Thursday, January 27, 2011

Kekayaan Dan Ilmu Yang DiBerkati

Khamis, 22 Safar 1432H :- Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR al-Bukhari)

Keterangan Hadis:

1.Kekayaan yang diberikan Allah jika dibelanjakan mengikut syariat agama akan memberi kebaikan yang berganda dunia dan akhirat. Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji.

2. Kekayaan mestilah diperolehi dengan cara yang halal dan bukan secara haram. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:”Tidak seorangpun yang bekerja untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan haram kemudian ia membelanjakan padanya dengan harapan mendapat berkat daripadanya dan ia bersedekah dengannya dengan harapan sedekah itu akan diterima dan meninggalkan harta pusaka (sesudah meninggal) melainkan semua itu sebagai bekalannya ke neraka...”

3.Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Setiap kejadian dan pemberian Allah ada hikmah disebaliknya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnnya bagi setiapumat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”( H.Riwayat at-Tirmidzi).

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa.”

4. Orang yang diberikan Allah kelebihan ilmu dan ia mengamalkan dalam kehidupannya dan mengajarnya kepada orang lain amat disukai oleh Allah dan RasulNya. Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai."

5. Orang yang mempunyai kelebihan ilmu oleh Allah, janganlah menyimpan untuk dirinya saja tetapi hendaklah mengajarnya atau menyampaikan kepada orang lain. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat.

6. Sayidina Ali berkata: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

1 comment:

zainal said...

Sifat ini ialah iri hati yang dibenarkan dalam Islam. Jika kita menemui org sebegini, ambillah teladan untuk dicontohi.

2.Islam memerlukan orang kaya & orang berilmu yg baik untuk mengangkat darjat ummah. Ianya juga sebagai dakwah secara amali kepada bukan Islam.

W'aklam.