Rabu, 23 Rabiul Akhir 1447H | Permudahkan Urusan Orang
عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ رَجُلًا كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، أَتَاهُ الْمَلَكُ لِيَقْبِضَ رُوحَهُ، فَقِيلَ لَهُ: هَلْ عَمِلْتَ مِنْ خَيْرٍ؟ قَالَ: مَا أَعْلَمُ. قِيلَ لَهُ: انْظُرْ، قَالَ: مَا أَعْلَمُ شَيْئًا، غَيْرَ أَنِّي كُنْتُ أُبَايِعُ النَّاسَ فِي الدُّنْيَا، وَأُجَازِيهِمْ، فَأُنْظِرُ الْمُوسِرَ، وَأَتَجَاوَزُ عَنِ الْمُعْسِرِ، فَأَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ
Daripada Huzaifah bin Yaman RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ada seorang lelaki dalam kalangan umat sebelum kamu, didatangi oleh malaikat untuk mencabut rohnya. Maka ditanya kepadanya: ‘Adakah kamu pernah melakukan sebarang kebaikan?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu.’ Malaikat berkata kepadanya: ‘Cuba ingat kembali.’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu apa-apa kebaikan melainkan aku biasa berniaga dengan manusia di dunia. Aku memberi kelonggaran kepada orang yang senang, dan memberi tempoh kepada orang yang susah.’ Lalu Allah memasukkannya ke dalam syurga.” (HR Bukhari No: 3451) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Allah amat menghargai mereka yang mempermudahkan urusan orang lain, terutamanya yang dalam kesusahan, bersikap lembut dan bertimbang rasa dalam urusan dunia.
2. Sikap memberi tempoh kepada orang yang susah dan tidak menekan pelanggan menunjukkan rahmat dan belas kasihan yang sangat dihargai.
3. Orang yang memudahkan urusan orang lain di dunia walaupun kecil nescaya Allah akan memudahkan urusannya di akhirat.
4. Lelaki dalam hadis ini tidak menyedari bahawa ada amalan yang kecil yang diamalkan dalam hidupnya dalam berurusan dengan manusia lain boleh menjadi sebab masuk Syurga iaitu memberi kelonggaran kepada orang yang berurusan dengannya.
5. Hadis ini memperlihatkan kemuliaan akhlak dalam jual beli, di mana sifat lembut, pemaaf dan tidak berkira adalah antara ciri-ciri utama orang yang disayangi Allah.
6. Hadis ini mengajar kita agar tidak hanya mencari keuntungan dalam berurusan, tetapi juga menyemai nilai kemanusiaan, keihsanan, sabar dan rahmat dalam semua urusan.
No comments:
Post a Comment