab tawaduk dalam Islam.

3.  Menggunakan kain kafan warna putih untuk jenazah melambangkan kesederhanaan dan kesucian dalam menghadap Tuhan.

4.  Penjagaan diri termasuk penggunaan celak seperti ithmid juga dianjurkan. Ithmid adalah sejenis batu mineral hitam kemerah-merahan, dihancurkan halus dan digunakan sebagai celak mata.

5.  Celak Ithmid boleh memberi kesan kesihatan kepada mata jika digunakan dengan betul, mampu mencerahkan pandangan mata dan membantu menumbuhkan bulu mata atau rambut halus di sekeliling mata.


Thursday, October 23, 2025

Kemaskan Janggut dan Misai

Khamis, 1 Jamadil Awal 1447H  |  Kemaskan Janggut dan Misai

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ؛ وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ إِذَا حَجَّ أَوِ اعْتَمَرَ قَبَضَ عَلَى لِحْيَتِهِ، فَمَا فَضَلَ أَخَذَهُ

Daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: "Bezakan diri kamu daripada orang musyrik; panjangkan janggut dan pendekkan misai. Dan adalah Ibn ‘Umar,  apabila beliau menunaikan haji atau umrah, beliau akan menggenggam janggutnya, dan apa yang melebihi genggamannya, beliau akan memotongnya." (HR Bukhari No: 5892) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memelihara janggut dan mencukur misai adalah sunnah Nabi Muhammad SAW.

2.  Membiarkan janggut tumbuh dan tidak dicukur atau dipendekkan secara melampau serta pendekkan misai sehingga tidak menutupi bibir  bertujuan untuk membezakan penampilan orang Islam dengan orang musyrik (pada waktu itu orang musyrik mencukur janggut dan membiarkan misai panjang).

3.  Menggenggam janggutnya, dan memotong bahagian yang melebihi genggamannya, semasa haji atau umrah menunjukkan bahawa memelihara janggut tidak bermaksud membiarkannya tidak terurus, tetapi dikemaskan tanpa mencukurnya keseluruhan.

4.  Hikmah arahan ini bagi kaum lelaki Muslim untuk membezakan dari amalan agama lain yang mencukur janggut serta menggalakkan kebersihan dan ketertiban. 

5.  Dalam Mazhab Syafie, hukum memelihara janggut adalah sunat muakkad dan mencukurnya makruh kecuali jika ada keperluan syar‘ie.


Wednesday, October 22, 2025

Merapikan Rambut

Rabu, 30 Rabiul Akhir 1447H  | Merapikan Rambut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai rambut, maka hendaklah dia memuliakannya (menjaganya dengan baik)” (HR Abu Daud No: 4163) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Islam menuntut umatnya menjaga kebersihan dan penampilan yang kemas, termasuk dalam penjagaan rambut.

2.  Memuliakan rambut bermaksud menjaga kebersihan rambut, menyikat dan merapikannya, memotong rambut jika perlu serta menghindari penampilan kusut, kotor, atau menjijikkan.

3.  Rambut adalah amanah dan sebahagian dari keindahan fizikal, maka wajib dijaga dan tidak diabaikan. Penjagaan rambut merupakan adab seorang Muslim, kerana Islam adalah agama kebersihan dan keindahan. Sesungguhnya Allah menyukai keindahan. Hadis Nabi SAW:

إِنَّ اللهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan menyukai kecantikan” (HR Muslim No: 164)

4.  Hadis ini memberikan mesej yang jelas bahawa menjaga penampilan, terutama rambut, adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Hal ini mencerminkan akhlak, kesopanan, dan kebersihan yang amat ditekankan dalam kehidupan seharian seorang Muslim.


Tuesday, October 21, 2025

Elak Kagum Dengan Penampilan Diri

Selasa, 20 Rabiul Akhir 1447H  |  Elak Kagum Dengan Penampilan Diri

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي فِي حُلَّةٍ، تُعْجِبُهُ نَفْسُهُ، مُرَجِّلٌ جُمَّتَهُ، إِذْ خَسَفَ اللَّهُ بِهِ، فَهُوَ يَتَجَلْجَلُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Hurairah RA Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Ketika seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai pakaian yang cantik, yang menyebabkan dia kagum dengan dirinya sendiri, dan dia merapikan rambutnya (bergaya), maka Allah menenggelamkannya ke dalam bumi. Maka dia terus terjerumus (tergelincir, tenggelam) ke dalam bumi sehingga hari kiamat.” (HR Bukhari No: 5789) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Takabur dan ujub adalah dosa besar, walaupun tidak dizahirkan secara lisan.

2.  Penampilan diri yang baik tidak salah, tetapi hendaklah disertai dengan sifat rendah hati dan kesyukuran kepada Allah.

3.  Hadis ini menceritakan tentang seorang lelaki yang berjalan dengan penuh rasa kagum terhadap diri sendiri (ujub), dengan pakaian yang cantik dan kemas. Ia seolah-olah memperagakan penampilannya untuk meraih pujian atau merasa lebih hebat daripada orang lain. Inilah penyakit ujub yang akan ditimpa azab di dunia dan berterusan di akhirat.

4.  Islam tidak melarang berpakaian cantik, tetapi melarang bermegah dan menyombong diri kerana pakaian.

5.  Ulama bersepakat bahawa takabur, ujub, dan riak adalah penyakit hati yang merosakkan amal dan membawa kemurkaan Allah.

6.  Muslim perlu berhati-hati dengan penyakit hati yang boleh membinasakan walaupun amalannya kelihatan baik secara zahir.


Monday, October 20, 2025

Memelihara Aurat Sesama Jantina

Isnin, 28 Rabiul Akhir 1447H  |  Memelihara Aurat Sesama Jantina

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ وَاحِدٍ

Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: "Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, dan wanita tidak boleh melihat aurat wanita lain. Lelaki juga tidak boleh bersentuhan badan dengan lelaki lain dalam satu kain, dan wanita tidak boleh bersentuhan dengan wanita lain dalam satu kain." (HR Muslim No 338) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menjaga aurat adalah kewajipan bagi setiap Muslim bukan hanya antara lelaki dan Wanita, termasuk dalam kalangan sesama jantina.

2.  Larangan bagi lelaki melihat aurat lelaki lain, dan wanita melihat aurat wanita lain, kecuali dalam keadaan darurat (seperti rawatan perubatan) dan mengikut batas yang dibenarkan oleh syarak.

3.  Larangan bersentuhan badan secara langsung atau berada dalam keadaan yang boleh menimbulkan syahwat antara sesama jantina bertujuan menutup jalan kepada fitnah, gangguan seksual, atau kecenderungan tidak sihat sesama jantina.

4.  Islam menutup segala pintu yang boleh membawa kepada maksiat atau kelakuan menyimpang. Pergaulan sesama jantina walaupun sesama jenis tetap perlu dijaga untuk mengelakkan jenayah homoseksual juga lesbian.

