Isnin, 24 Syawal 1447H | Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَأْخُذُ عَنِّي هَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ فَيَعْمَلُ بِهِنَّ أَوْ يُعَلِّمُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِنَّ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقُلْتُ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَخَذَ بِيَدِي فَعَدَّ خَمْسًا وَقَالَ اتَّقِ الْمَحَارِمَ تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ وَأَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ تَكُنْ مُؤْمِنًا وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ تَكُنْ مُسْلِمًا وَلَا تُكْثِرْ الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ
Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Siapakah yang mahu mengambil beberapa kalimat daripadaku lalu mengamalkannya atau mengajarkan kepada orang yang akan mengamalkannya?" Abu Hurairah menjawab: Saya, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah memegang tanganku dan menyebut lima perkara; Jauhilah larangan-larangan (perkara yang diharamkan) nescaya kamu akan menjadi orang yang paling taat beribadah, terimalah pemberian Allah dengan redha nescaya engkau akan menjadi orang paling kaya, berbuat baiklah kepada jiran tetangga nescaya kamu akan menjadi orang yang benar-benar beriman, kasihilah orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri nescaya engkau akan menjadi orang muslim yang sebenar-benarnya dan, janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati." (HR Tirmidzi No: 2227) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Hadis ini menghimpunkan lima prinsip asas akhlak dan kehidupan yang membawa kepada kesempurnaan iman dan kesejahteraan hidup. Lima pesanan baginda bagi di amalkan dan disampaikan kepada orang lain. Antara pesanan untuk dilaksanakan dan disampaikan:
a. Jauhi larangan dan tegahan yang haram seperti minum arak, mencuri, meninggalkan perintah wajib umpama solat dan sebagainya agar kita menjadi orang yang paling taat beribadat.
b. Merasa redha dan puas hati dengan apa yang dikurniakan Allah. Tidak merasa keluh kesah, kecewa serta tamak dengan apa yang dimiliki. Yakin setiap sesuatu itu adalah ketentuan taqdir Allah nescaya kita akan menjadi orang yang paling kaya (kaya jiwa). Hati akan tenang.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati." (HR Bukhari No: 5965)
c. Berbuat baik kepada jiran tetangga dengan sentiasa menyayangi, memberi pertolongan, menziarahi, tidak menyakitinya sama ada dengan perbuatan, perkataan dan sebagainya. Menjaga hak jiran sama ada Muslim mahupun tidak, adalah bukti kesempurnaan iman.
d. Mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri adalah bukti keislaman dan keimanan seseorang. Tidak boleh menzalimi dan menganiaya serta menyakiti saudara kita. Firman Allah:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَة
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara (Hujurat: 10)
e. Jangan banyak ketawa kerana banyak gelak ketawa akan melalaikan seseorang daripada mengingati Allah serta akan menjadi penyebab menghalang cahaya petunjuk dan boleh mematikan hati.
2. Marilah kita menjaga hak Allah, hak diri dan hak manusia. Peliharalah hubungan yang baik sama ada hubungan dengan Allah juga dengan masyarakat seluruhnya.
3. Hadis ini merupakan panduan ringkas tetapi menyeluruh dalam membina peribadi Muslim yang unggul. Dengan mengamalkan lima prinsip ini iaitu menjauhi haram, redha, berbuat baik kepada jiran, mencintai orang lain, dan menjaga hati daripada lalai akibat banyak ketawa, seseorang akan dapat mencapai kesempurnaan iman serta kehidupan yang seimbang dan diberkati.
No comments:
Post a Comment