Khamis, 29 Safar 1431H :- FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka dengan adanya dua sebab itu mereka diterima Allah taubatnya; dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat, dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Nisa’, ayat 17-18)
Taubat adalah tuntutan agama dan ulama mengatakan, bertaubat wajib bagi setiap orang Islam. Banyak ayat mengenai taubat dalam al-Quran sama ada diturunkan di Makkah atau Madinah. Ayat surah al-Nisa’ ini adalah seruan kepada taubat. Ayat pertama menyebutkan orang yang melakukan dosa lalu ia bertaubat, maka Allah akan mengampunkannya. Allah juga menyeru segera melakukan taubat dan jangan hampir saat kematian baru hendak bertaubat.
Ketika itu, permohonan taubatnya tidak lagi diterima. Mufasirin berbeza pandangan dalam penerimaan taubat seorang hamba. Sebahagian mengatakan wajib bagi Allah menerima taubat seorang hamba. Pandangan ahli sunnah mengatakan, apabila seseorang hamba itu bertaubat maka Allah berhak untuk menerima atau menolaknya dan tidak wajib bagi Allah menerima taubat seseorang. Namun, Allah berjanji akan menerima taubat hamba-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan mereka lakukan; dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.” (Surah al-syura, ayat 25)
Mufasirin menyebutkan Allah berjanji akan mengampunkan orang yang bertaubat dengan syarat ia mencukupi empat perkara, iaitu insaf dengan hati, meninggalkan perbuatan maksiat, berazam tidak mengulang perbuatan itu dan dilakukan dengan penuh keredaan kepada Allah. Pentafsir juga berbeza pandangan dalam menafsirkan ‘melakukan kejahatan dengan kejahilan.'
Pendapat pertama mengatakan setiap maksiat itu adalah kejahilan meliputi segala bentuk kekufuran dan maksiat. Mengikut Qatadah, setiap perbuatan maksiat adalah kejahilan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina. Mereka berkata: Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan? Nabi Musa menjawab: Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil iaitu yang melakukan sesuatu yang tidak patut dan kejahatan.” (Surah al-Baqarah, ayat 67)
Pendapat kedua, seseorang melakukan maksiat dan mengetahui perkara itu adalah maksiat tetapi ia tidak mengetahui kadar hukuman maksiat berkenaan. Pendapat ketiga, seseorang yang melakukan maksiat dengan ia tidak mengetahui perkara itu adalah maksiat.
Ayat ini juga mengatakan bertaubat ketika hampir mati, tiada faedah dan sudah terlambat. Allah tidak menerima taubat sedemikian seperti Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa ingin bertaubat pada saat kematiannya. Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah akan menerima taubat seseorang hambanya selagi nyawanya tidak di halkum.” (Hadis riwayat al-Turmizi, hadis Hasan Gharib).
Menurut al-Syarawi, Allah akan menerima taubat seseorang selagi nyawanya tidak di halkum dan menjadi kewajipan seorang Muslim supaya segera bertaubat. Allah juga menyebutkan orang Islam yang tidak sempat bertaubat akan menerima azab pedih berbeza dengan kematian bagi orang kafir yang akan menerima seksaan buat selama-lamanya. Orang Islam melakukan maksiat tanpa bertaubat akan menerima azab setimpal perbuatannya.
Menurut Sayyid Qutb, taubat selayaknya bagi Allah menerimanya adalah taubat yang lahir dari hati penuh keinsafan seolah-olah ia baru lahir semula dan menjadi insan yang lain. Allah menyeru setiap Muslim segera bertaubat dengan firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang beriman bersama-sama dengannya.” (Surah al-Tahrim, ayat 8)
Ayat ini menjelaskan Allah sentiasa menyeru orang mukmin bertaubat dan perintah Allah dalam al-Quran menunjukkan wajib. Matlamat taubat adalah supaya diampunkan segala dosa terdahulu dan akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Ibn Kathir menyebutkan taubat nasuha sebagai taubat yang benar ikhlas dan kebanyakan ulama menyebut sebagai taubat daripada dosa dan tidak lagi mengulangi perbuatan itu. Al-Kalabi menyebutkan taubat nasuha beristighfar dengan lidah, insaf dengan hati dan mencegah dengan anggota badan. Ulama mengatakan bertaubat adalah wajib sehinggakan anbia seperti Nabi Adam memohon keampunan daripada Allah.
Oleh itu, kembali kepada Allah dengan bertaubat adalah satu tuntutan bagi setiap orang Islam sama ada kaya, miskin, raja atau rakyat. Taubat bukan sekadar perkataan kerana taubat tidak disertai keinsafan di hati bukan taubat yang sebenar. Antara adab memohon keampunan Allah mestilah ikhlas, dalam keadaan bersih, mempunyai perasaan antara takut dan pengharapan, memilih waktu mustajab seperti pada waktu sahur. Perkara ini disebut Allah dalam firman yang bermaksud: “Dan orang yang beristighfar dan memohon ampun pada waktu sahur.” (Surah Ali-Imran, ayat 17)
Antara adab memohon ampun ialah berdoa untuk mukmin yang lain. Ia tidak memohon ampun untuk dirinya saja tetapi untuk mukmin keseluruhannya. Di samping itu menggunakan lafaz yang mathur dari al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang yang rugi.” (Surah al-Araaf, ayat 24)
Pengajaran ayat :
- Wajib kepada orang Islam memohon ampun kepada Allah setiap hari dan bersegera bertaubat kepada Allah.
- Allah tidak menerima taubat bagi orang yang sudah tiba saat kematiannya.
- Pintu taubat sentiasa terbuka luas dan hendaklah dilakukan dengan penuh beradab.
Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali (Berita Harian 2 Fen 2010)
No comments:
Post a Comment