5.  Hadis ini menjadi panduan penting dalam menjaga maruah, aurat, dan kehormatan sesama Muslim. Ia menekankan kepentingan menjaga batasan fizikal walaupun dalam kalangan jantina yang sama, sebagai satu usaha menghindari maksiat serta menjaga kesucian masyarakat Islam.


Sunday, October 19, 2025

Bersederhana Dalam Makan dan Minum

Ahad, 27 Rabiul Akhir 1447H  | Bersederhana Dalam Makan dan Minum

عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Daripada al-Miqdam bin Ma‘dikarib RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada satu bekas yang lebih buruk diisi oleh anak Adam daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Jika dia mesti (mengisi perutnya), maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya, dan satu pertiga untuk nafasnya." (HR Tirmizi No: 2380) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam menggalakkan kesederhanaan dalam makan  dan minum. Makan berlebihan boleh membawa mudarat kepada tubuh badan juga akan menyebabkan kita malas, mengantuk serta lalai.

2.  Larangan melampau dalam makan dan minum. Nabi SAW mencela perbuatan memenuhi perut secara berlebihan, dan mengumpamakannya seperti mengisi bekas paling buruk jika berlebihan.

3.  Perut yang terlalu penuh membawa kepada kemalasan, penyakit, dan keras hati. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din menyatakan: "Kenyang yang berlebihan adalah akar segala penyakit hati dan jasad."

4.  Nabi SAW memberikan kadar ideal keperluan perut untuk menjaga kesihatan dan keseimbangan tubuh iaitu ⅓ untuk makanan, ⅓ untuk minuman dan ⅓ untuk pernafasan.

5.  Nafsu makan yang tidak dikawal menjadi punca kepada penyakit. Islam menyeru supaya kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

6.  Orang yang mengawal perutnya, akan mudah menjaga lidah, mata, dan hatinya kerana kawalan nafsu bermula dari kawalan makanan

7.  Sunnah Rasulullah SAW menekankan kesederhanaan dalam pemakanan, dan ini telah terbukti secara saintifik membantu mencegah pelbagai penyakit kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi, dan diabetes.


Saturday, October 18, 2025

Larangan Makan dan Minum Berdiri

Sabtu, 26 Rabiul Akhir 1447H  |   Larangan Makan dan Minum Berdiri

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا قَالَ قَتَادَةُ: فَقُلْنَا: فَالْأَكْلُ؟ فَقَالَ: ذَاكَ أَشَرُّ، أَوْ أَخْبَثُ

Daripada Anas RA bahawa Nabi SAW melarang seseorang lelaki minum sambil berdiri. Kata Qatadah: Maka kami bertanya, bagaimana pula dengan makan? Baginda menjawab: "Itu lebih buruk atau lebih keji." (HR Muslim No: 2024) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Duduk ketika makan dan minum adalah amalan sunnah yang dituntut kerana ia lebih sopan dan selamat.

2.  Nabi SAW melarang perbuatan minum dan makan sambil berdiri. Menurut Imam Nawawi, larangan ini termasuk dalam bab adab, bukan bermaksud haram tetapi makruh tanzih (tidak disukai, tapi tidak berdosa jika dilakukan).

3.  Imam al-San'ani menyebutkan dalam Subul al-Salam, larangan ini bertujuan untuk mendidik adab kesopanan, menghindari mudarat kesihatan serta menunjukkan tawaduk dan ketertiban dalam adab makan dan minum.

4.  Dari sudut kesihatan, pakar perubatan menyatakan minum sambil berdiri boleh menyebabkan aliran air ke perut menjadi terlalu cepat, yang mengganggu fungsi sistem pencernaan.

5.  Makan sambil berdiri lebih buruk daripada minum berdiri. Dalam keadaan tertentu misalnya tempat kotor, ruang sempit, tiada tempat duduk, minum berdiri diharuskan. Dalam hadis lain, Nabi SAW pernah minum sambil berdiri.

6.  Hadis ini menekankan keutamaan adab dalam hal makan dan minum, menunjukkan bahawa Islam mengajar umatnya kesopanan dan penghormatan terhadap nikmat walaupun dalam perkara yang kelihatan kecil.


Friday, October 17, 2025

Makan dan Minum Dengan Tangan Kanan

Jumaat, 25 Rabiul Akhir 1447H  |  Makan dan Minum Dengan Tangan Kanan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ، وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ 

Daripada Ibn ‘Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya, dan apabila dia minum, maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya." (HR Muslim No: 2020) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara adab untuk makan dan minum adalah menggunakan tangan kanan, jika dilakukan dengan niat mengikuti sunnah akan mendatangkan pahala.

2.  Kita dilarangan menggunakan tangan kira untuk makan dan minum kerana ia adalah perbuatan Syaitan.

3.  Ulama fiqh menyatakan bahawa jika seseorang tidak mampu menggunakan tangan kanan kerana sakit, lumpuh, atau uzur syar‘ie, maka tidak mengapa makan atau minum dengan tangan kiri.

4.  Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyebut bahawa larangan menggunakan tangan kiri bukan sekadar adab, tetapi membezakan akhlak seorang mukmin dengan syaitan dan orang fasik.

5.  Hadis ini menunjukkan bahawa makan dan minum dengan tangan kanan adalah sunnah yang dituntut, dan ia merupakan satu cara membezakan diri kita daripada syaitan serta menghidupkan sunnah Nabi SAW. Ia mendidik kita agar berdisiplin, beradab, dan taat kepada panduan syariat dalam setiap aspek kehidupan, sekecil mana pun perbuatan itu.


Thursday, October 16, 2025

Ganjaran Memberi Pinjaman

Khamis, 24 Rabiul Akhir 1447H  | Ganjaran Memberi Pinjaman

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُقْرِضُ مُسْلِمًا قَرْضًا مَرَّتَيْنِ، إِلَّا كَانَ كَصَدَقَتِهَا مَرَّةً

Daripada Abdullah bin Masud RA Nabi SAW bersabda: “Tidak ada seorang Muslim yang memberi pinjaman kepada Muslim lain sebanyak dua kali, melainkan ia (pahalanya) seperti bersedekah sekali.” (HR Ibnu Majah No: 2430) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan adalah amalan terpuji kerana sanggup mengorbankan kesenangan diri.

2.  Memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan, jika dilakukan dua kali, maka ganjarannya seolah-olah memberi sedekah sekali. Ia menunjukkan bahawa memberi pinjaman kepada yang memerlukan dianggap sebagai ibadah besar dan mendapat pahala sedekah, selagi tidak disertai riba.

3.  Pinjaman diberi ganjaran seperti sedekah kerana ia membantu secara langsung orang dalam kesempitan, diberi tanpa faedah dan hanya untuk membantu bukan meraih keuntungan.

4.  Memberi pinjaman dua kali menyamai pahala sedekah sekali ganjarannya kerana pinjaman tetap perlu dibayar balik, sedangkan sedekah tidak.

5.  "Pinjaman dua kali" dalam hadis ini mengisyaratkan nilai kesabaran dan kesediaan untuk membantu lebih daripada sekali walaupun mungkin orang tersebut pernah gagal melunaskan hutang pada kali pertama.


Wednesday, October 15, 2025

Permudahkan Urusan Orang

Rabu, 23 Rabiul Akhir 1447H  | Permudahkan Urusan Orang

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ رَجُلًا كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، أَتَاهُ الْمَلَكُ لِيَقْبِضَ رُوحَهُ، فَقِيلَ لَهُ: هَلْ عَمِلْتَ مِنْ خَيْرٍ؟ قَالَ: مَا أَعْلَمُ. قِيلَ لَهُ: انْظُرْ، قَالَ: مَا أَعْلَمُ شَيْئًا، غَيْرَ أَنِّي كُنْتُ أُبَايِعُ النَّاسَ فِي الدُّنْيَا، وَأُجَازِيهِمْ، فَأُنْظِرُ الْمُوسِرَ، وَأَتَجَاوَزُ عَنِ الْمُعْسِرِ، فَأَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ

Daripada Huzaifah bin Yaman RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ada seorang lelaki dalam kalangan umat sebelum kamu, didatangi oleh malaikat untuk mencabut rohnya. Maka ditanya kepadanya: ‘Adakah kamu pernah melakukan sebarang kebaikan?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu.’ Malaikat berkata kepadanya: ‘Cuba ingat kembali.’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu apa-apa kebaikan melainkan aku biasa berniaga dengan manusia di dunia. Aku memberi kelonggaran kepada orang yang senang, dan memberi tempoh kepada orang yang susah.’ Lalu Allah memasukkannya ke dalam syurga.” (HR Bukhari No: 3451) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah amat menghargai mereka yang mempermudahkan urusan orang lain, terutamanya yang dalam kesusahan, bersikap lembut dan bertimbang rasa dalam urusan dunia.

2.  Sikap memberi tempoh kepada orang yang susah dan tidak menekan pelanggan menunjukkan rahmat dan belas kasihan yang sangat dihargai.

3.  Orang yang memudahkan urusan orang lain di dunia walaupun kecil nescaya Allah akan memudahkan urusannya di akhirat.

4.  Lelaki dalam hadis ini tidak menyedari bahawa ada amalan yang kecil  yang diamalkan dalam hidupnya dalam berurusan dengan manusia lain boleh menjadi sebab masuk Syurga iaitu memberi kelonggaran kepada orang yang berurusan dengannya.

5.  Hadis ini memperlihatkan kemuliaan akhlak dalam jual beli, di mana sifat lembut, pemaaf dan tidak berkira adalah antara ciri-ciri utama orang yang disayangi Allah.

6.  Hadis ini mengajar kita agar tidak hanya mencari keuntungan dalam berurusan, tetapi juga menyemai nilai kemanusiaan, keihsanan, sabar dan rahmat dalam semua urusan.


Tuesday, October 14, 2025

Ihsan Kepada Penghutang

Selasa, 22 Rabiul Akhir 1447H  |  Ihsan Kepada Penghutang

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ لَهُ، أَظَلَّهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تَحْتَ ظِلِّ عَرْشِهِ، يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW: "Sesiapa yang memberi tempoh kepada orang yang dalam kesusahan (untuk membayar hutang), atau mengurangkan sebahagian daripadanya, maka Allah akan menaunginya pada hari kiamat di bawah naungan ‘Arasy-Nya, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya." (HR Tirmizi No: 1306) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Melanjutkan tempoh pembayaran hutang bagi orang yang tidak mampu membayar tepat pada masanya juga menghapuskan sebahagian atau keseluruhan hutang  kepada orang yang berhutang adalah akhlak terpuji yang amat digalakkan dalam Islam, khususnya ketika seseorang benar-benar menghadapi kesempitan hidup.

2.  Orang yang memiliki sifat ini akan mendapat naungan di bawah ‘Arasy Allah pada Hari Kiamat kelak, hari di mana matahari terlalu dekat di kepala dan manusia dalam ketakutan, dan tiada tempat perlindungan kecuali naungan yang Allah berikan kepada hamba-hamba pilihan-Nya.

3.  Islam sangat menekankan sikap ihsan dalam urusan kewangan, termasuk kepada penghutang. Memahami keadaan orang lain dan meringankan beban mereka adalah sebahagian daripada taqwa dan kasih sayang sesama manusia.

4.  Memberi tangguh, mengurangkan atau memaafkan hutang kepada orang yang tidak mampu bayar hutang dalam waktunya, bukan hanya meringankan orang lain, tetapi sebenarnya pelaburan besar untuk akhirat.

5.  Bagi penghutang yang berkemampuan untuk membayar, perlu segera melunaskannya. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik membayar hutang.” (HR Bukhari No: 2305) Status Hadis Sahih


Monday, October 13, 2025

Ganjaran Menyediakan Sumber Air

Isnin, 21 Rabiul Akhir 1447H  |  Ganjaran Menyediakan Sumber Air

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ حَفَرَ مَاءً لَمْ تَشْرَبْ مِنْهُ كَبِدٌ حَرَّى مِنْ جِنٍّ وَلَا إِنْسٍ وَلَا طَائِرٍ، إِلَّا آجَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Jabir bin Abdullah RA Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menggali sumber air (seperti telaga) dan daripadanya diminum oleh makhluk yang kehausan sama ada jin, manusia atau burung maka Allah akan memberi ganjaran pahala kepadanya pada hari kiamat." (HR Khuzaimah No: 1292) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menyediakan air sama ada dengan menggali perigi, menyediakan saliran air, membina paip atau wakaf air,  termasuk dalam amal soleh yang besar ganjarannya dan menjadi amal jariah buatnya walaupun selepas kematian.

2.  Memberi air kepada makhluk adalah antara sedekah yang utama kerana ia keperluan asas semua kehidupan.

3.  Kita dianjurkan berbuat baik bukan hanya kepada manusia, tetapi juga kepada haiwan, tumbuhan juga jin. Setiap nyawa yang diselamatkan atau dibantu, walau bukan manusia, dikira sebagai amalan soleh.

4.  Islam menekankan belas kasihan bukan hanya kepada manusia, tetapi kepada semua makhluk hidup.

5.  Hadis ini menggambarkan luasnya ganjaran kebaikan dalam Islam, termasuk memberi manfaat kepada haiwan dan makhluk lain. Menggali perigi atau menyediakan sumber air bukan sahaja memenuhi keperluan makhluk lain, bahkan ia menjadi pahala berterusan hingga akhirat.


