Isnin, 28 Zulkaedah 1430H : - Ibadah haji mula difardukan ke atas umat Islam pada tahun ke 5 atau ke 6 Hijrah, iaitu apabila turunnya ayat al-Quran yang bermaksud: " Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan sesiapa yang kufur dan ingkar terhadap kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk." (Ali-Imran: 97)
Dalam ayat 196 surah al-Baqarah, Allah berfirman, maksudnya: "Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: Agama Islam itu dibina di atas lima perkara, bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan, dan mengerjakan haji. "(Riwayat Imam Bukhari).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang memiliki harta benda dan kenderaan untuk menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mengerjakan haji, maka bila dia mati akan menjadi sebagai Yahudi atau Nasrani”. (Hadis daif riwayat al-Baihaqi dan al-Darimi. )
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas, maka para ulama bersepakat mengenai kewajipan menunaikan ibadat haji sekali seumur hidup bagi orang yang berkemampuan. Para ulama juga bersepakat mengenai kufurnya orang yang ingkar dan menolak kewajipan menunaikan fardu haji.
Terdapat segelintir umat Islam dalam masyarakat kita yang sudah berkemampuan untuk menunaikan haji, tetapi tidak menunaikannya. Sedangkan saban tahun, mereka ini pergi menunaikan ibadah umrah. Kadang-kala dalam setahun, mereka menunaikan dua atau tiga kali umrah, tetapi tetap tidak berkesempatan untuk menunaikan haji. Bila ditanya tentang haji, dengan selamba mereka menjawab, ‘belum sampai seru lagi!’.
Sama ada orang sebegini menyedari atau tidak bahawa umrah yang ditunaikan saban tahun itu adalah sunat sedangkan haji yang mereka sering tangguhkan perlaksanaannya itu adalah wajib! Mana yang perlu diutamakan, sunat atau wajib? Tepuk dada, Tanya iman! Alasan yang menyatakan tidak sampai seru lagi, tidak dapat diterima sama sekali, kerana seruan haji ini telah dinyatakan di dalam al-Quran dan sunah dengan begitu jelas dan terang.
Sanggupkah mereka mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani, lantaran tidak menunaikan haji sedangkan sudah berkemampuan untuk menunaikannya?. Nabi Muhammad s.a.w. menunaikan fardu haji sekali sahaja semasa hayat baginda. Haji itu dinamakan Hajjatul Wada’ (haji perpisahan), kerana tidak berapa lama kemudian selepas itu Rasulullah pun wafat.
Rasulullah berangkat dari Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri, para sahabat dan orang Islam yang lain. Rasulullah menyempurnakan amalan-amalan sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah atau dikenali sebagai Bir Ali yang terletak lebih kurang 10 kilometer (km) dari Madinah.
Setelah sembilan hari dalam perjalanan, Rasulullah pun sampai di Mekah pada tanggal 4 Zulhijjah. Setelah Rasulullah menyempurnakan ibadat haji, maka pada 14 Zulhijjah, baginda berangkat meninggalkan Mekah menuju balik ke Madinah al-Munawwarah.
Ibadah haji mendatangkan banyak faedah kepada umat Islam. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 27-28 bermaksud: " Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus, yang datang dari pelbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka binatang ternak (untuk dijadikan korban)."
Ibadah haji juga membawa ikatan mahabbah dan persaudaraan yang kukuh dalam kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit. Pada hakikatnya, ibadah haji merupakan muktamar atau perhimpunan umat Islam yang terbesar di dunia. Umat Islam saling berusaha menyebarkan ukhwah Islamiah dan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan banyak manfaat.
Inilah hikmahnya persaudaraan yang dipupuk oleh umat Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa orang yang beriman itu bersaudara. Namun, apakah persaudaraan Islam yang didapati daripada ibadat haji itu benar-benar tersemat di dalam hati sanubari mereka yang menunaikannya?
Ini kerana, terdapat sebilangan umat Islam yang sudah beberapa kali menunaikan ibadah haji, tetapi tetap tidak dapat mengaplikasikan semangat persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam. Sebagaimana yang dimaklumi, ibadah haji wajib ditunaikan seumur hidup sekali sahaja. Apabila seseorang itu menunaikan ibadah haji untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya, maka ibadah tersebut menjadi sunat.
Kadang-kala berlaku dalam kalangan umat Islam yang beria-ia menunaikan haji pada setiap tahun, dan dalam masa yang sama melupakan hubungan persaudaraan dan kasih sayang yang sewajarnya dipupuk sesama umat Islam. Kedapatan di antara mereka yang langsung tidak mempedulikan saudara seagama yang berada dalam kesusahan dan yang memerlukan bantuan. Jadi, berbaloikah ibadah haji sunat yang ditunaikan itu, tetapi melupakan manifestasi dan falsafah haji yang menyeru ke arah persaudaraan dan kasih sayang?
Apalah gunanya ibadah yang ditunaikan, tetapi tidak juga dapat mengubah sikap yang terlalu mementingkan diri sendiri sahaja? Lupakah kita pada generasi para sahabat yang sanggup mati kehausan semata-mata mengutamakan sahabat yang lain terlebih dahulu, sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Yarmouk?
Huzaifah berkata: “Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam Bin al-As. Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam , dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid”.
Nabi s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang sahih yang bermaksud: " Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi bagi saudaranya apa yang dikasihi bagi dirinya sendiri”.
Oleh itu, apalah salahnya bagi mereka yang sudah kerap menunaikan ibadah haji dan yang berkemampuan, sekiranya dapat membantu saudara seagama terutamanya waris dan kaum keluarga terdekat yang belum menunaikan haji supaya dapat berbuat demikian.
Sekurang-kurangnya itulah tanda kasih dan sayang bagi saudaranya sebagaimana yang dia kasihkan sesuatu yang baik bagi dirinya sendiri. Sekiranya perkara seumpama ini dapat dilaksanakan, maka ia akan dapat mengikis sikap pentingkan diri sendiri yang wujud pada diri seseorang itu.
Moga ibadah haji yang dilakukan setiap tahun membawa sejuta pengharapan ke arah ikatan persaudaraan sesama Islam. Bantulah saudara seIslam yang tidak berkemampuan dan yang memerlukan dengan apa yang termampu sama ada dengan harta, wang ringgit, tenaga, doa dan sebagainya.
* MOHD SUKKI OTHMAN ialah Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.
* MOHD SUKKI OTHMAN ialah Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.
No comments:
Post a Comment