Ahad, 27 Rabiul Akhir 1447H | Bersederhana Dalam Makan dan Minum
عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
Daripada al-Miqdam bin Ma‘dikarib RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada satu bekas yang lebih buruk diisi oleh anak Adam daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Jika dia mesti (mengisi perutnya), maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya, dan satu pertiga untuk nafasnya." (HR Tirmizi No: 2380) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam menggalakkan kesederhanaan dalam makan dan minum. Makan berlebihan boleh membawa mudarat kepada tubuh badan juga akan menyebabkan kita malas, mengantuk serta lalai.
2. Larangan melampau dalam makan dan minum. Nabi SAW mencela perbuatan memenuhi perut secara berlebihan, dan mengumpamakannya seperti mengisi bekas paling buruk jika berlebihan.
3. Perut yang terlalu penuh membawa kepada kemalasan, penyakit, dan keras hati. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din menyatakan: "Kenyang yang berlebihan adalah akar segala penyakit hati dan jasad."
4. Nabi SAW memberikan kadar ideal keperluan perut untuk menjaga kesihatan dan keseimbangan tubuh iaitu ⅓ untuk makanan, ⅓ untuk minuman dan ⅓ untuk pernafasan.
5. Nafsu makan yang tidak dikawal menjadi punca kepada penyakit. Islam menyeru supaya kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.
6. Orang yang mengawal perutnya, akan mudah menjaga lidah, mata, dan hatinya kerana kawalan nafsu bermula dari kawalan makanan
7. Sunnah Rasulullah SAW menekankan kesederhanaan dalam pemakanan, dan ini telah terbukti secara saintifik membantu mencegah pelbagai penyakit kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi, dan diabetes.
No comments:
Post a Comment