Friday, January 28, 2011

Hakikat Harta

Jumaat, 23 Safar 1432H :-Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak bumi akan memuntahkan jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh seraya berkata:”Kerana inilah aku jadi pembunuh. Kemudian datang pula si perompak, lalu berkata:”Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim. Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata:”Kerana inilah tanganku dipotong” Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka mengambilnya sedikitpun.” (HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim.

2. Dunia dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa. Sesungguhnya harta dunia tidak akan membawa membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah.

3. Hakikat harta diterangkan Rasulullah s.a.w seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Seorang hamba (manusia) berkata, 'Hartaku, hartaku!' Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: (1) Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. Selain yang 3 itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain". (HR Muslim)

1 comment:

zainal said...

Harta adalah ujian yang lebih berat dari ditimpa sakit, musibah,kemalangan mahupun kemiskinan.

2. Kerana mengejar harta; seseorang mencari harta dari jalan yang tidak sah (Al Baqrah: 275), makan harta anak yatim (An-Nissa: 6-10), lalai beribadat (Almunafiqun: 9), makan harta yang haram (Al-Maidah: 62-63), melanggar aturan semasa pembahagian harta (AnNisa: 14), Membazair harta pada jalan yg tidak berguna (Al-Isra: 26-27).

3.Islam menyediakan penawar kepada mereka yang cintakan harta melalui jalan zakat dan sedekah.

W'aklam.