Rabu, 28 Jamadilakhir 1432H: Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.”( HR al-Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: ”Sesiapa yang memberi tangguh kepada orang yang tidak mampu membayar hutangnya atau mengurangkan bayaran jumlah hutangnya, nescaya Allah menaunginya di bawah naungan-Nya pada hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah.” ( HR Muslim dan Imam Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Rasululullah s.a.w bersabda: “ Roh “orang mati “ yang beriman tergantung (diawang-awangan) dengan sebab hutangnya-sehinggalah hutangnya dibayar oleh warisnya atau orang ain”. (HR Tirmizi)
Dari Abdullah bin Abu Qatadah r.a, katanya:”Abu Qatadah mencari seseorang yang berhutang kepadanya dan menghilangkan diri. Kemudian orang itu ditemuinya. Dia berkata kepada Abu Qatadah,:”Aku sedang dalam kesulitan.” Maka berkata Abu Qatadah:“Demi Allah! Demi Allah! Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,:”Sesiapa yang ingin dibebaskan Allah dari kesulitan pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelapangan bagi orang-orang yang dalam kesulitan atau membebaskannya dari hutang.” (HR Muslim)
Dari Qabishah bin Mukhariq al-Hilali r.a katanya,:”Aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua kabilah yang saling bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah s.a.w meminta bantuan kepada baginda untuk membayarnya. Jawab baginda,:”Tunggulah hingga orang datang menghantarkan zakat, nanti kusuruh serahkan kepadamu.” Kemudian baginda melanjutkan sabdanya, “Hai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak boleh (tidak halal) kecuali untuk tiga golongan:
1) Orang yang menanggung hutang (gharim, untuk mendamaikan dua orang yang bersengketa atau seumpamanya). Maka orang itu boleh meminta-minta, sehingga hutangnya langsai. Apabila hutangnya telah selesai, maka tidak boleh lagi dia meminta-minta.
2) Orang yang ditimpa bencana, sehingga harta bendanya musnah. Orang itu boleh meminta-minta sehingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak bagi dirinya.
3) Orang yang ditimpa kemiskinan, (disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin). Orang itu boleh meminta-minta hingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak. Selain tiga golongan tersebut , haram baginya meminta-minta dan haram pula baginya memakan hasil perbuatan meminta-minta itu.” (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Sesorang lelaki memberi hutang kepada Rasulullah s.a.w lalu ditagihnya secara kasar. Oleh sebab itu para sahabat tidak senang terhadap orang tersebut. Maka bersabda nabi s.a.w,:”Orang yang memberi hutang berhak menagih. Belikan dia seekor unta muda kemudian berikan kepadanya!”. Berkata para sahabat:”Tidak ada unta muda ya Rasulullah! Yang ada hanya unta dewasa dan lebih bagus daripada untanya.”Sabda baginda:”Belilah, kemudian berikan kepadanya. Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah yang paling baik membayar hutang.” (HR Muslim)
Pengajaran hadis:
1) Strategi pengawalan perbelanjaan adalah bergantung pada kesesuaian dan keperluan tertentu seseorang atau sesebuah keluarga. Pepatah ada mengatakan “ Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”.
2) Seharusnya setiap individu mengamalkan sifat ‘qanaah’ iaitu bersyukur dan redha dengan apa yang ada serta memastikan bahawa keperluan tidak melebihi kemampuan. Amalkan sikap berjimat cermat dan membuat simpanan (tabungan) bagi mencapai keselamatan ekonomi kerana orang yang mengamalkan sikap tamak dan boros sehingga sanggup berhutang bukan sahaja boleh meningkatkan inflasi malah membawa kemuflisan dan kepapaan.
3) Hutang wajib dibayar sesuai dengan waktu yang dijanjikan iaitu tidak menangguh-nangguhkannya. Adalah dikira berdosa bagi orang yang tidak mahu membayar hutangnya dengan sengaja walau bagaimana kecilpun hutang tersebut. Hal ini termasuk juga hutang yang berlaku dengan orang yang bukan Islam serta seseorang yang berhutang tetapi telah meninggal dunia dan belum sempat membayar hutangnya. Maka ahli waris si mati hendaklah berusaha untuk melangsaikannya.
