Friday, April 29, 2011

Syurga

Jumaat, 25 Jamadilawal 1432H; - Dari Abu Hurairah r.a:”Rasulullah SAW bersabda:”Golongan yang pertama sekali masuk syurga wajahnya adalah seperti bulan purnama. Dan orang yang masuk sesudah itu seperti bintang yang sangat terang cahayanya. Hati mereka sebagai hati satu orang (bersatu) tidak pernah berselisih dan benci-membenci antara sesama mereka. Tiap-tiap seorang di antara mereka mempunyai dua orang isteri. Masing-masing di antara kedua isteri itu tampak sumsum betisnya dari belakang dagingnya kerana sangat indahnya.” (HR Bukhari)

Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Di dalam syurga terdapat sebuah pasar yang didatangi penduduk syurga setiap hari Jumaat. Angin bertiup dari sebelah kanan menyentuh muka dan pakaian mereka, menyebabkan muka dan pakaiannya bertambah cantik, tampan dan indah. Ketika mereka pulang ke rumah didapatinya isteri mereka bertambah cantik dan indah. Kata mereka kepada isterinya, “Engkau sungguh-sungguh tambah cantik dan pakaianmu tambah indah sepeninggalanku.” Jawab isterinya, “Engkau demi Allah sungguh tambah tampan dan pakaianmu tambah indah pula sekembalimu.” (HR Muslim)

Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda ”Kelak penduduk syurga akan melihat sebuah kamar di atas mereka, terlihat seperti bintang bercahaya gemerlapan jauh di ufuk Timur atau Barat kerana perbezaan kedudukan mereka.” Para sahabat bertanya:”Ya Rasulullah! Apakah itu tempat para nabi yang tidak tercapai oleh orang lain selain mereka?” Jawab baginda:”Demi Allah, yang diriku dalam kuasa-Nya, bahkan itu tempat orang-orang yang beriman kepada Allah dan mempercayai para rasul.” (HR Muslim)

Daripada Sahl bin Sa’ad berkata: Bersabda Nabi s.a.w. “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya:”Dimanakah orang – orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar nabi s.a.w bersabda:”sesungguhnya penduduk syurga makan dan minum di dalamnya. Tetapi mereka tidak meludah, tidak kencing, tidak membuang air besar dan tidak membuang hingus.” Para sahabat bertanya:”Bagaimana makanan yang mereka makan? Jawab baginda:”Keluar dari sendawa yang baunya harum seperti bau kasturi . Mereka selalu membaca tasbih dan tahmid sebanyak tarikan nafas mereka.” (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Umar r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Kauthar itu ialah sebatang sungai dalam syurga, kedua-dua tebingnya adalah daripada emas, aliran airnya di atas mutiara dan yakut, bau tanah di dasarnya lebih harum dari kasturi dan airnya lebih manis dari air madu dan lebih putih dari salji.”(HR Tirmidzi)

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.”(HR Riwayat Abu Daud)

Dari Sahal bin Saad r.a dari Rasulullah s.a.w sabdanya:”Di dalam syurga terdapat sebatang pokok yang naungannya tidak terlewat (tidak terlepas dilalui di bawahnya) oleh seorang pengendara selama seratus tahun.” (HR Muslim)

Allah berfirman yang maksudnya:"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa" (ali-Imraan:133) .

Firman Allah S.W.T yang maksudnya:”...syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.” (ar’Ra’d: 23)

Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.” (HR Muslim)

1 comment:

zainal said...

Lirik Doa Taubat (Iktiraf) - Raihan

Wahai tuhan,
Aku tak layak masuk syurgamu,
Namun tak pula aku sanggup ke nerakamu

Ampunkan dosa dan terimalah taubatku,
Sesungguhnya engkaulah pengampun dosa-dosa besar

Dosa-dosaku bagaikan pepasir dipantai
Dengan rahmatmu ampunkan daku
Oh tuhanku

Wahai tuhan,
Selamatkan kami ini,
Dari segala kejahatan dan kecelakaan

Kami takut kami harap kepadamu,
Suburkanlah cinta kami kepadamu,
Kamilah hamba yang berharap belas darimu

Wallahuaklam.

Zainal