Sunday, October 12, 2025

Amal Kebajikan Diganjari Kebaikan

Ahad, 20 Rabiul Akhir 1447H  |  Amal Kebajikan Diganjari Kebaikan

عن أم سلمة أم المؤمنين  قالَ, قالَ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَالصَّدَقَةُ خَفِيًّا تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ زِيَادَةٌ فِي الْعُمُرِ، وَكُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ، وَأَهْلُ الْمَعْرُوفِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ فِي الْآخِرَةِ، وَأَهْلُ الْمُنْكَرِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْمُنْكَرِ فِي الْآخِرَةِ

Daripada Ummu Salamah, Ummul Mukminin RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Amalan-amalan kebajikan dapat menghindarkan daripada kecelakaan yang buruk, dan sedekah yang diberikan secara sembunyi dapat meredakan kemurkaan Allah. Menyambung silaturahim pula dapat memanjangkan umur. Setiap kebaikan adalah satu sedekah. Orang-orang yang melakukan kebaikan di dunia adalah juga orang-orang yang dikenali dengan kebaikan di akhirat, dan orang-orang yang biasa melakukan kejahatan di dunia akan juga menjadi ahli kejahatan di akhirat." (HR Tobrani No: 6086) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Perbuatan baik seperti membantu orang lain, sedekah, meringankan beban, dan memberi manfaat kepada orang, akan menjadi asbab turunnya Rahmat Allah serta mampu menghindar bala, musibah dan penutup kepada kesudahan yang buruk.

2.  Sedekah yang dilakukan secara rahsia menunjukkan keikhlasan dan jauh dari riyak. Ia dapat menghapuskan dosa dan memadamkan kemurkaan Allah.

3.  Menghubungkan silaturrahim keluarga boleh membawa keberkatan umur, ketenangan hidup, terpelihara dari keburukan dan memperoleh rezeki yang luas.

4.  Setiap kebaikan adalah sedekah termasuk memberi senyuman, menolong orang, menasihati, atau menyingkirkan gangguan dari jalan.

5.  Orang yang biasa berbuat baik di dunia akan mendapat tempat yang baik, ganjaran dan kemuliaan di akhirat.

6.  Orang yang melakukan kejahatan di dunia tanpa bertaubat, akan mendapat balasan kejahatan di akhirat kecuali mendapat keampunan Allah.

7.  Marilah kita menjadi orang yang suka berbuat baik, walaupun kecil. Jauhi maksiat dan dosa, kerana ia memberi kesan akhirat.




Saturday, October 11, 2025

Sedekah Lindungi Diri Dari Api Neraka

Sabtu, 19 Rabiul Akhir 1447H  |  Sedekah Lindungi Diri Dari Api Neraka

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ الطَّائِيِّ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَسْتَتِرَ مِنَ النَّارِ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، فَلْيَفْعَلْ

Daripada Adi bin Hatim at-To’I, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa di antara kamu yang mampu melindungi dirinya daripada api neraka walaupun dengan separuh biji tamar, maka lakukanlah." (HR Bukhari No: 6195) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Nilai sedekah tidak terletak pada jumlah, tetapi pada keikhlasan dan niat memberi. Separuh biji tamar adalah simbol kepada sesuatu yang sangat kecil, namun tetap diterima di sisi Allah jika diberikan dengan niat yang ikhlas.

2.  Amalan kecil seperti bersedekah dengan separuh biji kurma boleh menjadi asbab keselamatan dari api neraka jika disertai niat yang ikhlas.

3.  Rasulullah SAW mengajar kita agar tidak memandang remeh amalan baik, kerana sekecil mana pun amalan itu, ia tetap diberi ganjaran oleh Allah. Kita tidak tahu mana satukah amalan kita yang diterima oleh Allah?

4.  Kemampuan bukan alasan untuk tidak memberi. Hadis ini menunjukkan bahawa tiada alasan untuk tidak bersedekah walau sekecil apa pun yang dimiliki, tetap ada ruang untuk memberi.

5.  Jangan tunggu kaya untuk bersedekah, berilah walaupun sedikit yang kita ada kerana ia boleh menjadi sebab keselamatan kita di akhirat.


Friday, October 10, 2025

Sedekah Dan Keikhlasan

Jumaat, 18 Rabiul Akhir 1447H  |  Sedekah Dan Keikhlasan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قالَ رَجُلٌ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدِ سَارِقٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى سَارِقٍ فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا في يَدَيْ زَانِيَةٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ علَى زَانِيَةٍ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى زَانِيَةٍ؟ لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدَيْ غَنِيٍّ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى غَنِيٍّ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى سَارِقٍ وعلَى زَانِيَةٍ وعلَى غَنِيٍّ، فَأُتِيَ فقِيلَ له: أَمَّا صَدَقَتُكَ علَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عن سَرِقَتِهِ، وأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عن زِنَاهَا، وأَمَّا الغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فيُنْفِقُ ممَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda: Seorang lelaki berkata: "Aku akan bersedekah." Lalu dia keluar dan meletakkan sedekahnya (tetapi sedekahnya jatuh) di tangan seorang pencuri. Pagi harinya, orang ramai bercakap: “Semalam, dia bersedekah kepada pencuri!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian, aku akan bersedekah lagi.” Dia keluar dan memberikan sedekahnya dan jatuh kepada seorang pelacur. Pagi harinya, orang ramai berkata: “Semalam, dia bersedekah kepada pelacur!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian. (bersedekah) kepada pelacur? Aku akan bersedekah lagi” Dia keluar sekali lagi dan memberikan sedekahnya (kebetulan) kepada seorang yang kaya. Pagi harinya, orang ramai berkata: “Dia bersedekah kepada orang kaya!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian (sedekahnya jatuh) kepada pencuri, pelacur dan orang kaya.” Maka dia didatangi dalam mimpi dan dikatakan kepadanya: “Sedekahmu kepada pencuri, mudah-mudahan dia insaf dan meninggalkan perbuatan mencuri. Sedekahmu kepada pelacur, mudah-mudahan dia bertaubat dan meninggalkan zina. Sedekahmu kepada orang kaya, mudah-mudahan dia mengambil pengajaran lalu menginfakkan harta yang Allah berikan kepadanya.” (HR Muslim No: 1022) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Niat adalah asas utama dalam semua amal ibadah. Lelaki dalam hadis ini bersedekah dengan niat yang tulus kerana Allah, bukan untuk menunjuk.

2.  Hadis ini menceritakan tentang seorang lelaki yang dengan ikhlas ingin bersedekah. Namun, tiga kali sedekahnya "tersalah sasaran" jatuh ke tangan pencuri, penzina, dan orang kaya. Namun dia tetap mengucapkan syukur kepada Allah, dan akhirnya dia diberitahu bahawa setiap pemberian itu berpotensi memberi kesan positif kepada penerimanya.

