Friday, October 30, 2026

Istighfar Mengampunkan Dosa

Jumaat, 19 Jamadil Awal  1448H  |  Istighfar Mengampunkan Dosa
 
عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَالَ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ، غُفِرَتْ ذُنُوبُهُ، وَإِنْ كَانَ قَدْ فَرَّ مِنَ الزَّحْفِ
 
Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengucapkan: Aku memohon keampunan daripada Allah, yang tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri (serta mentadbir seluruh makhluk), dan aku bertaubat kepada-Nya, nescaya diampunkan dosa-dosanya, sekalipun dia pernah melarikan diri dari medan peperangan.” (HR Abu Daud no: 1517) Status” Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Jangan berputus asa daripada keampunan Allah. Walaupun seseorang pernah melakukan dosa besar, pintu taubat tetap terbuka.
 
2.    Antara ucapan istighfar memohon keampunan kepada Allah, yang barang siapa mengucapkannya, dosanya akan diampunkan walaupun dosa besar kerana melarikan diri daripada peperangan iaitu:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
 
3.    Istighfar perlu disertai taubat. Lidah menyebut astaghfirullah, hati menyesal, dan anggota berusaha meninggalkan maksiat.
 
4.    Tauhid menjadi asas kepada taubat. Lafaz لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ   mengingatkan bahawa hanya Allah yang mempunyai kuasa mutlak mengampunkan dosa.
 
5.    Mengenali nama dan sifat Allah menguatkan pengharapan. Menyebut الْحَيُّ الْقَيُّومُ   membina keyakinan bahawa kita memohon kepada Tuhan Yang Maha Sempurna.
 
6.    Dosa besar yang dilakukan, tidak menutup pintu untuk bertaubat kepada Allah. Penyebutan dosa melarikan diri dari medan perang memberi gambaran betapa besarnya keluasan rahmat dan keampunan Allah.
 
7.    Istighfar bukan lesen untuk mengulangi dosa. Seseorang tidak boleh sengaja melakukan maksiat dengan alasan “nanti aku beristighfar”.
 
8.    Taubat yang benar menuntut seseorang meninggalkan dosa, menyesalinya dan berazam tidak mengulanginya. Jika dosa itu melibatkan hak manusia, hak tersebut juga perlu diselesaikan.
 
9.    Mukmin perlu hidup antara rasa takut dan berharap. Takut terhadap dosa mendorong kita bertaubat; berharap kepada rahmat Allah menghalang kita daripada berputus asa.
 

No comments: