Saturday, April 11, 2026

Doa Memperbaiki Urusan Dunia dan Akhirat

Sabtu, 22 Syawal 1447H  |  Doa Memperbaiki Urusan Dunia dan Akhirat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلْ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: "Adalah Rasulullah SAW sering berdoa: Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi benteng pelindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah baki kehidupan ini sebagai tambahan (peluang) bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian itu sebagai kerehatan bagiku daripada segala kejahatan". (HR Muslim No: 2720) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Doa merupakan satu bentuk pengharapan kepada Allah, dan ia memainkan peranan penting dalam mencapai kebaikan dalam hidup kita. Menjadi kewajipan kita untuk berdoa memohon kebaikan dalam hidup sama ada di dunia juga di akhirat.

2.  Antara permohon dalam doa kita adalah agar diperbaiki amalan agama kerana agama adalah cara hidup yang menjadi panduan kita menuju jalan kebenaran. Agama adalah asas dan pelindung kehidupan manusia. Jika agama baik, maka seluruh urusan akan terpelihara daripada kesesatan dan kebinasaan. Hanya dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam sahajalah manusia itu akan mendapat kebahagian di dunia mahupun di akhirat.

3.  Allah turunkan agama untuk menjadi benteng yang melindungi seseorang agar tidak tergelincir dan terjerumus dalam kesalahan dan maksiat. Ia menjaga manusia daripada kesesatan dan mengikut hawa nafsu dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT.

4.  Doa ini juga memohon agar Allah memperbaiki urusan kita di dunia. Islam tidak mengabaikan dunia. Kehidupan dunia perlu diurus dengan baik kerana ia menjadi medan untuk beramal dan mencari rezeki. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan kehidupan dunia sebagai tempat persinggahan untuk hamba-Nya memperbanyakkan amal soleh sebagai bekalan kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

5.  Doa ini merangkumi permohonan untuk memperbaiki keadaan di akhirat. Ia penting untuk kita sentiasa mengingati tujuan akhir kita dan mempersiapkan diri untuk kehidupan selepas mati.

6.  Allah SWT telah menetapkan ajal dan maut setiap insan. Justeru, jika Allah SWT memberikan baki kehidupan ke atas hamba-Nya, ia adalah peluang untuknya menambah amal soleh. Namun jika dihabiskannya dalam kemaksiatan maka sesungguhnya kematian itu adalah pembebasan dan penamat baginya daripada segala kejahatan. Marilah kita berdoa dengan doa ini agar Allah memperbaiki urusan kita di dunia dan di akhirat.


No comments: