Sunday, January 4, 2026

Ziarahi Pesakit Seumpama Berada Di taman Syurga

Ahad, 14 Rejab 1447H  |  Ziarahi Pesakit Seumpama Berada Di taman Syurga

عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ الرَّحَبِيِّ عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا خُرْفَةُ الْجَنَّةِ قَالَ جَنَاهَا

Daripada Abu Asma' Ar Rahabi dari Tsauban maula (hamba yang dimerdekakan) Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW baginda bersabda: "Apabila seorang muslim mengunjungi saudaranya yang sedang sakit, maka orang itu sentiasa berada dalam sebuah taman syurga. Baginda ditanya; Bagaimana taman syurga itu? Baginda menjawab: 'Taman yang penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetiknya.' (HR Muslim No: 4660) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menziarahi orang sakit adalah ibadah yang besar ganjarannya. Amalan ini merupakan sunat muakkad (amat digalakkan).

2.  Menziarahi orang sakit adalah salah satu daripada tanggung jawab kita bagi menyempurnakan hak saudara Muslim yang lain.

3.  Orang yang menziarahi orang sakit seolah-olah ia berada dalam sebuah dari taman di syurga.

4.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut dalam Fath al-Bari bahawa hadis ini menunjukkan orang yang menziarahi orang sakit berada dalam kedudukan hampir kepada rahmat syurga, dan pahala itu berterusan selama dia berada bersama pesakit.

5.  Ziarah orang sakit bukan hanya untuk pahala, tetapi juga untuk memberi sokongan moral, doa, dan mengingatkan tentang rahmat Allah serta kesabaran.

6.  Apabila menziarahi orang sakit, doakanlah pesakit.  Rasulullah SAW  mengajar doa ketika menziarahi orang sakit:

أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: Hilangkanlah penyakitnya wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah wahai zat Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak membawa rasa sakit. (HR Bukhari No: 5243) Status Hadis Sahih.

Tunaikanlah tanggungjawab kita untuk menziarahi sahabat yang sakit dan doakan kesembuhan kepadanya.


No comments: