Thursday, February 11, 2010

Kewajipan Berdakwah Dan Mempertahankan Kebenaran

Khamis, 27 Safar 1431H, " WAHAI Rasul, sampaikanlah segala apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu dan jika engkau tidak melakukannya, maka bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya dan Allah sentiasa melindungi engkau dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat kepada kaum yang kafir." (al-Maidah: 67)

HURAIAN
Allah s.w.t. telah menyeru Rasulullah s.a.w. dan memerintah beliau menyampaikan segala apa yang diturunkan Allah s.w.t. kepada Baginda tanpa menyembunyikannya. Dengan lain perkataan, Allah s.w.t. menyuruh Baginda menyampaikan wahyu dan ajaran dengan bersikap tegas dan bersungguh-sungguh kepada manusia.

Ajaran Islam sama ada berbentuk akidah mesti dinyatakan kepada manusia sungguhpun orang tidak mahu menerimanya atau bersikap benci kepadanya. Kebenaran mesti disampaikan dengan apa jua cara yang paling baik. Sama ada orang terima atau tidak itu bukanlah urusan penyampai.
Ia merupakan satu mesej kepada Nabi Muhammad s.a.w. ketika berdepan dengan Ahli Kitab dan puak Yahudi supaya bersikap berani dan tegas, istiqamah dan bersungguh-sungguh menyempurnakan tanggungjawab menyampaikan kebenaran Islam kepada mereka. Nabi Muhammad s.a.w. diperintah menyatakan kekufuran orang-orang Yahudi, kepalsuan pegangan dan ideologi mereka.

Berdepan dengan golongan yang tidak suka kepada kebenaran mestilah dihadapkan dengan tegas dan berani, konsisten dan istiqamah. Janganlah kerana ingin meraikan suasana dan realiti semasa, kita berdolak dalik untuk menyatakan kebenaran.

KESIMPULAN
Setelah kewafatan Rasulullah s.aw ,tugas mulia yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. mestilah diteruskan dan dipikul oleh generasi berikutnya dalam menyampaikan dakwah dan seruan kebenaran.

Untuk menjalankan kerja-kerja dakwah, setiap daripada kita perlu mengorbankan masa, harta, keluarga hatta nyawa untuk menyebarkan dakwah Islam. Janganlah kita berdolak-dalik atau berpura-pura dan bersikap sambil lewa kerana sikap sedemikian tidak memberi apa-apa manfaat, malahan merugikan diri kita sendiri dan umat keseluruhannya. Rasulullah s.a.w bersabda "Sampaikan daripada ku walaupun satu ayat". Dan tetaplah memberi peringatan kerana peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman.

Sabda Rasulullah s.a.w," Jauhilah oleh kamu ( dari tenggelam) dalam kesenangan/kenikmatan kerana sesungguhnya hamba-hamba Allah itu bukanlah orang yang tenggelam dalam kesenangan/kenikmatan." Riwayat Ahmad Al-Baihaqi

No comments: