Monday, August 17, 2009

Berbasikal Ke Kajang Hill

Ahad, 25 Sya'ban 1430H - Kelab basikal 3PDA Bro. Hj Mat, Bro. Hj Azmi, Bro. Hj Zul, Faizal, Dr Zainal dan bersama ahli barunya, Hj Azmin telah berkayuh ke Kajang Hill Resort.

Berehat sebentar di pinggir kaki Bukit Kajang Hill

Hj Azmin(duduk), keletihan pertama kali berkayuh dengan basikal baru GTnya.

Kepuasan juga Allah berikan daripada keletihan.

Hj Amir (3 dr kiri), dengan basikal baru NEXUS....bersedia menghadapi cabaran.
Hj Amir, Hj Azmin, Bro. Hj Mat, Dr Zainal dan dua mekanik basikal Sg Chua memeriksa basikal NEXUS baru Hj Amir. Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu daripada dosa-dosanya."

Jangan Mencaci Sesama Islam

Isnin, 26 Sya'aban 1430H - SATU hari, ketika Rasulullah SAW sedang berkumpul dengan para sahabatnya berhampiran Kaabah, seorang lelaki asing melintas di hadapan mereka. Setelah lelaki itu berlalu, Rasullullah berkata kepada para sahabatnya, “Dialah ahli syurga.” Rasullullah mengulanginya sebanyak tiga kali.
Berikutan kenyataan Rasulullah itu, timbul perasaan ingin tahu di kalangan para sahabat terutamanya Abdullah bin Umar yang memang dikenali sebagai seorang yang sangat kritikal.
Dia lalu bertanya kepada Rasulullah “Ya, Rasulullah, mengapa engkau katakan itu kepada kami, padahal selama ini kami tidak pernah mengenalinya sebagai sahabatmu? Sedangkan terhadap kami sendiri yang selalu mendampingimu engkau tidak pernah mengatakan hal itu?”
Rasulullah menjawab soalan Abdullah dengan penuh diplomasi dan bijak. Rasulullah berkata, ‘‘Jika engkau ingin tahu tentang apa yang aku katakan, silakan engkau tanyakan sendiri kepadanya.”
Abdullah yang mendengar jawapan Rasulullah itu semakin teruja untuk mengetahui apa istimewanya lelaki tersebut sehingga dia dikatakan sebagai ahli syurga.
Berikutan itu Abdullah berkunjung ke rumah lelaki berkenaan bagi mendapatkan jawapannya.
‘‘Semalam sewaktu engkau melintas di hadapan kami, Rasulullah mengatakan bahawa engkau seorang ahli syurga. Apa yang menjadi rahsiamu sehingga Rasulullah begitu memuliakanmu?'' Lelaki itu tersenyum, kemudian menjawab, “Sesungguhnya aku tidak pernah melakukan apa-apa. Aku bahkan tidak memiliki kekayaan apa-apa. Baik ilmu mahupun harta yang mampu aku sedekahkan, apa yang aku miliki hanyalah kecintaan.
‘‘Kecintaan kepada Allah, kepada Rasulullah dan kepada sesama manusia. Dan setiap malam menjelang tidur, aku selalu berusaha menguatkan rasa cinta itu, sekali gus berusaha menghilangkan perasaan benci yang ada kepada sesiapa saja. Bahkan terhadap orang-orang kafir sekalipun.”
Memelihara perasaan benci dan marah, bererti menyimpan perasaan ego. Wujudnya perasaan benci, bererti adanya sikap untuk menyalahkan orang yang dibenci itu dan menyalahkan orang lain bererti menganggap diri kita sahaja yang betul.
Kita tidak harus lupa bahawa sikap itulah yang ditunjukkan oleh syaitan ketika penciptaan Nabi Adam a.s.
Kisah tersebut memberikan gambaran kepada kita, bahawa perasaan benci, bukan hanya mengakibatkan fitnah dan permusuhan, tetapi juga dapat menimbulkan penyakit batin yang sangat buruk, sekali gus menjauhkan diri dari syurga yang menjadi idaman setiap mukmin.
Oleh itu sikap yang paling bijak ialah berusaha untuk memperbaiki diri, sekali gus menjadi orang yang pemaaf. Sebab itulah yang selalu dilakukan Rasulullah SAW sepanjang perjalanan hidup baginda. Sedangkan hidup Nabi adalah contoh bagi setiap mukmin.
Tetapi malangnya di kalangan umat Islam termasuklah mereka yang bergelar pemimpin mengaku kelemahan sendiri seolah-olah adalah satu dosa. Oleh itu mereka lebih suka menuding jari kepada orang lain termasuklah mencerca sesama Islam apatah lagi kalau sesuatu kumpulan itu dilihat sebagai musuh politik mereka.
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bersabda, ‘‘Orang Islam yang suka mencerca itu ibarat memakan daging saudaranya sendiri.’’
Dalam riwayat lain, Nabi bersabda bahawa seorang muslim adalah yang menyelamatkan sesama muslim dari lidah dan tangannya.
perbuatan
Di zaman Nabi, pernah ada sekelompok orang yang digerakkan kaum munafik telah mencerca sahabat Rasul. Baginda Rasulullah lalu bersabda, ‘‘Jangan kalian mencerca para sahabatku. Seandainya kalian membelanjakan harta sebesar Gunung Uhud, nescaya amal kalian tidak akan dapat mengalahkan para sahabatku.”
Sebenarnya pokok pangkal perbuatan itu ialah bergantung kepada lidah. Biarpun dia seorang pemimpin, dia seharusnya menjaga lidah apabila bercakap dan bukannya mengikut hati serta perasaannya sahaja.
Diriwayatkan bahawa Lukman al-Hakim, pernah disuruh majikannya membeli daging yang baik untuk menjamu para tamunya. Lukman membeli hati dan lidah. Majikannya berasa marah dengan tindakan Lukman dan bertanya kepadanya kenapa dia membeli hati dan lidah.
‘‘Tidakkah ini daging yang baik seperti tuan pesan. Hati merupakan sumber amal perbuatan yang baik, sedang lidah dapat menjalin persaudaraan. Dari keduanya orang dapat membangun kebaikan,” jawab Lukman.
Pada satu hari majikannya menyuruh Lukman membeli daging yang busuk. Tujuan majikannya ialah untuk mengetahui apa pula jenis daging yang akan dibeli oleh Lukman.
Apabila pulang Lukman sekali lagi membeli hati dan lidah. Tindakan Lukman mengejutkan majikannya dan bertanya kenapa dia berbuat demikian sedangkan yang disuruh dibeli ialah daging yang busuk.
‘‘Benar tuan, ini daging terbusuk. Hati adalah daging yang paling baik dan sekali gus juga paling busuk. Ia sumber kedengkian dan rasa bongkak. Lidah merupakan ‘alat’ untuk melaknat, mencerca dan mencaci orang lain.”
Justeru adalah jelas lidah merupakan cermin hati seseorang. Bila hati bersih, lidah nescaya tidak akan bertutur kecuali yang baik. Sebaliknya bila hati ‘tercemar’, maka lidah akan mudah berkata-kata yang buruk.
Oleh itu dalam kita memelihara persaudaraan Islam maka kita perlulah menjaga lidah daripada mencaci dan memaki hamun sesama Islam. Tidak kisahlah apapun perbezaan antara kita namun persaudaraan Islam tetap harus menjadi teras utama.
Untuk menggambarkan dalamnya persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah), Allah SWT menggunakan kata ikhwah, yang bererti “saudara kandung’' .
Ini berbeza dengan ikhwan, yang ertinya “berteman’', sebagaimana digunakan Allah dalam surat Ali ‘Imran ayat 103, untuk menggambarkan bagaimana suku-suku Arab pada zaman jahiliah yang bermusuh-musuhan, kemudian bersatu setelah memeluk Islam. Jadi, setelah berada dalam satu agama, setiap Muslim adalah teman bagi yang lain. Dan setelah keIslaman itu meningkat, setiap Muslim seharusnya dapat memandang Muslim lain sebagai saudara kandungnya.
Ukhuwah Islamiah dapat diwujudkan seperti disabdakan Rasulullah SAW yang antara lain dalam bentuk bahawa seorang Muslim harus dapat mencintai Muslim lain sebagaimana ia mencintai diri sendiri; bahawa seorang Muslim harus dapat merasakan kesusahan yang dialami Muslim lain.
memaafkan
Di dalam al Quran, Allah SWT meminta agar seorang Muslim tidak memusuhi, mencaci, buruk sangka kepada Muslim lain. Apa yang perlu dipertingkatkan ialah saling memaafkan, mendoakan dan melindungi.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita seharusnya memegang teguh kepada persaudaraan Islam seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud;
‘‘Berpegang teguh kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (semasa kekufuran kamu semasa jahilian), lalu Allah selamatkan dari itu nerakat itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah.’’
Semoga di sepanjang jalan hidup di alam fana ini, kita akan sentiasa memelihara ukhuwah Islamiah biar siapapun kita.

Oleh Zulkiflee Bakar

Friday, August 14, 2009

Pergi Tak Kembali

Jumaat, 23 Sya'aban 1430H -

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada...lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang...ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Ustaz Asri - Rabbani (kembali ke rahmatuallah pada 22 Sya'aban 1430H - AlFatihah )

