Friday, April 1, 2011

Kesabaran

Jumaat, 27 Rabiulakhir 1432H :Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” (HR al-Hakim)


Abu Said al-Khudri r.a menerangkan bahawasanya segolongan sahabat dari golongan Ansar meminta pemberian daripada Rasulullah lalu baginda memberikannya kepada mereka itu. Kemudian mereka meminta lagi kepada Rasulullah lalu baginda memberikannya pula sehingga habis apa yang ada padanya. Maka bersabdalah nabi: “Harta yang ada pada ku tidaklah sekali-kali aku menyimpannya untuk orang yang lain daripada mu. Sesiapa yang memelihara diri dari meminta-minta nescaya Allah memeliharanya daripada yang haram. Dan sesiapa yang memohon kepada Allah, nescaya Allah memberikan kecukupan kepadanya. Dan sesiapa bersabar menahan penderitaan, nescaya Allah memberikan kepadanya kesabaran. Dan tidak diberikan kepada seseorang sesuatu pemberian yang lebih baik dan luas daripada ‘kesabaran’.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dari Abdullah bin Qais r.a katanya: “ Rasulullah saw bersabda:”Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan sekalain Allah Taala. Orang-orang kafir mengatakan-Nya berbilang (banyak atau bersekutu) atau mereka mengangkat anak bagi-Nya. Namun begitu Allah tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka dan memberikan apa yang mereka minta.” (HR Muslim)


Keterangan Hadis.


1. Islam amat menganjurkan agar kita bersabar dalam menghadapi kesempitan hidup. Jangan membiasakan diri dengan meminta-minta daripada orang lain tanpa berusaha dan berikhtiar dengan jalan yang halal kerana sesungguhnya orang yang gigih berusaha dalam mencari rezeki demi meneruskan kehidupannya di dunia ini dan bersabar dalam menanggung kesusahan nescaya akan dikurniakan Allah rezeki yang banyak.


2. Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.


3. Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.


4. Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah.


5. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.


6. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.


7. Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya:”Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (al-Insyirah:6)


8. Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

1 comment:

zainal said...

Implikasi tidak SABAR.

Kes 1: KUALA LUMPUR 12 Ogos 2010 Seorang gadisnya didakwa terpedaya dgn lelaki tidak dikenali dari Afrika Selatan untuk dijadikan keldai dadah. (Ramai tidak sabar utk jadi kaya cepat dan mata dikaburi apabila ditawar dgn hadiah lumayan)

Kes 2: 22/1/2011. Sepasang sua­­mi isteri dihadapkan ke Mahkamah Ma­­jistret Johor Bahru di sini, semalam atas dua pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak berusia tiga tahun serta mendera dua lagi mangsa yang juga adik beradik antara Oktober 2010 hingga 9 Januari lalu. (Sabar memelihara dan mendidik anak adalah amalan yg terpuji)

Kes 3: PERLUKAH kita membunuh semata-mata kerana kereta tercalar akibat bergesel di jalan raya? Besar sangatkah dosa orang yang melanggar kemek kereta kita hingga perlu menghentak kepala pemandu itu dengan pengunci stereng? Malang sungguh nasib allahyarham Muhammad Nazri Ismail. Lantaran kemalangan kecil di jalan raya, beliau dipukul hingga pecah kepala dan koma 17 jam sebelum meninggal dunia. (Sabar semasa jalanraya adalah jihad melawan nafsu diri).

Wallahuaklam.