Jumaat, 7 Ramadhan 1433H: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Daripada Anas katanya: “Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan)
Firman Allah s.w.t. maksudnya: ”Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.”(Surah al-`Araf:31).
Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).
Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).
No comments:
Post a Comment