Jumaat, 12 Rejab 1447H | Tekun dan Bersungguh-sungguh
عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إن اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal menyukai apabila seseorang daripada kamu yang melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun (sebaik-baiknya dan sempurna).” (HR Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929) Status: Hadis Sahih.
Pengajaran
1. Tekun bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan tugas atau kerja dengan sebaik dan sesempurna mungkin, penuh teliti, cekap serta bersungguh-sungguh sebagaimana yang dikehendaki tanpa kurang sedikitpun.
2. Sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda bahawa Islam sangat menitikberatkan kualiti, bukan sekadar kuantiti atau bentuk luaran.
3. Tekun adalah asas bagi menghasilkan prestasi dan mutu kerja yang berkualiti. Pekerja yang tekun akan sentiasa melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh penuh professional dan etika kerja yang tinggi pada setiap masa.
4. Kesungguhan dan kecemerlangan dalam kerja adalah ibadah. Apabila dilakukan dengan niat yang ikhlas, kerja harian boleh menjadi amal soleh yang diberkati.
5. Islam menolak sikap sambil lewa, malas, dan cuai. Sifat ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan peribadi, tetapi juga merosakkan imej agama.
6. Ganjaran di sisi Allah bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah.
7. Allah SWT mengasihi orang yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik dan bersungguh-sungguh penuh kecemerlangan dan ketekunan dalam setiap pekerjaan tidak kira kecil ataupun besar.
8. Sempena tahun baru 2026 ini, marilah kita melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan tekun, penuh tanggungjawab, berintegriti dan cekap. Semoga menjadi insan terbaik dan cemerlang.
No comments:
Post a Comment