4) Islam selaku agama yang sempurna telah menyusun beberapa langkah mengenai proses berhutang di mana hutang yang dibuat hendaklah dicatat jumlah dan masa pembayarannya serta dilantik seorang penulis yang adil sebagai saksi. Ia bertujuan untuk mengelak dari sebarang penipuan dan penganiayaan.
5) Sesungguhnya melepaskan hutang orang menghutangi kita adalah suatu perbuatan yang mulia. Ganjaran yang besar menanti iaitu berupa naungan Arasy di akhirat kelak.
6) Kita hendaklah mengelak daripada bersikap suka berhutang sebaliknya amalkanlah sifat ‘qanaah’ iaitu bersyukur dan redha dengan apa yang ada dengan memastikan bahawa keperluan tidak melebihi kemampuan sehingga terikat dengan hutang.
7) Sebaik-baiknya sebelum berhutang, buatlah pertimbangan yang wajar sama ada sesuatu kepentingan itu merupakan keperluan yang mendesak atau sekadar keinginan untuk berlagak kerana hutang yang tidak mampu dibayar akan mendatangkan kemudaratan di kemudian hari.
8) Setiap yang dinamakan hutang wajib dibayar walau sekecilmana pun ia dan dengan siapa pun ia berhutang termasuklah dengan orang kafir. Malah dikira berdosa bagi orang yang berniat tidak mahu membayar hutangnya
9) Membebaskan hutang orang yang susah atau mengurangkannya merupakan satu perbuatan yang terpuji dan ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T .
10) Hadis ini mengingatkan warisnya supaya segera membayarkan hutangnya jika ia meninggalkan harta
11) Berhutang kalau boleh pada perkara yang penting sahaja dan ingat selalu untuk menjelaskannya sebelum terlupa
12) Di zaman sekarang, hampir tidak ada orang yang tidak mempunyai hutang. Apabila seseorang yang berhutang itu meninggal dunia, semua amal akan ditangguhkan oleh Allah hingga hutang orang yang meninggal itu dilunasi.
13) Maka sebagai satu agama yang begitu berkasihan belas dan berperikemanusiaan, Islam menggalakkan orang yang berhutang untuk menghalalkan hutang mereka. Malah, disebutkan dalam ayat 280, Surah al-Baqarah yang bermaksud:”Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”
14) Namun begitu dalam hal ini, sebagai orang yang berhutang adalah tidak wajar untuk kita mengharapkan orang yang kita hutangi menghalalkan hutang yang diberi kerana ia berkaitan dengan hak dan kewajipan kita sehingga kegagalan kita menjelaskan hutang memungkinkan timbul kesulitan di pihak yang memberi hutang hingga akhirnya menyebabkan perbalahan.
15) Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara ini dijelaskan menerusi hadith daripada Uqbah bin 'Amir yang bermaksud: “Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya.” Mereka berkata: “Apa itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Hutang.”
16) Rasulullah mengajarkan kita sepotong doa yang bermaksud: “Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada kegundahan dan kesedihan, daripada kelemahan dan kemalasan, daripada sifat pengecut dan bakhil, daripada kesempitan hutang dan penindasan orang.” Maka dengan itu orang yang telah berhutang hendaklah menjelaskan hutangnya kerana Allah mengetahui apa yang mereka lakukan.
17) Membayar balik hutang sesungguhnya adalah sesuatu yang wajib dilakukan sehingga harta orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka terlebih dulu, sebelum diagihkan kepada waris. Bukan itu sahaja Islam juga menjanjikan bahawa jika seseorang itu berhutang dengan niat untuk membayar, insya-Allah, Allah akan memudahkan ia membayarnya.
18)Jika berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya sepertimana dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan.
19) Sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya." Maksud ‘Allah akan membayarkan’ di sini adalah Allah akan memudahkan rezeki seseorang itu agar dia dapat membayar hutangnya dan begitulah jika sebaliknya.
1 comment:
Warren Buffet (antara terkaya di dunia) berpesan:
1.Stay away from credit card (bank loans)
2.Invest in young age
3.Live your life as simple as you are
4.Don't do what others say, just listen them but do what you feel good.
5.Don't go on brand name, just wear those things in which you are comfortable.
6.Don't waste your money for unneccesary things, just spend on what really in need.
7.The happiest people, do not neccesarily have the "best" things, they simply appreciate the things they have.
"Let us choose a simpler & smarter way to live"
Post a Comment