Ahad, 4 Jamadil Awal 1447H | Pesanan Buat Musafir
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلاً قَالَ : يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي قَالَ : عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ قَالَ : اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ
Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak bermusafir. Maka berilah wasiat kepadaku. Baginda bersabda: Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki di tempat yang tinggi. Kemudian ketika orang itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya: Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya, dan mudahkanlah perjalanannya.” (HR Tirmizi No: 3445) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Ramai dalam kalangan kita mengambil kesempatan untuk bermusafir sama ada bercuti rehat bersama keluarga mahupun menziarahi ahli keluarga pada hujung minggu juga cuti sekolah. Sebelum bermusafir, mintalah nasihat daripada orang yang soleh atau berilmu. Wasiat yang baik akan menjadi panduan sepanjang perjalanan.
2. Musafir itu satu bentuk ibadah jika niatnya baik, seperti menuntut ilmu, ziarah, berniaga secara halal, atau berjihad. Maka perjalanan itu perlu disertai dengan amalan sunnah dan adab Islam.
3. Antara pesanan Rasulullah SAW kepada orang yang ingin bermusafir:
a. Sentiasa bertaqwa kepada Allah. Takwa adalah bekalan utama dalam setiap keadaan, termasuk ketika bermusafir, kerana ia melindungi kita daripada dosa dan maksiat.
b. Apabila menaiki tempat yang tinggi hendaklah bertakbir.
4. Syeikh al-Mubarakfuri yang mensyarahkan hadis ini menyatakan ia merupakan pesanan supaya orang yang bermusafir itu:
a. Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.
b. Sentiasa takut dan menjaga diri daripada melakukan maksiat kepada-Nya.
c. Mengingati kebesaran Allah SWT dan bersyukur dengan segala kurniaan-Nya (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/406)
5. Bagi kita yang mengetahui ada ahli keluarga atau sahabat yang akan bermusafir, doakanlah mereka dengan doa ini:
اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ
Maksudnya: “Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya (cepat sampai ke destinasi), dan mudahkanlah perjalanannya (jauh daripada bahaya juga gangguan)”
No comments:
Post a Comment