3.  Jangan kita menilai masa depan seseorang berdasarkan dosa atau statusnya hari ini. Jangan terlalu cepat menghakimi hasil sesuatu amal kerana Allah Sahaja yang Maha Mengetahui hikmahnya.

4.  Allah SWT kadang-kadang mengatur sesuatu yang kita tidak sangka. Tindakan lelaki dalam hadis ini menjadi asbab hidayah dan perubahan hidup seseorang dimana pencuri, pelacur dan orang kaya,  masing-masing terdorong untuk berubah.

5.  Sedekah mendidik jiwa dan menyedarkan manusia, termasuk mereka yang melakukan maksiat atau lalai. Ibn Qayyim menyebut bahawa “sedekah yang ikhlas boleh membuka pintu taubat bagi mereka yang tidak pernah terfikir untuk berubah.

6.  Hadis ini menegaskan bahawa sedekah yang ikhlas tidak pernah sia-sia, walaupun kelihatan tidak “kena” pada pandangan manusia. Setiap perbuatan baik, jika diniatkan kerana Allah, pasti ada ganjaran dan hikmahnya yang tersembunyi. Kita diajar agar tidak menghukum amal seseorang hanya pada zahir.  Yakinlah bahawa Allah Maha Mengetahui niat dan akibat sesuatu perkara.


Thursday, October 9, 2025

Abu Talhah dan Kebun Bairuha’

Khamis, 17 Rabiul Akhir 1447H  |  Abu Talhah dan Kebun Bairuha’

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ أَبُو طَلْحَةَ أَكْثَرَ الأَنْصَارِ مَالًا، وَكَانَ أَحَبَّ أَمْوَالِهِ إِلَيْهِ بَيْرَحَاءُ، وَكَانَتْ مُسْتَقْبِلَةَ الْمَسْجِدِ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُهَا وَيَشْرَبُ مِنْ مَاءٍ فِيهَا طَيِّبٍ. قَالَ أَنَسٌ: فَلَمَّا نَزَلَتْ هذِهِ الآيَةُ: ﴿لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ﴾ [آل عمران: ٩٢]
قَامَ أَبُو طَلْحَةَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ فِي كِتَابِهِ: ﴿لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ﴾ وَإِنَّ أَحَبَّ مَالِي إِلَيَّ بَيْرَحَاءُ، فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ لِلَّهِ، أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ، فَضَعْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ حَيْثُ شِئْتَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
بَخٍ! ذَاكَ مَالٌ رَابِحٌ، بَخٍ! ذَاكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ.
فَقَالَ أَبُو طَلْحَةَ: أَفْعَلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَسَمَهَا أَبُو طَلْحَةَ فِي أَقَارِبِهِ وَبَنِي عَمِّهِ

Daripada Anas RA berkata: Sesungguhnya Abu Talhah RA adalah orang Ansar yang paling banyak harta berupa kebun kurma di Madinah. Harta yang paling disayanginya ialah kebun Bairuha’, yang terletak menghadap ke arah masjid (Nabawi). Rasulullah SAW sering masuk ke dalam kebun itu dan meminum air yang baik dari situ. Kata Anas: Apabila diturunkan ayat ini: "Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian dari apa yang kamu cintai." (Surah Ali ‘Imran: 92) Maka Abu Talhah pergi menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menurunkan ayat ini, dan sesungguhnya harta yang paling aku sayangi ialah kebun Bairuha’. Maka aku sedekahkannya kerana Allah, aku harapkan kebaikan dan ganjaran yang berkekalan di sisi Allah. Oleh itu, wahai Rasulullah, gunakanlah ia sebagaimana yang Allah tunjukkan kepadamu.” Rasulullah SAW bersabda: "Bagus! Itu adalah harta yang menguntungkan, itu adalah harta yang menguntungkan. Aku telah dengar apa yang kamu katakan, dan aku berpendapat supaya kamu menyedekahkannya kepada kaum kerabatmu." Lalu Abu Talhah berkata: “Aku akan lakukan, wahai Rasulullah.” Maka beliau membahagikan kebun itu kepada kaum kerabat dan sepupu-sepupunya. (HR Muslim No: 998) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini mengajar umat Islam supaya berusaha mencapai darjat al-birr (kebaikan yang sempurna) dengan pengorbanan menyumbang sesuatu yang paling disayangi, bukan sekadar lebihan harta.

2.  Tindakan Abu Talhah sebagai contoh keikhlasan tertinggi dalam bersedekah iaitu kebun kurma yang disayanginya bernama Bairuha’. Imam Nawawi menyebut bahawa tindakan beliau menunjukkan nilai ketakwaan dan pengorbanan yang tinggi kerana beliau menyedekahkan harta yang paling disayangi, bukan lebihan atau yang kurang berharga.

3.  Dalam hadis ini, Rasulullah SAW mengarahkan Abu Talhah agar kebun itu disedekahkan kepada kaum kerabat, menunjukkan bahawa sedekah kepada keluarga sendiri lebih utama jika mereka memerlukan. Dalam hadis lain menyebut:

الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ : صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
Maksudnya: “Sedekah pada orang miskin itu adalah sedekah semata-mata, sedangkan sedekah pada kerabat mengandungi dua hal, sedekah dan mengeratkan tali persaudaraan.” Riwayat Ibn Hibban (3344).


4.  Hadis ini menggambarkan betapa para sahabat tidak terikat dengan dunia, walaupun mereka memiliki harta yang bernilai, mereka tidak teragak-agak untuk mengorbankannya demi Allah.

#BangunkanJiwaMerdeka

Wednesday, October 8, 2025

Sedekah Menjadi Pelindung

Rabu, 16 Rabiul Akhir 1447H  | Sedekah Menjadi Pelindung

وَعَنْ مَرْثَدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: حَدَّثَنِي بَعْضِ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ ظِلَّ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَة صدقته

Daripada Marthad bin ‘Abdillah, beliau berkata: "Telah menceritakan kepadaku sebahagian sahabat Rasulullah SAW bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Sesungguhnya naungan bagi orang beriman pada hari kiamat adalah sedekahnya.'" (Musnad Imam Ahmad No: 23490) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hari Kiamat adalah hari yang penuh kepanasan dan huru-hara. Matahari akan berada sangat dekat di kepala, manusia akan ditimpa kepanasan yang luar biasa, dan masing-masing tenggelam dalam peluh mereka mengikut kadar amalannya.

2.  Sedekah menjadi penaung di Hari Kiamat. Mengikut Ibn Hajar, maksud “naungan” di sini ialah perlindungan dari azab, ketakutan, dan kepanasan hari kiamat.

3.  Kita dituntut untuk bersedekah dalam pelbagai bentuk tidak hanya wang atau harta, tetapi juga termasuk senyuman, pertolongan, ilmu, nasihat, makanan, doa dan seumpamanya.

4.  Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menyebut 7 golongan yang mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya, dan salah satunya ialah:

وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ

"Seorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya." (HR Bukhari No: 620).

5.  Hadis ini menggambarkan bahawa sedekah adalah pelindung dan penyelamat di hari kiamat, hari di mana setiap manusia dalam kesusahan dan memerlukan naungan. Oleh itu, setiap mukmin disarankan untuk menjadikan sedekah sebagai amalan harian, kerana manfaatnya bukan hanya di dunia, tetapi berpanjangan hingga ke akhirat.


Tuesday, October 7, 2025

Perumpamaan Baju Besi Pada Si Dermawan dan Si Bakhil

Selasa,   15 Rabiul Akhir 1447H  |  Perumpamaan Baju Besi Pada Si Dermawan dan Si Bakhil

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: ضَرَبَ رَسُولُ اللهِ «مَثَلَ الْبَخِيلِ وَالْمُتَصَدِّقِ كَمَثَلِ رَجُلَيْنِ عَلَيْهِمَا جُنَّتَانِ مِنْ حَدِيدٍ قَدِ اضْطُرَّتْ أَيْدِيهِمَا إِلَى ثُدِيِّهِمَا وَتَرَاقِيهِمَا، فَجَعَلَ الْمُتَصَدِّقُ كُلَّمَا تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ انْبَسَطَتْ عَنْهُ، حَتَّى تُغَشِّيَ أَنَامِلَهُ وَتَعْفُوَ أَثَرَهُ، وَجَعَلَ الْبَخِيلُ كُلَّمَا هَمَّ بِصَدَقَةٍ قَلَصَتْ، وَأَخَذَتْ كُلُّ حَلَقَةٍ مَكَانَهَا»، قَالَ: فَأَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللّهِ يَقُولُ بِإِصْبَعِهِ فِي جَيْبِهِ، فَلَوْ رَأَيْتَهُ يُوَسِّعُهَا وَلاَ تَوَسَّعُ

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW memberikan perumpamaan bagi orang yang bakhil (kedekut) dan orang yang bersedekah seperti dua orang lelaki yang memakai baju besi (perisai) yang dibuat daripada besi. Perisai itu menutupi dada dan tengkuk mereka. Apabila orang yang bersedekah memberi sedekah, maka perisainya menjadi longgar dan meluas sehingga menutupi hujung jarinya dan menghapuskan kesan jejaknya (dosa-dosanya). Manakala orang yang bakhil, setiap kali dia berniat untuk bersedekah, perisainya menjadi ketat dan mencengkam tubuhnya sehingga setiap lingkaran perisai itu melekat pada tempatnya. Abu Hurairah berkata: Aku melihat Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan jarinya ke arah leher bajunya, seolah-olah Baginda cuba melonggarkannya, tetapi ia tidak longgar. (HR Bukhari No: 5797) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perumpamaan baju besi bagi orang yang bersedekah atau dermawan, dimana baju besi itu melonggar dan meliputi tubuhnya, menunjukkan kelapangan dada, ketenangan jiwa, dan keluasan rezeki. Setiap kali dia bersedekah, dia semakin bebas dan ringan, ini adalah tanda keberkatan dan keikhlasan.

2.  Perumpamaan bajuk besi bagi orang yang bakhil, baju besi itu semakin ketat, seolah-olah menjerut dirinya sendiri. Setiap kali dia mahu bersedekah, kesempitan jiwa, ketakutan, dan keraguan menghalangnya. Hal ini menunjukkan kesan buruk sifat kedekut terhadap hati dan ruh seseorang.

3.  Sedekah adalah penawar kepada penyakit kedekut. Bersedekah secara konsisten akan melapangkan hati, menjadikannya lebih mudah untuk berbuat baik dan memberi.

4.  Kedekut menjadikan hati sempit dan sukar menerima kebaikan.  Orang yang bakhil bukan sahaja menzalimi orang lain, tetapi juga menyiksa dirinya sendiri dengan kegelisahan dan ketakutan akan kehilangan harta.

5.  Orang bakhil mungkin berniat untuk bersedekah tetapi tidak mampu melaksanakannya kerana hati dan nafsunya telah dikuasai oleh sifat tamak dan cinta dunia. Sifat bakhil adalah antara tanda hati yang keras dan merupakan punca kepada kehancuran diri dan masyarakat.

6.  Bersedekah akan menyuburkan hati dan memudahkan amalan. Sedangkan kedekut mematikan hati dan menyempitkan rezeki.


Monday, October 6, 2025

Kelebihan Bersedekah

Isnin, 14 Rabiul Akhir 1447H  |  Kelebihan Bersedekah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بَيْنَمَا رَجُلٌ بِفَلاَةٍ مِنَ الْأَرْضِ، فَسَمِعَ صَوْتًا فِي سَحَابَةٍ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلاَنٍ، فَتَنَحَّى ذَٰلِكَ السَّحَابُ، فَأَفْرَغَ مَاءَهُ فِي حَرَّةٍ، فَإِذَا شَرْجَةٌ مِنْ تِلْكَ الشِّرَاجِ قَدِ اسْتَوْعَبَتْ ذَٰلِكَ الْمَاءَ كُلَّهُ، فَتَتَبَّعَ الْمَاءَ، فَإِذَا رَجُلٌ قَائِمٌ فِي حَدِيقَتِهِ يُحَوِّلُ الْمَاءَ بِمِسْحَاتِهِ، فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللَّهِ، مَا اسْمُكَ؟ قَالَ: فُلاَنٌ، لِلاِسْمِ الَّذِي سَمِعَ فِي السَّحَابَةِ، فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللَّهِ، لِمَ تَسْأَلُنِي عَنْ اسْمِي؟ فَقَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ صَوْتًا فِي السَّحَابِ -الَّذِي هَذَا مَاؤُهُ- يَقُولُ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلاَنٍ، لِاسْمِكَ، فَمَا تَصْنَعُ فِيهَا؟ قَالَ: أَمَّا إِذْ قُلتَ هَذَا، فَإِنِّي أَنْظُرُ إِلَى مَا يَخْرُجُ مِنْهَا، فَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثِهِ، وَآكُلُ أَنَا وَعِيَالِي ثُلُثًا، وَأَرُدُّ فِيهَا ثُلُثَهُ. [وَفِي رِوَايَةٍ]: وَأَجْعَلُ ثُلُثَهُ فِي الْمَسَاكِينِ، وَالسَّائِلِينَ، وَابْنِ السَّبِيلِ

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Ketika seorang lelaki berada di sebuah kawasan padang pasir (yang tandus), dia mendengar satu suara dari awan yang berkata: ‘Sirami kebun si fulan!’ Maka awan itu bergerak dan menurunkan airnya ke atas sebidang tanah berbatu hitam (harrat). Air tersebut mengalir ke satu saluran (longkang) di antara saluran-saluran air, dan saluran itu menampung semua air tersebut. Lelaki itu mengikuti aliran air tersebut, lalu dia melihat seorang lelaki sedang berdiri di kebunnya dan mengarahkan air ke kebunnya menggunakan cangkul. Maka dia berkata kepada lelaki itu: ‘Wahai hamba Allah, apakah nama kamu?’ Lelaki itu menjawab dengan menyebut nama yang dia dengar dari awan tadi. Lelaki itu pun berkata: ‘Wahai hamba Allah, mengapa kamu bertanya tentang nama aku?’ Dia menjawab: ‘Sesungguhnya aku mendengar suara dalam awan yang menurunkan air ini, ia berkata: Sirami kebun si fulan (iaitu nama kamu). Maka ceritakanlah kepada aku, apakah yang kamu lakukan (dengan kebun ini)?’ Maka lelaki itu menjawab: ‘Kalau begitu, aku akan beritahu kamu. Aku melihat hasil yang keluar daripadanya (hasil kebun ini), lalu aku sedekahkan satu pertiga daripadanya, aku makan dan beri makan keluargaku satu pertiga, dan aku pulangkan satu pertiga semula ke dalam kebun ini (untuk pelaburan dan penjagaan).’
[Dalam satu riwayat yang lain disebut:] "Aku bahagikan satu pertiga daripadanya untuk orang miskin, orang yang meminta dan musafir yang dalam kesusahan." (HR Muslim No: 2984) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bersedekah membuka pintu keberkatan rezeki. Ibn Rajab menjelaskan bahawa lelaki dalam hadis ini telah diberi keistimewaan luar biasa kerana keikhlasannya dalam membelanjakan hartanya di jalan Allah.

2.  Keberkatan rezeki tidak ditentukan oleh banyaknya, tetapi oleh cara penggunaannya. Lelaki dalam hadis diatas membahagikan hasil rezekinya kepada tiga bahagian:
a)  1/3 untuk sedekah (kepada miskin, peminta dan ibnu sabil),
b)  1/3 untuk keperluan diri dan keluarga,
c)  1/3 dilaburkan semula (untuk kesinambungan hasil).

3.  Hadis ini menjadi hujah kuat tentang kelebihan bersedekah, bahkan ia menjadi sebab turunnya hujan kepada kebun lelaki tersebut untuk menyuburkan tanamannya sebagai hasil dari barakah amalannya.

4.  Apabila kita memberi manfaat kepada orang lain terutamanya golongan yang memerlukan, nescaya Allah akan mempermudahkan urusan dan menambah keberkatan dalam kehidupan kita.

5.  Bijak mengurus rezeki dengan membahagikan hasil kepada sedekah, keperluan diri dan pelaburan semula adalah tanda hikmah dan tanggungjawab.


Sunday, October 5, 2025

Zakat Menghilangkan Keburukan

Ahad, 13 Rabiul Akhir 1447H  |  Zakat Menghilangkan Keburukan

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ مِنَ القَوْمِ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ أَدَّى الرَّجُلُ زَكَاةَ مَالِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن أَدَّى زَكَاةَ مَالِهِ فَقَدْ ذَهَبَ عَنْهُ شَرُّهُ

Daripada Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata: Seorang lelaki dari kalangan kaum itu bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana jika seseorang itu menunaikan zakat hartanya?" Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menunaikan zakat hartanya, maka hilanglah keburukan (bahaya) daripada hartanya." (HR Ibn Khuzaymah (4/13), al-Hakim (1/390) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Dengan menunaikan zakat, seseorang telah mensucikan hartanya daripada hak orang lain, dan dengan itu akan dihindarkan daripada bala, musibah, dan kemurkaan Allah yang mungkin datang akibat kedekut atau menzalimi hak orang miskin.

2.  Harta yang tidak dizakatkan berpotensi membawa keburukan, seperti hilang keberkatan, menjadi penyebab azab di akhirat, bahkan boleh membawa bala di dunia.

3.  Zakat bukan sahaja menyucikan harta, tetapi juga jiwa pemberinya, menjadikannya lebih tenang dan diberkati.

4.  Orang yang menunaikan zakat telah menyempurnakan tanggungjawab agama serta bebas dari beban dosa dan tuduhan pengabaian hak orang lain.

5.  Zakat mengekalkan keharmonian sosial. Zakat dapat mengelakkan jurang antara si kaya dan si miskin, serta menghapuskan rasa benci dan iri hati.

6.  Islam menitikberatkan keseimbangan antara hak individu dan hak masyarakat. Zakat ialah salah satu cara untuk memastikan kekayaan tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja.

7.  Menunaikan zakat bukan sekadar transaksi kewangan, tetapi membentuk keperibadian dermawan dan menjauhkan diri daripada cinta dunia yang melampau.

8.  Bagi mereka yang memiliki harta yang dikenakan zakat seperti wang simpanan, binatang ternakan, emas perak, pendapatan tetap juga pelaburan, yang mencukupi haul dan nisab, usahakanlah untuk dikeluarkan zakat dengan ikhlas dan yakinlah bahawa ia membawa keberkatan serta perlindungan daripada Allah SWT.

#BangunkanJiwaMerdeka

Saturday, October 4, 2025

Amalan Masuk Syurga dan Jauhi Neraka

Sabtu, 12 Rabiul Akhir 1447H  | Amalan Masuk Syurga dan Jauhi Neraka

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ خَالِدِ بْنِ زَيْدٍ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ، قَالَ: وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَعْبُدُ اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA, di mana seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, beritahulah aku satu amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada neraka." Maka Baginda SAW bersabda: "Engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan menyambung silaturahim." (HR Bukhari No: 5983) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amalan yang membawa ke syurga dan menjauhkan neraka ialah beribadat dengan tidak melakukan syirik, menunaikan solat, mengeluarkan zakat dan menjaga hubungan silaturahim.

2.  Segala amalan bergantung kepada akidah yang benar. Menyembah Allah tanpa syirik  adalah syarat utama untuk masuk syurga.

3.  Mendirikan solat bukan hanya bermaksud menunaikan solat, tetapi melaksanakan solat dengan penuh syarat, rukun, kekhusyukan dan tepat waktunya. Solat adalah tiang agama dan pemisah antara iman dan kufur.

4.  Menunaikan zakat bukan hanya membersihkan harta, tetapi juga memupuk keadilan sosial dan menghapus sifat tamak.

5.  Islam sangat menekankan hubungan kekeluargaan. Memelihara silaturrahim adalah salah satu tanda kesempurnaan iman. Menyambung silaturrahim bermaksud berbuat baik kepada kaum keluarga, bertanya khabar, membantu ketika susah, dan tidak memutuskan hubungan.

6.  Hadis ini memberi panduan lengkap dan ringkas untuk mencapai kejayaan akhirat iaitu memiliki akidah yang benar, ibadah yang sempurna, dan akhlak sosial yang baik. Ia juga menegaskan bahawa Islam adalah agama yang seimbang antara hubungan dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia.


