Thursday, June 30, 2011

Susu dan Arak

Khamis, 28 Rejab 1432H : Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Pada malam terjadinya israk dan mikraj di Baitul Maqdis, baginda dihidangkan dua gelas minuman, masing-masing berisi arak dan susu. Setelah baginda meneliti kedua gelas itu, maka baginda mengambil gelas berisi susu. Berkata Jibrail:”Segala puji bagi Allah yang membimbing anda memilih yang suci. Seandainya anda memilih arak, nescaya sesatlah umatmu.”(HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Susu dan arak adalah simbolik kepada dua nikmat yang berbeza. Satunya bersifat nikmat sementara dan satu lagi bersifat nikmat yang kekal (berkhasiat pada tubuh manusia).

2. Dalam ajaran Islam, arak adalah haram kerana ia memabukkan sekalipun padanya terdapat beberapa kebaikan yang lain tetapi yang nyata keburukannya telah mengatasi kebaikan. Arak mampu membuatkan manusia hilang pertimbangan dan mengheret kepada berlakunya beberapa perkara buruk seperti maksiat, pembunuhan dan sebagainya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran.”(HR al-Bukhari dan Muslim)

3. Orang-orang Islam ditegah sama sekali meminum arak.Begitu juga membuat, menyedia, menghidang, membawa, menyimpan dan apa saja yang berkaitan dengannya. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Dalam persoalan arak ada sepuluh orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya ”(HR Anas)

4.Sebaliknya pada minuman susu, ia menjadi minuman yang bukan sahaja tidak memabukkan bahkan boleh mengubati penyakit. Madu dan susu merupakan minuman kegemaran Rasulullah saw.

5. Susu juga merupakan minuman yang istimewa di dalam syurga di hari akhirat kelak di samping arak di mana umat Islam yang tinggal di dalamnya dihidangkan dengan berbagai jenis makan dan minuman yang lazat, tidak memudaratkan malah belum pernah dirasai oleh manusia ketika di dunia.

6. Sesungguhnya keseronokan yang dinikmati di dunia ini hanya bersifat sementara dan sedikit berbanding dengan nikmat di akhirat yang indah dan kekal abadi.

1 comment:

zainal said...

Halal dan haram dah jelas. Syurga & Neraka sudah pasti. Isunya ialah manusia selalu membuat pilihan yang salah.

2. Pilihan yg salah adalah kerana nafsu diri, godaan syaitan dan juga pengaruh persekitaran.

3.Bagi memilih jalan yg lurus, kawalan diri dgn taqwa & ilmu, mohon perlindungan syaitan dan memilih persekitaran yg baik.

4.Persekitaran yg baik bermaksud kawan yg baik, rumahtangga yg bahagia, jiran tetangga yg prihatin, media yg terkawal. Sungguhpun ia faktor yg diluar kawalan kita tetapi kita boleh/ada hak utk memilih persekitaran yg baik.

W'aklam