Memimpin Amanah Allah

Jumaat, 23 Sya'aban 1430H - Mari kita meneliti pesanan Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar al-Ghifari yang datang memohon jawatan kepada Rasulullah s.a.w.; Sabda Nabi s.a.w. maksudnya: "Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." ( Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Imarah..)
Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain : Daripada Abu Zar, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim."
Dalam hadith ini Rasulullah SAW tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayak tidak wujud sepenuh. Abu Zar adalah seorang sahabi yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah jawatan dan politik berhajat ciri-ciri yang yang lebih dari itu, yang bukan semua individu memilikinya. Justeru itu tidak semua sahabah layak mengendalikan urusan siyasah atau politik seperti al-Khulafa ar-Rasyidun. Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan politik.
Hadith ini juga menjelaskan besarnya tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan di dalam Islam dan bukan sebarangan individu yang benar-benar mampu memikulnya. Justeru itu memberikannya kepada seseorang yang tidak memiliki keahlian atau kelayakan adalah punca kerosakan masyarakat dan umat. Kerosakan sistem masyarakat menatijahkan kerosakan individu keseluruhannya. Nabi SAW sering memberi amaran tentang kemusnahan hidup apabila amanah dikhianati.
Sabda Nabi SAW Maksudnya: "Daripada Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi SAW di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah SAW meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, baginda bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". ( Riwayat al-Bukhari.)
Firman Allah (maksudnya) :"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia hendaklah kamu berhukum dengana `adil." ( Surah an-Nisa': ayat 58)
Kata al-Imam al-Qurtubi : "Ayat ini adalah pusat segala hukum-hakam yang mengandungi seluruh isi agama dan syara'." Katanya juga: "Yang sebenarnya ayat ini adalah umum untuk semua manusia, ianya menyentuh para pemerintah mengenai amanah yang mereka tanggung dalam membahagikan harta-harta, menolak segala kezaliman dan adil dalam pemerintahan. Demikian juga, ayat ini juga menyentuh golongan yang selain mereka.." (Al-Jami` li Ahkam al-Quran, 5/256, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).
Itulah titah perintah Allah, agar posisi penting di dalam kepimpinan umat hanya diberikan kepada yang benar-benar layak menyendalikannya sehingga tidak berlakunya kepincangan, kecacatan dan kezaliman. Persoalan amanah merangkumi setiap aspek hidup, terutamanya persoalan kenegaraan. Termasuk dalam rangkaian amanah persoalan pentadbiran rumahtangga, pejabat, kampung, sekolah dan seumpamanya. Namun huraian para ulama banyak tertumpu kepada persoalan sistem politik dan negara kerana natijah kerosakan adalah besar jika amanah mengenainya diabaikan. Sekiranya pemimpin yang dipilih berkelayakan maka sejahteralah seluruh rangkaian di bawahnya. Sekiranya cacat maka cacatlah seluruh rangkaian dibawahnya.
Di atas nama amanah maka seseorang dituntut membuat pemilihan dan perlantikan yang tepat dengan tuntutan jawatan yang ada. Sekiranya tidak, maka dia dianggap pengkhianat. Apakah ciri-ciri yang jika seseorang melandasinya maka dia tidak dianggap khianat dalam perlantikan?
Ciri-ciri pemimpin yang perlu di pilih:Secara umumnya pemilihan yang bertanggungjawab berteraskan dua ciri asas yang mesti ada pada tokoh yang bakal dipilih iaitu ciri al-Quwwah dan al-Amanah.
Allah menyebut di dalam al-Quran menceritakan kisah Musa a.s.: (maksudnya) "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." ( Surah al-Qasas ayat: 26 )
Maka tugasan yang diberikan kepada seseorang wajar dilihat pada dua ciri utama yang disebut di dalam nas di atas. Ini seperti yang dihuraikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam as-Siyasah asy-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar-Ra`iyyah iaitu:
Pertama: Al-Quwwah iaitu kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas. Ciri-ciri al-Quwwah atau kemampuan merujuk bidang tugas yang diberikan. Contohnya, jika jawatan berkenaan berkaitan ekonomi konsep al-Quwwah merujuk kepada kemahirannya dalam pengurusan ekonomi. Bagi bidang kehakiman maka al-Quwwah merujuk kepada pengetahuan dalam persoalan hukum-hakam. Dalam bidang ketenteraan merujuk kepada persoalan kepakaran medan perang, semangat juang dan keberanian.
Kedua: Al-Amanah iaitu bersikap amanah atau bertanggungjawab. Ini merujuk kepada tiga perkara utama iaitu: Takutkan Allah, Tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah untuk mendapat habuan dunia dan tidak takutkan manusia.Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan: (maksudnya) "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah." ( Surah al-Qasas ayat: 26)Firman Allah dalam menyifatkan Jibril: (maksudnya) "Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai `arsy. Yang ditaati (di alam malaikat) lagi dipercayai) . ( Surah al-Takwir ayat 19-21)
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah lagi: "Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. ...
al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia.
Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya): "Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir” ( Surah al-Maidah: ayat 44 )..
Oleh itu sesiapa yang melantik atau memilih seseorang bagi mengendalikan sesuatu urusan yang berkait dengan umat tanpa diteliti persoalan al-Quwwah dan al-Amanah atau persoalan kemampuan dan amanah bererti telah menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya. Perbuatan itu mengundang kemurkaan Allah.
Di mana pun jawatan yang dipegang , sama ada pemimpin negara di peringkat negara atau negeri atau apa sahaja, maka setiap tugasan yang bakal diserahkan kepadanya berpandukan konsep al-Quwwah iaitu kemampuan untuk melaksanakan dan al-Amanah iaitu perasaan takutkan Allah dari melakukan pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua perkara ini dipastikan, maka sudah tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kekusutan masyarakat tidak akan timbul.
Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua orang atau jenis kelompok sahaja, seorang atau satunya daripadanya memiliki al-Quwwah atau kekuatan dan kemampuan tetapi kurang amanah, sementara seorang lagi satu kelopok lagi memiliki ciri amanah iaitu solih dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan, siapakah yang patut dipilih?
Dalam hal ini maka para `ulama al-siyasah al-syar`iyyah menyatakan pemilihan dalam keadaan sebegini hendaklah dilihat kepada jenis atau keadaan jawatan yang hendak diserahkan, kemudian menilai siapakah yang paling boleh memberi manfaat dan paling kurang mudharatnya apabila menduduki jawatan tersebut. Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kepada kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang solih ataupun tidak baik peribadinya. Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan maka hendaklah didahulukan yang amanah walaupun ada kelemahan dalam pengurusannya.
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: [i]"Apabila dua orang lelaki, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, lelaki yang kuat dan berani walaupun padanya ada kejahatan diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.
Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi solih tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat, kekuatan untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam"
Oleh itu usaha untuk memilih pemimpin yang memiliki dengan sempurna kedua-dua ciri ini adalah tanggungjawab besar umat agar terpeliharanya kita daripada golongan yang khianat dan merosakkan masyarakat. Perlu disedari, apa ertinya jika generasi pakar teknologi atau ilmu-ilmu lain yang tanpa amanah atau dalam kata lain tiada perasaan takutkan Allah yang akan menyebabkan mereka menggunakan kepintaran dan kecekapan untuk merosakkan tanggungjawab, melanggar hukum-hakam Allah sekaligus merosakkan umat. Pun begitu kita juga tidak mahu menyerahkan tugasan kepimpinan umat kepada suatu kelompok manusia yang baik, salih atau pandai agama tetapi jahil tentang selok belok pentadbiran dan perlaksanaannya sehingga mudah ditipu oleh golongan musuh dan pengkhianat yang menyebabkan kelemahan dan kelembapan perjalanan urusan umat. Maka menjadi tanggungjawab umat mencari pemimpin yang solih lagi takutkan Allah dengan melaksanakan seluruh arahan dan meninggalkan seluruh tegahanNya di samping pakar dan cekap dalam mengendalikan pentakbiran dan urusan.

Thursday, August 13, 2009

Rezeki Halal dan Haram

Khamis, 22 Sya'aban 1430H - Hindari rezeki bawa kepada azab Allah.Marilah kita mendengar dan memahami serta beramal dengan petunjuk Allah SWT di dalam al-Quran berkaitan rezeki yang dikurniakan kepada kita di dunia ini berdasarkan Firman Allah : "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya." (Al-Baqarah: 172)
Yang dimaksudkan dengan memakan rezeki yang halal ialah mengambil manfaat daripada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT, bukan sahaja dalam soal makan, minum, pakaian, tempat tinggal termasuk juga kenderaan yang digunakan. Semua perkara yang digunakan itu mestilah diambil daripada rezeki halal dan diizinkan oleh Allah SWT. Dengan lain pengertian, bukan sahaja rezeki itu daripada bahan-bahan halal tetapi perlu memastikan daripada sumber-sumber halal dan dimanfaatkan dengan cara yang diizinkan oleh Allah SWT.
Perkara ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w. : Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Sabda Rasulullah s.a.w: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Allah memerintah orang-orang yang beriman sahaja dengan apa yang diperintahkan kepada rasul-Nya.
Firman Allah SWT
: "Wahai rasul-rasul, makanlah kamu daripada yang baik lagi halal dan beramallah kamu dengan amal yang soleh, sesungguhnya Aku amat mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al-Mukminun: 51).
Dan firman Allah SWT: "
Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kamu yang halal yang Aku rezekikan kepada kamu." (Al-Baqarah: 172).
Kemudian Rasulullah s.a.w menceritakan seorang lelaki yang terlalu banyak musafirnya sehingga kusut masai rambutnya, berdebu pakaiannya. Lelaki itu berdoa kepada Allah:
"Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan sejak kecil lagi dia diberi makan dengan makanan yang haram, maka bagaimana Allah akan memperkenankan doanya?" (Riwayat Muslim)
Ini menunjukkan perkara yang halal sangat mempengaruhi kehidupan di dunia ini dan hubungan dengan Allah SWT dari kehidupan dunia sampai akhirat.
Bukan sahaja dimasukkan ke dalam syurga bagi mereka yang mengambil dan menggunakan yang halal dan dimasukkan ke dalam neraka bagi mereka yang menggunakan yang haram, bahkan mereka akan menjalani kehidupan dunia dalam keadaan yang tidak berkat serta mendapat kutukan Allah.
Yang dimaksudkan mengambil yang haram itu ialah mengambil harta dengan cara yang tidak diizin oleh Allah sama ada mencuri, merompak, menyamun, menipu, rasuah dan lain-lain lagi, termasuk mengambil harta sesama manusia dengan cara yang tidak diizinkan oleh syarak.
Itulah perkara-perkara yang haram yang dinyatakan oleh Allah SWT, bukan sahaja mengambil makanan dengan cara mencuri adalah haram di sisi Allah sepertimana meminum arak.
Maka begitu juga mengambil barang milik orang lain dengan cara yang tidak betul, termasuk juga menggunakan kenderaan dan rumah dengam sumber yang haram, termasuk juga tanah-tanah yang diambil, duit yang diambil dengan cara yang tidak halal, membahagi harta pusaka dengan cara yang tidak betul, semua yang diambil adalah haram di sisi Allah dan diberi amaran keras oleh Rasulullah s.a.w.
Amaran oleh Allah SWT kepada mereka yang memakan makanan yang haram, makanan yang diambil dengan harta yang haram, minuman yang haram atau minuman yang dibeli dengan harta yang haram, semuanya itu akan menjadi umpan api neraka dalam perut mereka.
Termasuklah mereka yang memakai pakaian dengan cara dan gaya yang haram juga akan menjadi umpan api neraka kepadanya pada hari kiamat.
Begitu juga kepada mereka yang mengambil tanah orang lain dengan cara yang haram. Ini bukannya satu perkara yang boleh dipermain-mainkan, termasuklah mereka yang cerdik pandai dan bijak, mencari rezeki secara rasuah.
Sabda Rasulullah s.a.w.
"Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerimanya."
Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah s.a.w :
"Orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah semuanya di dalam neraka."
Begitulah amaran yang keras daripada Nabi s.a.w. Rasuah bukan sahaja untuk mendapat sesuatu tetapi termasuklah untuk mendapat pengaruh seperti melantik pemimpin-pemimpin melalui rasuah sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Bani Izrail yang memilih pemimpin-pemimpin yang memberi rasuah kepada mereka. Maka pemimpin itu akan bersama dengan para pengikutnya di dalam neraka pada hari kiamat.
Mereka mengambil apa sahaja dengan tidak mengikut petunjuk daripada Allah SWT tetapi mengikut selera hawa nafsunya. Marilah kita menyelamatkan diri kita dengan agama.
Firman Allah : "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa padahal kamu mengetahui (salahnya). (Al-Baqarah: 188).
Marilah kita berpegang dengan petunjuk yang ditunjukkan oleh Allah serta petunjuk yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. terutamanya pada zaman manusia yang mabuk dengan keduniaan, kemewahan Allah SWT telah berfirman :"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan-urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak dalam segala keadaan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."Surah Al Jumu'ah Ayat 10.
Seberapa banyak pun rezeki yang kita cari dan perolehi di dunia ini tidaklah menjadi larangan di dalam Islam asalkan jangan sampai mencuaikan perintah Allah SWT dan melanggar larangan-larangan Allah SWT. Rezeki kita itu sebenarnya adalah hak Allah SWT dan Allah Taala Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sahajalah yang mengurniakan rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya mengikut aturan yang telah ditetapkan. Oleh itu, seseorang yang mencari rezeki itu hendaklah berniat untuk memelihara agamanya untuk mencukupi dirinya supaya tidak meminta-minta kepada orang lain dan untuk mendapatkan rezeki ahli rumah tangganya kemudian jika ada lebih disedekahkan pula kepada orang-orang yang berhajat.
Semua bidang pekerjaan yang kita ceburi di dunia ini sama ada kita berkhidmat dengan kerajaan mahupun swasta atau sebagai peniaga, petani, nelayan, buruh dan sebagainya hendaknya memastikan bahawa rezeki yang kita dapatkan itu betul-betul halal dan tidak menyimpang dari landasan hukum Islam yang sebenarnya, seperti tidak ada penipuan, penindasan, rampasan, khianat, riba, rasuah dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud:
"Dari Abi Hurairah ra telah berkata ia: Nabi saw bersabda Akan ada suatu zaman pada umat manusia yang seseorang itu tidak lagi mempedulikan apa yang diambilnya (rezeki yang diterima olehnya) apakah dari yang halal atau dari yang haram."
Setiap rezeki yang kita perolehi dari jalan yang salah ataupun bercampur antara yang halal dengan yang haram akan memberi kesan yang tidak baik, baik pada diri kita sendiri, keluarga, masyarakat mahupun kita dengan Allah SWT.
Ini jelas digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "
Dari Ibnu Umar ra katanya: Barang siapa yang membeli pakaian dengan harga sepuluh dirham, satu dirham di antaranya wang yang haram, maka Allah Taala tidak akan menerima salatnya selama pakaian itu masih dipakainya. Kemudian Ibnu Umar memasukkan kedua jarinya ke dalam dua telinganya, lalu berkata: Biarkanlah telinga ini tuli kalau tidak mahu mendengarkan kata-kata dari Nabi saw ini." (Hadis riwayat dari Imam Al-Bukhari).
Kita wajiblah berhati-hati dalam mencari dan mendapatkan rezeki, apalah gunanya kita mempunyai kekayaan di dunia ini tetapi segala ibadat dan amal bakti kita kepada Allah SWT tidak diredai-Nya, disebabkan kita terlalu rakus di dalam mencari harta hingga mencampur-adukkan antara yang hak dan yang batil. Nauzubillah Minzalik.
Semasa Sayidina Abu Bakar ra menjadi khalifah pernah terjadi suatu peristiwa terhadap dirinya yang boleh dijadikan iktibar dan panduan kepada kita selaku hamba Allah yang sangat daif ini, iaitu ketika Sayidina Abu Bakar ra makan suatu makanan, lalu hambanya memberitahu bahawa makanan yang dimakannya itu adalah hasil yang diterimanya daripada pekerjaannya sebagai tukang tilik, sebelum dia masuk Islam. Lantas Sayidina Abu Bakar ra mengeluarkan makanan tersebut seberapa yang boleh hinggakan memuntahkan semua makanan yang ada di dalam perutnya, lalu ditegur, mengapa Sayidina Abu Bakar ra sanggup berusaha mengeluarkan makanan tersebut, Sayidina Abu Bakar berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Badan yang tumbuh subur dengan makanan yang haram pasti akan merasai api Neraka. Oleh kerana itu aku memaksa makanan itu keluar, takut kalau-kalau ia menyuburkan badanku. Begitulah kisahnya tentang Sayidina Abu Bakar yang sangat teliti tentang halal haramnya rezeki yang dimakannya.
Oleh yang demikian wahai kaum Muslimin sekalian selaku pengguna dan juga peniaga dan sebagainya, kita hendaklah berhati-hati dalam mencari rezeki ini, jangan sampai kita tercebur kepada perkara yang haram seperti memakan makanan yang haram ataupun menjual barang-barang yang haram dan diragukan kehalalannya.
Hindarkanlah diri kita dari memakan makanan yang haram itu kerana orang yang memakan makanan yang haram itu api Neraka lebih utama baginya sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "
Tidak akan memasuki Syurga, daging yang tumbuh daripada yang haram, api Neraka lebih utama baginya." (Riwayat Al-Imam Ahmad).
Firman Allah SWT : "Oleh itu, makanlah wahai orang-orang yang beriman dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." Surah An-Nahl Ayat 114

Wednesday, August 12, 2009

Sabar Perisai Mukmin

Rabu, 12 Sya'aban 1430H - Menurut perspektif Islam, sebarang musibah dan ujian yang menimpa manusia mewajarkan satu renungan dan muhasabah diri setiap Muslim terhadap perjalanan hidup yang telah dan sedang berlangsung pada saat ini. Dari satu sudut, setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukannya sehingga menghadapi ujian begitu hebat daripada Allah. Dari sudut lain pula, kehidupan ini pada dasarnya sarat dengan ujian dan dugaan Allah bagi menguji sejauh mana keimanan dan ketakwaan setiap Muslim terhadap Allah. Muslim yang berjaya ialah mereka yang sentiasa mengambil iktibar, merenung diri dan seterusnya bersyukur kepada Allah.
Maka amat tepatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan dalam kehidupan ini melainkan orang yang benar-benar mahu mendengar dan merenung diri atau orang yang berilmu dan berkata benar. Wahai manusia! Kalian berada pada satu zaman yang penuh kemelut dan krisis. Di samping itu, masa juga berjalan begitu pantas. Pada waktu itu, kalian menyaksikan sesuatu yang asing dan baru akan berlaku silih berganti siang malam serta sesuatu yang jauh akhirnya menjadi lebih dekat di samping berselang-selang satu demi satu apa yang dijanjikan Allah.” – (Hadis riwayat Ibnu ‘Asakir)
Ini bermakna kehidupan di dunia ini tidak sunyi daripada kemelut, krisis, musibah dan malapetaka di mana tidak seorang pun manusia akan terlepas daripadanya. Masa pula seakan tidak lagi memberikan kesempatan bagi manusia untuk membuat pilihan sama ada esok atau lusa. Ini kerana malam dan siang bersilih ganti menghadirkan seribu satu dugaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan hidup manusia bagi menguji tahap keimanan dan ketakwaan yang bertakhta di jiwa sanubari.
Malah, dunia ini tidak lagi memberikan kebaikan dan keberkatan hidup kecuali kepada seorang yang sedia mendengar dan menginsafi diri atau seorang yang memanfaatkan ilmunya untuk menyampaikan kebenaran. Sabar dalam menghadapi musibah adalah perisai terbaik dan perhiasan wajib bagi setiap orang Islam kerana kehidupan dunia ini umpama medan ujian dan peperiksaan yang datang silih berganti kepada manusia. Allah berfirman dalam surah al-Taghabun, ayat 11 yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Oleh itu, sesiapa yang dapat menghadapinya dengan sabar dan tenang bermakna dia telah lulus dalam ujian itu dan akan terus diuji Allah sehingga menjadi Muslim yang benar-benar bertakwa kepadaNya.Kenyataan ini selari dengan sabda Rasulullah SAW apabila baginda ditanya sahabat yang bermaksud: “Siapakah orang yang paling banyak sekali terkena ujian? Jawab baginda: Para Nabi dan seterusnya orang yang seumpama mereka. Maka barang siapa yang tebal imannya nescaya banyaklah ujian yang akan menimpanya dan barang siapa yang lemah imannya sedikitlah pula ujiannya.” – (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Dalam waktu yang sama, berhadapan dengan keadaan yang sukar itu, setiap orang Islam perlulah sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauhkan daripada segala ujian dan musibah. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Bersihkanlah hartamu dengan zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah dan tolaklah olehmu bala bencana dengan doa.” (Hadis riwayat Tabrani)
Bukankah doa itu sebenarnya senjata ampuh seorang mukmin bila berada pada saat-saat genting, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah. Siapakah lagi pelindung dan penyelamat yang berupaya menyelamatkan dan menghindari manusia daripada bencana selain Allah yang Maha Berkuasa.

Rahmat Disebalik Dugaan

Rabu, 21 Sya'aban 1430H - Firman Allah SWT : “Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan ( tidak pula ) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab ( Lauhul Mahfuz ) sebelum Kami menciptanya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ( Kami jelaskan yang demikian itu ) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang sombong lagi membanggakan diri” ( Al-Hadid : 22-23 )

Kedamaian dan ketenangan hidup merupakan harapan setiap daripada kita, bahkan jiwa manusia menginginkan agar kesenangan itu kekal abadi dalam kehidupannya. Namun bergitu langit tidak selamanya cerah, kadang-kadang mendung mewarnai perjalanan hari, kerana ia merupakan suatu ketentuan. Begitu juga dalam kehidupan manusia bahawa setiap penderitaan, ujian, dugaan dan kesengsaraan merupakan ketentuan ilahi yang wajib diterima dengan hati yang sabar dan redha. Allah berfirman : “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji terlebih dahulu ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” ( Al-Ankabut: 2-3 }

Tidak ramai yang tahan dan sabar dalam menerima ujian Allah SWT, mungkin kerana dorongan hawa nafsu yang cintakan kehidupan di dunia ini. Allah berfirman : “ Berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang, yang ketika musibah, mereka berkata “ “Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan Kepada-Nya kita dikembalikan. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk”. ( Al-Baqarah : 155-157 ).

Ketahui bahawa sesungguhnya terlalu besar rahmat yang tersimpan di sebalik dugaan bagi insan yang sabar. Rasulullah SAW bersabda : “Apa pun yang menimpa diri seorang mukmin dari kepayahan, kesakitan, kesusahan dan apa pun keresahan yang dirasakannya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dari keburukan-keburukannya.” ( HR. Muslim). Sabdanya lagi yang bermaksud : “ Tiada musibah apa pun yang menimpa diri seseorang muslim melainkan Allah menghapuskan keburukannya ( dosanya) walaupun duri yang mengenai dirinya.” ( HR Bukhari & Muslim )

Umar bin Abdul Aziz berkata : “tiada ada sesuatu nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada seseorang, lalu diambil kembali nikmat tersebut sedangkan orang itu menerima takdir yang menimpa dirinya dengan sabar, melainkan Allah akan menggantikan yang lebih baik bagi dirinya.”.

Imam Ahmad dari Yunus, dari Ibnu Saad, dari Yazid bin Abdullah, dari Amir bin Abu Amir, dari Muttalib, dari Ummi Salamah berkata : “ Pada suatu ketika Abu Salamah mendatangiku setelah kembali menemui Rasulullah SAW, ia berkata : “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang sesungguhnya membuat saya merasa gembira, sebagaimana sabdanya : “ Tidak ada musibah apa pun yang menimpa diri seorang muslim lalu membaca Istirja ( In’nalillah wa’inna’illahi rajiaun ) pada saat musibah itu menimpanya, lalu berdoa : “Ya Allah ! berilah kami pahala dari musibah ini, dan berilah ganti yang lebih baik dari musibah ini, melainkan Allah akan mengabulkan doanya.”.

Musibah yang menimpa kita merupakan cubaan daripada Allah. Allah SWT berfirman : “ Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada dibumi itu sebagai perhiasan, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang paling baik amal perbuatannya. Dan sesungguhnya Kami akan menjadikan (pula) apa yag ada di atasnya menjadi tanah rata dan tandus.” ( Al-Khafi: 7-8 ).

Ketika seorang hamba itu ditimpa musibah, hendaklah ia berhati-hati dalam menangis dan juga dalam mangucapkan kata-kata yang boleh menghapuskan pahala dan merosakkan iman seperti mengatakan Allah itu zalim kepadanya dan sebagainya. Ketahuilah, bahawa Allah itu Maha Adil dan tidak akan berbuat zalim. Allah ialah Zat Maha Pemberi dan pada suatu ketika akan mangambilnya kembali dan Dialah yang berhak menuntut dari perbuatan hambanya. Rasulullah SAW bersabda: “ Tidaklah termasuk golonganku orang-orang yang memukul pipinya dan mengoyak-ngoyak bajunya serta memekik-mekik sebagaimana yang dilakukan oleh Jahiliyah.” (HR Bukhari & Muslim).

Perlu juga diingat ujian atau dugaan tidak hanya berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan saja, akan tetapi dapat juga berupa kesenangan, kekuasaan , kemegahan, keseronokan, kemewahan, pangkat dan sebagainya. Allah SWT berfirman : Dan Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan Kami-lah kamu semua kembali.”.Ujian sebegini lebih berat daripada ujian dengan musibah , Allah SWT berfirman : “ Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah kamu kembali.” ( Al-Alaq; 6-8 ). Rasulullah SAW ada bersabda : “Demi Allah,bukanlah kekafiran atau kemiskinan yang aku bimbangkan atas kamu, akan tetapi aku bimbang kalau-kalau kemewahan dunia yang kamu dapatkan sebagaimana yang telah diberikan kepada orang-orang yang sebelum kamu, lalu kamu bergelumbang dalam kemewahan itu sehingga kamu binasa sebagaimana mereka dahulu bergelumbang dan binasa pula.” ( HK. Bukhari). Baginda juga bersabda : “Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (HR Tarmizi)

Ujian seperti terkena penyakit dan kemalangan bermaksud untuk menguji kesabaran, kerelaan seseorang dalam menerima qadha dan qadar Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda : “ Tidak ada seorang Muslim pun yang ditimpa gangguan seperti ditusuk oleh duri atau yang lebih berat daripadanya, melainkan dengan ujian itu dihapuskan oleh Allah SWT perbuatan buruknya serta digugurkan dosa-dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daun-daunnya. ( HR Muttafaq alaih ). Sabdanya lagi : “Ujian yang tidak henti-hentinya menimpa kamu Mukmin lelaki dan perempuan, yang menimpa dirinya, hartanya, anaknya, akan tetapi ia tetap bersabar, ia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa.” (HR Tarmizi)

Allah SWT juga menguji kita dengan ujian berupa cinta dan sayang yang akan menyebabkan seseorang melampiaskan hawa nafsu dan melanjutkan keturunan sebagaimana Allah SWT berfirman: “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingni iaitu : wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (Syurga).” Ujian paling kuat bagi kaum lelaki pula sebagaimana di sabdakan oleh Rasulullah SAW: “Sepeninggalanku nanti tiadalah ujian yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki kecuali godaan kaum wanita.” (HR Bukhari).

Ujian yang paling berat yang ialah ujian berkenaan aqidah dan agama. Ramai orang mengaku Islam, beriman, termasuk juga alim ulamak, setelah diuji iman dan agamanya oleh Allah SWT dengan berbagai macam ujian dan cubaan ia tewas kerana lemah imannya hingga terjerumus ke dalam kecintaan kepada dunia dan hawa nafsu seterusnya menjadi sesat. Allah berfirman : “ Dan di antara manusia ada yang berkata : “Kami beriman kepada Allah, maka apabila ia disakiti ( kerana ia beriman ) kepada Allah, ia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah. Dan sesungguhnya jika datang pertolongan dari Tuhan. mereka pasti berkata: Sesungguhnya kami adalah bersertamu. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada manusia.? “ Dan sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang munafik.”( Al-Ankabut:10-11).

Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang sangat banyak mendapat ujian itu adalah para Nabi, kemudian baru orang yang dekat darjatnya kepada mereka. Orang diuji menurut tingkat ketaatannya kepada agamanya. Jika sangat kuat dalam beragama maka sangat kuat pula ujianan yang menimpanya, bila lemah dalam agamanya, maka diuji pula oleh Allah sesuai dengan tingkatan ketaatanya kepada agamanya. Demkianlah ujian itu sentiasa ditimpakan kepada seorang hamba sampai ia dibiarkan berjalan di muka bumi dalam keadaan tidak berdosa.”(HR Tarmizi).

Sebagai orang yang beragama lslam, kita hendaklah mempunyai keyakinan dan percayaan yang tidak berbelah bagi untuk menundukkan diri dengan ketetapan dan peraturan Allah supaya kita tidak terumbang-ambing dipukul oleh gelombang kehidupan yang selalu datang melanda. Kita hendaklah tetap sabar dalam menghadapi kemungkinan hari esok, tenang tidak gelisah dalam menghadapi bebagai ujian dan dugaan kerana akhirnya dari semuanya itu adalah kematian.

Wallahu a’lam.

Petikan daripada buku “Rahmat Disebalik Dugaan”, karangan Kasmuri Selamat MA

Tuesday, August 11, 2009

Puasa Yang Di Makruh dan Di Haramkan.

Selasa, 20 Sya'aban 1430H - Puasa-puasa yang dimakruhkan itu ialah:
PUASA HARI JUMAAT ATAU HARI SABTU ATAU HARI AHAD SEMATA-MATA
Adalah makruh berpuasa pada hari Jumaat satu satunya sahaja tanpa di sambung sebelum atau sesudahnya dengan puasa yang lain. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: "Jangan kamu berpuasa pada hari Jumaat sahaja." (Hadits riwayat Ahmad)
Tetapi jika digabungkan puasa hari jumaat itu dengan satu hari puasa yang lain sama ada di sebelumnya atau sesudahnya, maka tidaklah dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, aku mendengar Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam bersabda : Maksudnya: "Jangan berpuasa salah seorang daripada kamu pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau selepasnya." (Hadits riwayat Bukhari)
Adapun dihukumkan makruh hanya berpuasa sehari semata-mata pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Busr daripada saudara perempuannya sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu melainkan apa yang telah difardhukan Allah ke atas kamu. Jika seorang daripada kamu tidak mendapati (pada hari itu apa-apa makanan) melainkan satu kulit anggur atau ranting pokok, maka hendaklah dia memamahnya. (supaya kamu tidak dinamakan berpuasa pada hari itu)" (Hadits riwayat Tirmidzi)
Maka oleh kerana itu juga dimakruhkan hanya berpuasa sehari semata-mata pada hari Ahad kerana hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Nasrani. Diriwayatkan oleh An-Nasa‘i bahawa hari-hari yang paling banyak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan puasa ialah hari Sabtu dan Ahad (dengan bergabung), dan baginda bersabda: Maksudnya: "Sesungguhnya Sabtu dan Ahad adalah dua hari raya bagi orang-orang musyrik dan aku suka supaya aku menyalahi mereka." (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/603 dan Tuhfah Al-Muhtaj 3/458)
Jika dilakukan puasa dua hari tersebut (Sabtu dan Ahad) bersama-sama atau didahului puasa hari Sabtu itu dengan berpuasa pada hari Jumaat atau disambung puasa hari Ahad itu dengan berpuasa pada hari Isnin, maka tidaklah dihukumkan makruh kerana sedemikian itu tidak diagungkan oleh mana-mana kaum.
Dihukumkan makruh berpuasa sehari semata-mata pada tiga hari tersebut (Jumaat, Sabtu dan Ahad) apabila tidak ada sebab lain yang dianjurkan untuk berpuasa. Apabila ada sebab lain yang menganjurkan untuk berpuasa seperti bertepatan hari tersebut dengan puasa hari Arafah, ‘Asyura’ atau hari tersebut bertepatan dengan puasa orang yang melakukan puasa Nabi Daud (berpuasa sehari dan berbuka sehari) atau ia melakukan puasa pada hari tersebut kerana puasa qadha atau nazar, tidaklah dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Maksudnya: "Jangan kamu mengkhususkan pada malam Jumaat untuk mendirikan sembahyang (malam) daripada malam-malam yang lain, dan jangan kamu mengkhususkan pada hari Jumaat untuk berpuasa daripada hari-hari yang lain kecuali satu puasa yang (kebetulan bertepatan) seorang di antara kamu berpuasa (pada hari itu)." (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/603, Fath Al-‘Allam 4/165 dan Syarh Shahih Muslim 4274) (Hadits riwayat Muslim)
PUASA SEPANJANG TAHUN SELAIN DUA HARI RAYA DAN HARI-HARI TASYRIQ
Adalah makruh hukumnya berpuasa sepanjang tahun selain dua hari raya dan hari-hari Tasyriq bagi sesiapa yang takut akan kemudaratan atau terabai hak sama ada yang wajib atau yang sunat. Diriwayatkan daripada ‘Atha bahawa Al-‘Abbas, seorang ahli syair mengkhabarkan kepadanya bahawa dia mendengar Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: "Telah sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawasanya aku terus menerus berpuasa dan mengerjakan sembahyang malam. Sama ada baginda mengutus seseorang kepadaku (untuk berjumpa baginda) atau aku sendiri yang menemui baginda. Maka baginda bersabda: "Benarkah adanya dikhabarkan bahawa engkau berpuasa dan tidak berbuka dan engkau mengerjakan sembahyanag malam dan tidak tidur? Puasalah sehari dan berbukalah sehari, dan dirikanlah sembahyang malam dan tidurlah, sesungguhnya bagi dua matamu ke atasmu mempunyai bahagian hak dan sesungguhnya bagi dirimu dan keluargamu ke atasmu mempunyai bahagian hak" Dia berkata: "Sesungguhnya aku mempunyai kekuatan untuk mengerjakan sedemikian" Baginda bersabda: Berpuasalah seperti puasa Nabi Daud ‘Alaihissalam" Dia berkata: "Bagaimana (puasa Nabi Daud ‘alaihissalam)?" Baginda bersabda: "Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari dan dia tidak lari apabila bertemu musuh (tetap segar dalam menghadapi musuh di medan pertempuran) Dia berkata: "Aku harus bagaimana (dalam hal ini) wahai Nabi Allah?" ‘Atha berkata: "Aku tidak mengetahui bagaimana disebut perihal puasa sepanjang masa". Nabi bersabda sebanyak dua kali: "Tidak dianggap berpuasa sesiapa yang berpuasa sepanjang masa." (Hadits riwayat Bukhari)
Tetapi bagi sesiapa yang tidak takut akan kemudaratan dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada pengabaian hak-hak, tidaklah dihukumkan makruh berpuasa bahkan disunatkan. (Lihat Mugni Al-Muhtaj 1/603 dan Fath Al-Allam 4/165)
PUASA YANG DIHARAMKAN
Puasa yang diharamkan itu ialah: Puasa pada hari raya Aidilfitri, Aidiladha dan hari-hari Tasyriq Adalah diharamkan berpuasa pada hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah berpuasa dua hari iaitu hari raya Adha dan hari raya fitri." (Hadits riwayat Muslim) Manakala daripada Nubaisyah Al-Hadzali berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: "Hari-hari Tasyriq adalah hari-hari makan dan minum (bukan hari berpuasa)." (Hadits riwayat Muslim)
Puasa pada hari Syak dan hari-hari separuh yang kedua bulan Sya‘ban
Adalah haram berpuasa sunat pada hari Syak iaitu pada 30 haribulan Sya‘ban yang tersebar berita di kalangan orang bahawa anak bulan Ramadan telah dilihat, akan tetapi tidak disabitkan oleh hakim (pemerintah) kerana tidak dipersaksikan penglihatan anak bulan itu oleh seorang yang adil atau ianya dipersaksikan oleh dua orang kanak-kanak atau beberapa orang perempuan atau seorang hamba atau seorang fasik. Jika tidak ada tersebar berita tersebut maka tidaklah dikatakan pada hari itu adalah hari Syak bahkan ia adalah termasuk hari-hari daripada bulan Sya‘ban. Begitu juga adalah diharamkan berpuasa sunat pada hari-hari separuh yang kedua bulan Sya‘ban (16 hingga 30 Sya‘ban) tanpa ada sebab. Diriwayatkan daripada ‘Ammar bin Yasir berkata: (Lihat I‘anah Ath-Thalibin 2/309 dan Al-Qamus Al-Fiqhi 201) Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa pada hari yang syak padanya manusia (hari Syak) maka sesungguhnya dia telah menderhakai Abu Al-Qasim Shallallahu ‘alaihi wasallam." (Hadits riwayat Tirmidzi)
Manakala diriwayatkan pula daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Apabila telah masuk separuh bulan Sya‘ban maka janganlah kamu berpuasa." (Hadits riwayat Abu Daud) . Jika seseorang itu berpuasa pada hari Syak atau pada separuh kedua bulan Sya‘ban dengan ada sebab seperti puasa qadha, nazar dan kaffarah atau kebetulan bertepatan hari syak itu dengan puasa yang pada adatnya dia berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis dan puasa sehari dan berbuka sehari atau dia telah berpuasa pada 15 Sya‘ban dan berterusan puasanya itu tanpa berbuka hingga ke hari Syak, maka baginya dibolehkan berpuasa pada hari Syak dan separuh kedua bulan Sya‘ban itu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: (Lihat I‘anah Ath-Thalibin 2/309 dan Fath Al-‘Allam 4/151-152) Maksudnya: "Jangan kamu dahului bulan Ramadan itu dengan berpuasa sehari dan juga dua hari melainkan puasa seseorang yang (kebetulan bertepatan) dia berpuasa (pada adatnya hari itu). (Hadits riwayat Muslim) .
Puasa seorang isteri tanpakeizinan suaminya yang berada di dalam negeri
Adalah haram bagi seorang isteri berpuasa sunat atau puasa qadha muwassa‘ (yang mempunyai masa yang panjang lagi untuk diqadha) tanpa keizinan suaminya yang berada di dalam negeri. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: (Lihat Tuhfah Al-Muhtaj 3/461) Maksudnya: "Janganlah seorang perempuan (isteri) berpuasa sedangkan suami ada (di dalam negeri) melainkan dengan keizinan suami; dan janganlah dia mengizinkan (orang lain) masuk rumah suami sedangkan suami ada, melainkan dengan keizinan suami; dan apa pun yang dia nafkahkan dari hasil kerja suami tanpa perintah suami, maka separuh pahala itu adalah bagi suami." (Hadits riwayat Muslim)
Demikianlah disebutkan puasa-puasa yang sunat, makruh dan haram. Di antaranya ada yang dihubungkan hukumnya sama ada sunat, makruh dan haram dengan bersempenakan hari-hari tertentu dan ada pula dihubungkan hukumnya sama ada sunat, makruh dan haram dengan keadaan diri orang yang berpuasa. Semoga ia akan menjadi panduan dan rujukan ringkas dalam mengerjakan ibadah puasa-puasa sunat sepanjang tahun.

Monday, August 10, 2009

Solat Tiang Agama

Isnin, 19 Sya'aban 1430H - Rasullah s.a.w bersabda : "Solat itu adalah tiang agama (Islam). Maka sesiapa yang mendirikan solat, dia telah menegakkan agama. Dan sesiapa yang meninggalkan solat, bererti dia telah meruntuhkan agama".Riwayat Ai-Bahari
Solat juga adalah amalan asas bagi setiap penganut agama Islam. Rasullah s.a.w bersabda : "Yang membezakan di antara orang Islam dan kafir ialah solat".
Rasulullah SAW bersabda :"Siapa yang meninggalkan solat dengan sengaja,maka sesungguhnya dia telah kafir dengan nyata"-HR Bukhari dan Muslim.
Makna solat dari segi bahasa adalah doa. Dan dari istilah syarak ialah solat yang terdiri daripada perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi pula dengan salam. Solat juga adalah suatu kewajipan yang wajib dilakukan oleh semua umat islam, tidak kira ianya miskin,kaya,hamba atau merdeka, lelaki mahupun wanita untuk melakukannya.
Sabda rasulullah s.a.w:"Ditegakkan islam atas lima perkara : pengakuan syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan allah, pengakuan bahawa nabi muhammad itu rasulullah, mendirikan sembahyang,mengeluarkan zakat, menunaikan fardhu haji dan berpuasa dibulan ramadhan".Meninggalkan solat adalah berdosa besar kerana ia menjadikan seseorang itu tidak ada keislamannya kecuali mengerjakan solat pada setiap waktu disamping menunaikan rukun islam yang lain. Dalam ertikata lain, rukun islam mestilah dikerjakan dan wajib menjadikannya sebagai amalan harian yang berkekalan, supaya tidak cacat sifat keislamannya sebagai seorang muslim.Sebahagian daripada masyarakat kita hari ini menganggap bahawa solat itu sebagai ibadat untuk perseorangan sahaja, namun sebenarnya ada beberapa hikmah dari segi kemasyarakatan yang terjalin dengan cara berhimpun (berjemaah didalam masjid-masjid dan surau-surau.Semua ini adalah menjadikan satu jalinan untuk mempereratkan silaturrahim dan kesedaran bersama bagi mencapai keredhaan allah s.w.t.
Firman Allah : " Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang ruku". Surah Al-Baqarah - Ayat 43
Disamping itu Allah s.w.t mewajibkan keatas kita supaya melakukan solat jemaah sekali dalam seminggu, disamping mereka berkumpul untuk mengabadikan diri kepada allah s.w.t, dapat juga mereka berkenal-kenalan diantara satu sama lain, disamping mendengar panduan dan nasihat daripada khutbah dibacakan oleh khatib demi kebajikan bersama dalam usaha mencapai keredhaan allah s.w.t. Rasulullah s.a.w: "Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat seorang diri dengan beroleh ganjaran 27 darjat". Riwayat Al-Bahari daripada hadis yang dibacakan tadi, dapatlah kita fahami bahawa orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat akan merasa bahawa solat itu adalah satu perkara yang mudah dan senang sekali untuk dikerjakan, berbanding dengan sikap orang-orang yang berjiwa kotor serta keji, yang mana akan merasakan begitu sukar dan amat susah sekali untuk melakukan ibadat solat, seolah-olah ibadat solat itu menjadi beban kepada kehidupan mereka, bertepatan dengan firman Allah s.w.t:"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipudaya (terhadap agama) allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riya' (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka oleh orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati allah s.w.t (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)".Sesungguhnya ibadat solat itu boleh melahirkan umat islam yang terbaik, kerana ibadat solat dapat mendidik setiap individu memiliki peribadian yang cemerlang didunia dan akhirat.
Firman Allah s.w.t : "Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar". Al-Ankabut ayat 45
Solat itu dapat membantu kita samada dalam keadaan senang atau pun susah.
Firman allah s.w.t : "Wahai sekalian orang-orang yang beriman!, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan ) sembahyang, kerana sesungguhnya allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar". Al-Baqarah ayat 153
Solat mendidik dan melatih kita menjadi orang yang dapat menghadapi segala kesusahan dengan hati yang tenang dan sabar serta dapat menghilangkan tabiat sombong dan takabur. Ini kerana orang yang benar-benar mendirikan solat tidak sekali-kali takut akan kemiskinan dan keperitan hidup didunia ini.
Firman Allah : "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kami lah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa." Surah Thaahaa - Ayat 132
Solat menjadikan hati manusia itu baik dan bersih, ianya perlu dibasuh melalui ibadat solat, membaca al-qurannulkarim dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Ini dapat memberikan ketenangan hati serta melahirkan rasa cinta kepada Allah s.w.t, disamping akan memperolehi cahaya iman dengan penuh khusyuk dan tawaduk terhadap perintah allah dan larangannya.Dengan ini jelaslah kepada kita, bahawa mereka yang tidak mengerjakan ibadat solat, maka sudah pasti selama-lamanya mereka dalam keadaan berdosa besar kerana hidup dalam kekufuran. Mereka hanya mengenal kebaikan islam, tetapi tidak terbuka hati untuk beramal ibadat dan menerima ajaran islam. Oleh itu, bagi mereka yang tidak melakukan solat, sudah pasti mereka tidak dapat mengenal Allah s.w.t, maka selama itulah pula dia tidak akan pernah mengenal dirinya sendiri. Adakah dirinya seorang yang baik?, seorang yang jujur, seorang yang amanah atau pun dirinya adalah jahat dan penipu?. Seorang yang pendengki,pengkhianat,suka melakukan maksiat dan lain-lain lagi. Itulah sifat dan kelakuan orang yang tidak mengenal Allah s.w.t hasil daripada tindakannya tidak melakukan solat.Sebagaimana yang kita maklumi, bahawa rukun islam yang kedua ialah solat lima waktu sehari semalam. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh imam bahari bahawa seorang lelaki telah bertemu Rasulullah s.a.w lalu ia berkata:"Wahai Rasulullah!, tunjukkanlah kepada aku satu amalan yang membolehkan aku masuk kesyurga". Maka Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda :"Engkau hendaklah mengabadikan diri kepada Allah s.w.t, jangan menyengutukannya dengan sesuatu pun, dirikanlah sembahyang sebagaimana yang difardhukan dan keluarkanlah zakat serta berpuasa dibulan ramadhan". Lalu orang itu berkata: " Demi Allah yang berkuasa keatas diriku, aku tidak akan menambah atau mengurangi sama sekali apa yang telah dijelaskan kepadaku. "Setelah orang itu beredar, Rasulullah s.a.w bersabda :"Siapa yang ingin melihat ahli syurga,maka lihatlah kepada lelaki itu".Akhirnya marilah sama-sama kita menilai semula solat fardhu yang telah kita kerjakan, kerana solat itu penghulu segala ibadat yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t ketika Rasulullah s.a.w dimakrajkan dan juga sekaligus mengangkat darjat solat sebagai ibadat yang terpenting kerana ibadat solat bukan hanya mempunyai nilai rohani, tetapi juga nilai pendidikan, kerana ia bukan sahaja membersihkan dosa, bahkan solat juga mempu mengubah peribadi manusia jika dia mengerjakannya dengan baik dan sempurna. Insya-allah , solat juga merupakan penawar kepada umat islam demi mencapai kebahagiaan hakiki dunia dan akhirat.

Friday, August 7, 2009

Nasihat Luqman

Jumaat, 16 Sya'aban 1430H - SURAH Luqman adalah surah ke-31 dalam al-Quran, salah satu daripada surah Makkiyah. Ia mempunyai 34 ayat, lapan daripadanya menceritakan mengenai Luqman dan nasihat beliau kepada anaknya bermula dari ayat 12 hingga 19. Identiti sebenar Luqman tidaklah diberitahu dalam al-Quran, tidak dinyatakan dari mana asalnya atau dari umat nabi manakah beliau tergolong. Ada mengatakan Luqman seorang lelaki kulit hitam seperti Bilal. Cukup untuk kita ketahui bahawa beliau adalah hamba yang terpilih sehingga tersemat namanya dalam al-Quran sebagai hamba Allah SWT yang bersyukur seperti tertulis di permulaan ayat yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami berikan hikmat kepada Luqman iaitu: Bersyukurlah kepada Allah, dan sesiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri.” (Surah Luqman, ayat 12) Walaupun nasihat Luqman ditujukan untuk anaknya, ia boleh menjadi pegangan kepada umat Islam seluruhnya tidak kira muda atau tua. Iktibar boleh diambil daripada mana-mana sudut kefahaman sama ada sebagai panduan bagi ibu bapa untuk mendidik anak, panduan menjadi anak yang soleh dan juga panduan menjadi Muslim yang diredai. Jika diteliti, nasihat Luqman berkisar kepada beberapa aspek penting. Beliau memberi penekanan mengenai penjagaan akidah, amal perbuatan, ibadat, dakwah dan akhlak. Kesemua aspek itu penting dan berkait rapat dalam usaha mencapai peribadi Muslim sejati.
Aspek utama Muslim sejati yang wajib diberi keutamaan adalah AKIDAH. Luqman mengingatkan dan menekankan betapa pentingnya untuk sentiasa mentauhidkan Allah SWT serta tidak melakukan syirik. Kekuatan akidah diberi penekanan kuat kerana ia adalah perkara asas yang perlu dimantapkan dalam diri setiap Islam kerana dari situ barulah dapat dimajukan aspek keagamaan lain. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bahawa Luqman berkata kepada anaknya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13) Seterusnya Allah SWT membenarkan apa yang dikatakan Luqman dalam ayat seterusnya dengan menambah mengenai betapa pentingnya untuk kekal mentauhidkan Allah SWT walaupun jika kedua ibu bapa melarang daripada mempercayai bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Esa. Kedua ibu bapa mestilah dilayan dengan baik kerana mereka tetap individu yang banyak berjasa membesarkan kita dan mempunyai pertalian darah daging yang tidak ada pada orang lain selain kedua ibu bapa sendiri.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) terhadap dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah lemah, dan menceraikannya daripada menyusu dalam masa dua tahun. Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu mengenai itu, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya, dan pergauilah kedua-duanya dengan baik.” (Surah Luqman, ayat 14 dan 15) Ini kemudiannya dikaitkan dengan aspek amal perbuatan ketika Luqman berkata lagi: “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatanginya (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.” (Surah Luqman, ayat 16) Ayat itu menekankan betapa pentingnya menjaga setiap amal perbuatan, walaupun ketika menghadapi dugaan berat seperti memiliki ibu bapa yang tidak mengikut lunas akidah Islam. Kita mestilah sentiasa berbuat baik kerana Allah tetap akan menilai setiap perbuatan tidak kira dalam apa juga situasi dan di mana saja. Aspek berikutnya adalah mengenai ibadat dan Luqman mengingatkan anaknya supaya tidak meninggalkan ibadat solat yang menjadi kefarduan bagi seluruh umat Islam. Beliau berkata: “Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang perlu diambil berat untuk melakukannya.” (Surah Luqman, ayat 17) Di situ dapat dilihat Luqman turut menekankan kepentingan melakukan dakwah. Perkara yang tidak baik hendaklah ditegah manakala perkara yang baik hendaklah digalakkan. Ia menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Sifat tabah juga perlu dalam usaha menyebarkan dakwah kerana sudah pasti ada pelbagai dugaan dan cabaran menanti. Seterusnya Luqman menasihati lagi supaya jangan bermegah-megah dan bongkak kerana Allah SWT benci akan sifat sombong. Hendaklah seseorang itu sentiasa bersifat tawaduk dan merendah diri melakukan dakwah walaupun memiliki ilmu pengetahuan agama yang tinggi. Janganlah menganggap diri lebih baik dan pandai daripada orang lain sehingga lupa bahawa manusia adalah tidak lain selain hamba Allah SWT yang lemah. Luqman berkata: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18) Justeru, aspek akhlak juga penting bagi melengkapkan ciri-ciri yang diperlukan dalam diri setiap Muslim. Sikap dan penampilan peribadi perlu dijaga bermula daripada cara seseorang itu bercakap hinggalah kepada gaya ketika berjalan. Nasihat terakhir Luqman: “Dan bersederhanalah kamu dalam berjalan (tidak terlalu cepat atau terlalu lambat) dan rendahkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Luqman, ayat 19) Jika diteliti dengan mendalam, nasihat Luqman merangkumi semua aspek penting yang sangat berguna bukan saja kepada anaknya, kepada semua individu Muslim tidak kira peringkat umur dan zaman. Peranan dan tanggungjawab digalas setiap Muslim mesti dilaksanakan sama ada tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa, sesama manusia dan paling penting tanggungjawab manusia kepada Pencipta untuk taat patuh suruhan-Nya.
Oleh Zahid Zamri

Thursday, August 6, 2009

Cara Tidur Rasulullah SAW

Khamis, 15 Sya'aban 1430H - Umat Islam dianjurkan supaya selalu berdo'a dan berzikir dalam apa jua keadaan demi mendapatkan rahmat dan keberkatan hidup daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Ia juga dihasratkan untuk mengelakkan daripada terjadinya gangguan-gangguan makhluk-makhluk seperti jin dan syaitan, sama ada ketika senang ataupun susah, ketika berdiri, duduk, berjalan, bekerja dan begitu juga waktu bangun dan tidur.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menganjurkan agar kita selalu berzikir, sehingga dalam perkara tidur juga kita diberikan garispanduan dengan menganjurkan do'a dan zikir-zikir tertentu. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai model terunggul bagi umat Islam telah menggariskan adab kesopanan, peraturan dan panduan ketika tidur untuk diamalkan sebagaimana Baginda sendiri mengamalkannya.
Dalam sebuah hadis diterangkan: Maksudnya: "Al-Barra' bin Azib Radhiallahu 'Anhu berkata: "Adalah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam jika akan tidur, miring ke sebelah kanan kemudian Baginda membaca:

Maksudnya : " Ya Allah aku serahkan diriku kepadaMu dan menghadapkan mukaku kepadaMu dan menyerahkan semua urusanku kepadaMu, dan menyandarkan punggungku kepadaMu kerana mengharap dan takut kepadaMu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksaMu kecuali kembali kepadaMu. Aku percaya kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utus". (Hadis riwayat Bukhari)
Menurut sebuah hadis lagi riwayat Bukhari dan Muslim: Maksudnya: "Jika kamu akan tidur maka berwudhu'lah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah do'a ini (seperti do'a yang tersebut di atas) dan jadikanlah bacaan do'a itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu)".
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis :
"Daripada 'Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Tidur adalah dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya, iaitu sekiranya seseorang itu tidur dengan melakukan saranan-saranan dan mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Dalam sebuah hadis daripada Huzaifah katanya: "Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam apabila Baginda berbaring di tempat tidurnya, Baginda berdo'a
(Ya Allah, dengan namaMu aku mati dan aku hidup)
dan apabila bangun Baginda membaca:
(Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepadaNyalah tempat kembali)."
Dalam riwayatnya yang lain menerangkan: "Daripada 'Aisyah Radhiallahu 'Anha katanya: "Nabi Sallalahu 'Alaihi Wasallam apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam Baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdo'a), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian Baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dapat disapunya mulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmizi)
Selain itu sebelum tidur Baginda menunaikan sembahyang Witir sebagaimana hadis yang menyebutkan: "Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan sembahyang witir setiap kali sebelum tidur.” (
Hadis riwayat Bukhari)
Ketika Baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, Baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum Baginda tidur semula.
Dalam sebuah hadis yang lain pula Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:
"Sesungguhnya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang di antara kamu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang pertama. Apabila dia berwudhu' maka akan terbukalah ikatan yang kedua. Apabila dia sembahyang maka akan terbukalah ikatan semuanya. Dia juga akan merasakan suatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak dia akan merasa malas dan kekusutan hati" (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
Demikian antara cara tidur Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam untuk menjadi amalan kita.
Dipetik dari: Jabatan Mufti Kerajaan Brunei.

Wednesday, August 5, 2009

Tangisan Dalam Islam

Rabu, 14 Sya'aban 1430H - Tangisan menurut perspektif Islam, boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu tangisan yang berbentuk negatif dan tangisan yang berbentuk positif. Tangisan yang dilarang ialah seperti meraung dan melolong dengan sekuat hati apabila menerima atau meratapi kematian. Tangisan seperti ini bukan sahaja dipandang negatif kepada orang yang melakukannya tetapi juga mayat yang diratapinya itu turut terseksa kerana perbuatannya. Ini berbeza dengan tangisan positif iaitu tangisan yang terjadi kerana cinta dan takut kepada Allah. Malah Nabi Muhammad pun menangis bila mengenangkan kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh umatnya serta tatkala baginda memohon ampun dari Allah. Antara jenis-jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam Islam ialah:Antara jenis-jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam Islam ialah:
1. Ketika melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah
Orang-orang yang beriman dan bertaqwa akan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Golongan ini sama sekali tidak pernah mengeluh malah sentiasa reda dengan apa yang mereka terima. Maka dengan sebab itu, orang-orang sebegini adakalanya menitiskan air mata apabila menerima rahmat dan nikmat-nikmat tersebut. Sebagai contoh, dalam satu riwayat oleh Anas bahawa Rasulullah bersabda kepada Ubay bin Ka’ab: “Allah menyuruh membacakan kepadamu Surah al-Bayyinah ayat 1, “Orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata,” Ubay bertanya : “Apakah Allah menyebut namaku?” “Nabi menjawab ya, lalu menangislah Ubay (kerana mendengar berita gembira itu). Ayat tersebut menyatakan tentang pendirian kaum Yahudi dan Nasrani terhadap seruan Nabi Muhammad sebagai Rasul yang telah menerangkan kepada mereka agama yang telah dibawa olehnya iaitu agama Islam. Mereka (Yahudi dan Nasrani) kenal Nabi Muhammad yang diutus sebagai rasul kepada umat akhir zaman, tetapi setelah baginda dibangkitkan mereka tidak percaya malah tidak mahu beriman kepada apa yang dibawa oleh baginda.
2. Kerana menyesali perbuatan dan dosa yang dilakukan.
Tangisan penyesalan biasanya terjadi apabila seseorang yang telah melakukan dosa, menyedari dan menyesali perbuatannya dengan bersungguh-sungguh. Ekoran daripada penyesalan itu maka timbul rasa sedih yang mendalam yang akhirnya akan menitiskan air mata. Tangisan yang sedemikian itu timbul akibat wujudnya rasa kesedaran yang mendalam dan rasa takut yang amat sangat kepada Allah. Keadaan sebegini akhirnya akan mendorong seseorang itu bertaubat dan seterusnya kembali ke jalan yang benar. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam ayat 82 Surah al-Taubah, “Maka hendaklah mereka sedikit tertawa dan banyak menangis sebagai pembalasan dari apa yang mereka telah kerjakan.”
3. Apabila bertambah keimanan kepada Allah
Iman yang tertanam dalam hati akan terus subur dan mekar apabila disirami dengan ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca dengan penuh penghayatan sehingga boleh menyebabkan seseorang itu menitiskan air mata. Tangisan sebegini merupakan tangisan yang tinggi nilainya kerana ia merupakan campuran antara rasa kesedaran dan keimanan yang tidak berbelah bagi. Justeru tanpa disedari akan bercucuran tangisan akibat rasa keimanan yang begitu mendalam sebagaimana firman Allah dalam ayat 58, Surah Maryam; “Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Tuhan Yang Pemurah, mereka segera sujud serta dan menangis.”
4. Timbul dari rasa khusyuk dan tawaduk
Tangisan seperti ini boleh terjadi apabila seseorang itu khusyuk dalam beribadat. Air mata yang menitis itu bukan kerana perasaan sedih tetapi kerana menyedari betapa diri yang begitu kerdil ketika berhadapan dengan pencipta-Nya. Bahkan, orang yang mencapai tahap kekhusyukan itu termasuk salah satu dari tujuh golongan yang memperoleh keistimewaan pada hari kiamat seperti sabda Rasulullah: “Tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naunganNya (iaitu) : Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang dibesarkan dalam beribadat kepada Allah, orang yang hatinya selalu rindu pada masjid, dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah iaitu bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan dan rupawan lalu ditolaknya dengan berkata, “Aku takut kepada Allah”, seorang yang bersedekah dalam keadaan rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan menyendiri lalu menitis air matanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Bimbang terputusnya rahmat Allah
Suatu hal yang menyedihkan hati dan amat dibimbangi oleh orang-orang yang beriman ialah terputusnya kebajikan dan rahmat Allah. Apabila keadaan ini berlaku, ia boleh mengubah suasana hati dan perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu. Sebagai contoh, pada suatu hari sesudah Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar mengajak Saidina Umar ke rumah Ummu Aiman seperti mana Rasulullah semasa hayatnya sering menziarahinya. Sebaik sampai di rumah Ummu Aiman, tiba-tiba Ummu Aiman menangis. Kedua-dua tetamunya itu lantas bertanya, “Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Tidakkah engkau tahu bahawa yang tersedia di sisi Allah untuk Rasulullah jauh lebih baik?” Ummu Aiman menjawab, “Aku tidak menangis kerana itu melainkan kerana wahyu dari langit telah terputus (terhenti).” Kata-kata Ummu Aiman itu ternyata mengharukan Abu Bakar dan Umar, lalu kedua-duanya turut menangis.
6. Apabila terselamat dari kesesatan dan menemui kebenaran
Adakalanya air mata seseorang itu akan menitis apabila ditunjukkan oleh Allah jalan yang benar setelah sekian lama hanyut dalam kelalaian atau kesesatan. Bagi yang berada dalam situasi sedemikian, akan terus menangis dan tangisannya bukan kerana merasa sedih tetapi kerana terlalu gembira dengan hidayah yang diterima itu. Hal ini pernah terjadi kepada segolongan pendeta apabila mengetahui al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah merupakan kebenaran dari Allah seperti firman-Nya: “Dan apabila mereka itu (segolongan pendeta) mendengar apa-apa yang diturunkan kepada Rasul, engkau akan melihat mereka akan menitiskan air matanya, lantaran mengetahui kebenaran (seraya) mereka berkata; “Hai Tuhan kami! Kami telah beriman. Oleh kerana itu, catatlah kami dalam golongan orang-orang yang menyaksikan. Dan tidak patut kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, pada hal kami ingin supaya Tuhan memasukkan kami bersama kaum yang soleh.” (Surah al-Maidah:83-84) Daripada maksud firman Allah tersebut, jelaslah bahawa tangisan yang positif mempunyai keutamaan di sisi Islam sehingga tangisan seumpama itu boleh mendatangkan manfaat yang besar. Ini kerana, orang yang menitiskan air mata kerana Allah sebenarnya merupakan orang yang cukup tinggi rasa keimanan dan taqwanya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam satu riwayat dari Abu Daud dan Tirmizi bermaksud: “Kami datang kepada Rasulullah sedang baginda menunaikan solat. Maka terdengar nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih dalam bejana”

by zahraannur

Tuesday, August 4, 2009

Waktu Mustajab Doa

Selasa, 13 Sya'aban 1430H - Allah Yang Maha Kuasa, Maha Pengasih, dan Maha Penyayang, telah berfirman dalam al-Qur'an bahwa Dia dekat dengan manusia dan akan mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa kepada-Nya. Allah berfirman;
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Q.s. al-Baqarah: 186).
"Katakanlah: Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut, yang kamu berdoa kepada-Nya dengan berendah diri dengan suara yang lembut: 'Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami dari (bencana) ini, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur'." (Q.s. al-An'am: 63).
BERDOA adalah otak ibadat. Begitulah besarnya kedudukan doa. Lagi banyak kita minta, lagi disayangi Allah dan ia berbeza dengan manusia, lagi banyak kita minta, lagi banyak kita dimarahi, malah dimaki lagi, “tak ada kerja ke asyik minta saja.”Doa adalah lambang perhambaan kita dan kita dicipta supaya menjadi hamba-Nya. Berdoa, doa juga, tetapi supaya mudah diterima, kita patut meneliti dan tahu waktu yang sangat mustajab berdoa antaranya:

1 - Waktu sepertiga malam, iaitu waktu terakhir, ketika orang lain nyenyak tidur. Allah s.w.t
berfirman, maksudnya: “Mereka (para muttaqin) sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir malam, mereka memohon ampun (kepada Allah).” (Adz-Dzariyat: 18-19)Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Rabb (Tuhan) kita turun di setiap malam ke langit terendah, iaitu ketika sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya dan siapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2 - Waktu antara azan dan iqamah, iaitu ketika menunggu solat berjemaah. Sayangnya waktu mustajab ini sering disalahgunakan sesetengah umat Islam yang kurang mengerti sunnah, sehingga diisi dengan hal tidak baik dan tidak dianjurkan Islam, membicarakan urusan dunia yang tidak bernilai ibadat.
3 - Pada waktu sujud. Iaitu sujud di dalam solat atau sujud lain yang diajarkan Islam seperti sujud syukur, sujud tilawah dan sujud sahwi. Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kedudukan hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam keadaan sujud, maka perbanyaklah doa.” (Hadis riwayat Muslim)Hadis Ibnu Abbas r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w membuka tabir (ketika baginda sakit), sementara orang ramai sedang berbaris (solat) di belakang Abu Bakar r.a, lalu Rasulullah s.a.w bersabda:“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada lagi daripada mubasysyirat nubuwwah (kabar gembira kenabian) kecuali mimpi baik yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan untuknya. Ingatlah bahawasanya aku dilarang untuk membaca al-Quran ketika rukuk atau ketika sujud. Adapun di dalam rukuk, agungkanlah Allah dan adapun di dalam sujud, bersungguhlah berdoa, sebab (hal itu) segera dikabulkan bagi kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
4 - Selepas solat fardu. Iaitu selepas melaksanakan solat wajib lima waktu, termasuk selepas solat Jumaat. Allah berfirman, maksudnya:“Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan selesai solat.” (Qaaf: 40)Oleh kerana itu, Imam Syafie dan pengikutnya menjelaskan, dianjurkan bagi imam dan makmumnya serta orang yang solat sendirian memperbanyakkan zikir, wirid dan doa selepas selesai solat fardu. Dianjurkan membaca doa dengan perlahan kecuali jika makmum belum mengerti, imam boleh menguatkan bacaan agar makmum menirunya. Apabila mereka mengerti, kembalilah secara perlahan. Allah berfirman, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." (Q.s. al-A'raf: 55).
5 - Pada waktu khusus, tetapi tidak diketahui dengan pasti batasannya, iaitu satu detik pada setiap malam dan setiap hari Jumaat. Ini berdasarkan hadis Jabir r.a, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Sesungguhnya di malam hari ada satu saat (yang mustajab), tidak ada seorang Muslim pun yang bertepatan pada waktu itu meminta kepada Allah kebaikan urusan dunia dan akhirat melainkan Allah pasti memberi kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim).Hadis Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah menyebut hari Jumaat, baginda bersabda:“Di dalamnya ada satu saat (yang mustajab), tidaklah seorang hamba Muslim yang kebetulan waktu itu sedang mendirikan solat (atau menunggu solat) dan memohon kepada Allah sesuatu (hajat) melainkan Allah pasti mengabulkan permohonannya.” Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan tangannya akan sedikitnya saat mustajab itu. (Hadis riwayat al-Bukhari) Di dalam hadis Muslim dan Abu Daud dijelaskan: “Iaitu waktu antara duduknya imam (khatib) sehingga selesainya solat (Jumaat).” Inilah riwayat yang paling sahih dalam hal ini. Sementara dalam hadis Abu Daud yang lain, Nabi s.a.w memerintahkan agar kita mencarinya di akhir waktu Asar.Waktu lain yang mustajab ialah sepertiga akhir malam, ketika hujan turun, waktu awal pagi ketika dengar ayam berkokok, ketika berpuasa, ketika bermusafir, bulan Ramadan dan pada 10 akhir Ramadan.
6 - Allah menyatakan bahwa Dia mengabulkan doa orang-orang yang teraniaya dan orang-orang yang berada dalam waktu kesusahan:
"Atau siapakah yang mengabulkan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada tuhan lain selain Allah? Sedikit sekali kamu yang memperhatikannya." (Q.s. an-Naml: 62).
Rasulullah saw. dalam sabdanya:
"Maukah aku beritahukan kepadamu suatu senjata yang dapat melindungimu dari kejahatan musuh dan agar rezekimu bertambah?" Mereka berkata, "Tentu saja wahai Rasulullah." Beliau bersabda, "Serulah Tuhanmu siang dan malam, karena 'doa' itu merupakan senjata bagi orang yang beriman."
Allah berfirman , :
"Di antara manusia ada orang yang berdoa, 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia,' dan tidak ada baginya bagian di akhirat. Dan di antara mereka ada orang yang berdoa, 'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari siksa neraka.' Mereka itulah orang-orang yang mendapat bagian dari apa yang mereka usahakan, dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (Q.s. al-Baqarah: 200-2).
Wallahualam

Monday, August 3, 2009

Berbasikal ke Putrajaya

Sabtu. 1 Ogos 2009, jam 7.10am ;- Kumpulan berbasikal Dang Anum Sekysen 7 BBB yang terdiri dari Ana, Hj Mat, Dr Zainal & Hj Zul telah berbasikal ke Putrajaya sejauh lebih kurang 40km.

Berehat di Menara Wetland Putrajaya

Kaw. Sawah Padi, Mardi Serdang

Kaw. Bukit di Mardi Serdang
Berbasikal ke puncak bukit.

Puncak Kaw. Bukit Mardi Serdang

BAHAYA FITNAH

Isnin,12 Sya'aban 1430H: - PERBUATAN fitnah boleh dikatakan banyak berlaku dalam masyarakat hari ini. Ini bertepatan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (Hadis riwayat Muslim).
Fitnah diertikan sebagai sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban serta kelemahan orang dan memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan. Adapun tujuannya pula adalah untuk memburukkan seseorang. Ada juga pihak yang memfitnah dengan tujuan mempromosikan diri di samping memburukkan pihak lawan. Ia bukan saja boleh menyakiti seseorang, malah boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat.
Dalam Islam, fitnah adalah salah satu sifat yang terkeji dan termasuk dalam dosa besar. Daripada semua sifat mazmumah yang dihuraikan, fitnah menduduki tangga teratas dari segi kekejiannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” (Surah al-Baqarah, ayat 191). Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina; yang banyak mencela; yang gemar menyebarkan fitnah.” (Surah al-Qalam, ayat 29)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu, iaitu menyebabkan kamu masuk neraka atau dilaknati Allah. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah melakukan perbuatan zina.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:"Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat al-Bukhari) Pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir dengan gunting. Baginda SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka itu? Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar fitnah.” (Hadis riwayat al-Tabrani)
Lazimnya perbuatan memfitnah boleh berlaku kepada setiap orang, akibat didorong oleh perasaan tamak, iri hati, mementing diri sendiri dan lain-lain sifat negatif. Selain itu, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu mengutamakan keduniaan melebihi kepentingan agama.
Ini boleh mendatangkan kesan buruk seperti menjatuhkan keaiban seseorang dan seterusnya mengundang perpecahan serta perbalahan dalam masyarakat Islam. Ini kerana orang yang difitnah akan mempertahankan diri dan apabila tahap kesabaran mula hilang, ia menyebabkan seseorang itu bertindak lebih agresif dan di luar batasan kemanusiaan.
Diceritakan pada zaman dulu, ada seorang lelaki pergi ke pekan dengan tujuan hendak membeli seorang hamba. Kemudian ditawarkan kepadanya seorang hamba yang tiada sebarang kecacatan kecuali ia gemar memfitnah. Oleh kerana, lelaki itu menganggap memfitnah satu perkara yang ringan, maka beliau bersetuju membeli hamba berkenaan. Selepas agak lama berada di rumah majikannya, hamba itu mula berkata kepada isteri majikannya, bahawa suaminya ingin berkahwin lagi. Lalu hamba itu mencadangkan isteri majikannya cepat-cepat menggagalkan perkahwinan dengan ubat guna-guna, iaitu mengambil beberapa helai bulu roma leher suaminya. Cara mengambilnya pula harus dengan menggunakan pisau cukur yang tajam supaya tidak terasa sakit ketika suaminya tidur. Oleh kerana si isteri ini benar-benar percaya, lantas ia berusaha mendapatkan pisau cukur yang tajam. Kemudian hamba itu pergi pula memberitahu tuannya dengan berkata, “Isterimu akan membunuhmu ketika kamu sedang tidur, kerana itu tuan diharap berhati-hati dan perkara ini boleh dibuktikan dengan berpura-pura tidur.” Maka benarlah ketika si suami berpura-pura tidur, tiba-tiba isteri datang membawa pisau cukur yang tajam, dan ketika memegang leher suaminya, si suami segera bangun dan merampas pisau cukur daripada tangan isterinya lalu terus menyembelihnya. Maka pada keesokan harinya keluarga si isteri menuntut kematian itu dengan bunuh-membunuh antara kedua-dua keluarga. Ada dua pengajaran penting daripada kisah ini pertama, fitnah tidak boleh dianggap suatu perkara yang remeh, kerana ia boleh memecah-belahkan masyarakat hingga ke tahap pembunuhan dan kedua, perlu menilai terlebih dulu kesahihan berita yang disampaikan. Sebenarnya untuk menilai kesahihan berita yang disebarkan, al-Quran meletakkan satu garis panduan antaranya firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Allah memberi peringatan dan tunjuk ajar kepada umat Islam supaya menyelidik terlebih dulu terhadap segala berita yang disampaikan oleh orang tertentu kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan, melalui media cetak atau elektronik. Seseorang Mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai berita yang disebarkan atau jangan terlalu cepat menafikannya sebelum menyelidiki terhadap kebenaran sesuatu berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan, penganiayaan dan kezaliman. Abu Lais al-Samarqandi berkata, “Jika ada orang memberitahumu bahawa si fulan memfitnah kamu, maka kamu harus hadapinya dengan enam perkara;
1.Jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima persaksiannya
2.Kamu harus mencegah daripada fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib
3.Kamu harus membencinya, kerana ia sudah melakukan maksiat
4.Kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang diftnah itu, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram
5.Jangan kamu selidiki keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang dan
6. Jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah yang disebarkan itu.”
Di sini setiap umat Islam seharusnya beringat, dalam usaha menolak sebarang khabar fitnah, jangan pula sampai membuat fitnah terhadap si pembawa atau pembuat fitnah itu. Perpaduan sesama umat Islam dan bangsa lain perlu dijaga. Perbuatan memfitnah ini jelas dilarang oleh syariat Islam. Maka setiap umat Islam hendaklah berusaha menghindari daripada berbuat fitnah. Fitnah jika dibiarkan ia akan terus melekat di hati seseorang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapi, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi dua. Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabuuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan.” (Hadis riwayat Muslim)
Ketebalan fitnah yang melekat di hati manusia dapat dibersihkan dengan solat, puasa dan zakat. Diriwayatkan daripada Huzaifah katanya: “Saidina Umar pernah bertanya aku ketika aku bersamanya. Katanya: Siapakah antara kamu yang pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda mengenai fitnah? Sahabat menjawab: Kami pernah mendengarnya. Saidina Umar bertanya: Apakah kamu bermaksud fitnah seorang lelaki bersama keluarga dan jiran tetangganya? Mereka menjawab: Ya, benar. Saidina Umar berkata: Fitnah itu boleh dihapuskan oleh sembahyang, puasa dan zakat.” (Hadis riwayat Muslim)

Wallahualam