Friday, October 3, 2025

Kematian Akibat Sakit Perut

Jumaat, 11 Rabiul Akhir 1447H |  Kematian Akibat Sakit Perut

عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ السَّبِيعِيِّ قَالَ سُلَيْمَانُ بْنُ صُرَدٍ لِخَالِدِ بْنِ عُرُفْطَةَ أَوْ خَالِدٌ لِسُلَيْمَانَ: أَمَا سَمِعْتَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَن قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِي قَبْرِهِ؟ فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ: نَعَمْ

Daripada Abu Ishaq al-Sabi‘i, beliau berkata: Sulaiman bin Surad berkata kepada Khalid bin ‘Urfaṭah  atau Khalid berkata kepada Sulaiman: "Tidakkah engkau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Sesiapa yang mati disebabkan sakit perut, dia tidak akan diazab dalam kuburnya'?" Lalu salah seorang daripada mereka menjawab kepada rakannya: "Ya (benar, aku mendengarnya).” (HR Tirmizi No: 1064) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Mati akibat sakit perut dianggap sebagai bentuk syahid (seperti cirit-birit yang teruk, barah perut, atau penyakit dalaman) termasuk dalam kategori syahid akhirat dimana mereka tidak diazab di dalam kubur.

2.  Al-Qurtubi menyatakan bahawa maksud "tidak diazab di kubur" kepada orang yang mati akibat sakit perut adalah merujuk kepada ringannya keadaan mayat dalam alam barzakh, sebagai bentuk rahmat dan keampunan daripada Allah akibat Redha dan kesabaran menanggung kesakitan semasa di dunia.

3.  Penyakit yang menimpa seorang mukmin boleh menjadi penghapus dosa apabila ia sabar, redha dan ikhlas dengan ujian yang dilalui.

4.  Sakit bukan petanda dimurkai, bahkan boleh menjadi tanda kasih sayang Allah yang ingin menyucikan hamba-Nya daripada dosa sebelum kematian.

5.  Hadis ini memberi pengharapan dan ketenangan kepada mereka yang sedang sakit atau menghadapi ujian kesihatan, bahawa dengan kesabaran dan keimanan, bahkan kematian dalam keadaan sakit pun boleh membawa kemuliaan seperti syahid dan keselamatan di alam kubur.


Thursday, October 2, 2025

Ganjaran Menyempurnakan Jenazah

Khamis  10 Rabiul Akhir 1447H  |  Ganjaran Menyempurnakan Jenazah

عَنْ أَبِي رَافِعٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن غَسَّلَ مَيِّتًا فَكَتَمَ عَلَيْهِ غُفِرَ لَهُ أَرْبَعِينَ مَرَّةً، وَمَن كَفَّنَ مَيِّتًا كَسَاهُ اللَّهُ مِنَ السُّندُسِ وَإِسْتَبْرَقِ الْجَنَّةِ، وَمَن حَفَرَ لِمَيِّتٍ قَبْرًا فَأَجَنَّهُ فِيهِ أُجْرِيَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ كَأَجْرِ مَسْكَنٍ أُسْكِنَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Rafi‘, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memandikan jenazah, lalu menyembunyikan (aib)nya, Allah akan mengampuninya sebanyak empat puluh kali. Dan sesiapa yang mengkafankan jenazah, Allah akan memakaikannya dengan sutera halus (sundus) dan tebal (istabraq) dari syurga. Dan sesiapa yang menggali kubur untuk jenazah lalu mengebumikannya di dalamnya, akan diberikan pahala seumpama menyediakan tempat tinggal (rumah) kepadanya sehingga hari kiamat.” (HR Al Hakim 1/354) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Mengurus jenazah dengan cara memandikan, mengkafankan, dan mengebumikan jenazah merupakan ibadah yang diberi ganjaran besar di sisi Allah jika dilakukan dengan ikhlas dan penuh adab.

2.  Orang yang memandikan jenazah perlu menjaga adab ke atas mayat antaranya dengan menyembunyikan aib si mati. Ulama menyatakan “aib jenazah” boleh merujuk kepada perubahan fizikal mayat, bau busuk atau sebarang tanda buruk.

3.  Jika terdapat aib pada si mati dan orang yang memandikan jenazah tidak mendedahkannya, Allah akan mengurniakan kepadanya keampunan yang besar  sebanyak 40 kali (atau darjat), menunjukkan betapa tinggi nilai rahsia seorang Muslim.

4.  Mengkafankan jenazah adalah fardhu kifayah, balasan yang sangat besar kepada orang yang menunaikan hak jenazah dengan penuh ihsan, termasuk menyediakan kain kafan.

5.  Menggali kubur dan mengebumikan jenazah juga termasuk fardhu kifayah, dan dalam hadis ini disebut ganjarannya seperti pahala memberi tempat tinggal kekal kepada si mati sehingga hari kiamat.

6.  Hadis ini mengajar kita tentang luasnya rahmat dan ganjaran Allah kepada sesiapa yang mengurus jenazah dengan penuh hormat dan beradab. Bahkan mengajar kita untuk menjaga hak si mati dan kehormatannya.


Wednesday, October 1, 2025

Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang

Rabu, 9 Rabiul Akhir 1447H  | Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang

وَعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لَا يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ

Daripada Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: ‘Tidaklah seorang lelaki Muslim meninggal dunia, lalu empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun solat ke atas jenazahnya, melainkan Allah akan menerima syafaat mereka untuknya (si mati).’” (HR Muslim No: 948) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Solat jenazah dan doa orang beriman memiliki nilai yang besar kepada mayat yang disembahyangkan kerana ia boleh menjadi syafaat dan keampunan kepada mayat yang disolatkan.

2.  Ibnu Batthal dalam Syarah al-Bukhari menjelaskan, yang menyebabkan si mati mendapatkan syafaat adalah kerana salah seorang dari empat puluh orang yang solat ke atas jenazah itu, ketika mendoakan jenazah tersebut, doanya dimakbulkan Allah. Semakin ramai yang mendoakan kebaikan bagi jenazah tersebut maka semakin besar kemungkinan akan mendapatkan syafaat.

3.  Hadis ini menunjukkan bahawa doa dari orang yang ikhlas dan beriman mampu menjadi sebab keampunan kepada orang lain. Maka, bergaullah dengan orang soleh, kerana mereka boleh memberi manfaat kepada kita walaupun selepas kita meninggal.

4.  Orang yang tidak mensyirikkan Allah memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah, sehingga doa mereka untuk orang lain akan diterima Allah.

5.  Islam menjadikan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebagai tanggungjawab fardhu kifayah. Umat Islam perlu saling membantu dan mendoakan orang Islam lain yang meninggal dunia, bukan hanya ahli keluarga si mati.