Thursday, February 27, 2014

Kelebihan Solat Berjemaah

Khamis, 27 Rabiulakhir 1435H: Abu Hurairah r.a. memberitakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: 

"Solat seseorang dengan berjemaah, pahalanya berlipat ganda daripada solatnya seorang diri di rumahnya atau di pasar, dua puluh lima kali ganda. 

Sebabnya ialah, kerana apabila seseorang berwuduk, kemudian disempurnakannya wuduknya itu, lalu dia pergi ke masjid dengan niat hanya untuk menunaikan solat, maka tidak satu langkah pun langkah yang dilangkahkannya, melainkan ditinggikan Allah darjatnya satu tingkat untuk setiap langkah, dan dihapuskan pula kesalahannya. 

Apabila dia telah solat, maka malaikat sentiasa mendoakannya selama dia masih berada di tempatnya solat, katanya: "Wahai, Allah! Limpahkan kepadanya kebaikan dan kasihilah dia!" 

Dan seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat selama dia menunggu-nunggu waktu solat."

Hadis Sahih Bukhari .

Wednesday, February 26, 2014

Mujizat Rasulullah SAW

Rabu, 26 Rabiulakhir 1435H: Dari Anas r.a. katanya: 

Dibawa kepada Nabi s.a.w. sebuah bejana, waktu beliau di Zaura. Lalu beliau letakkan tangannya dalam bejana itu. Maka terbitlah air dari antara anak jari beliau. Lalu orang banyak berwuduk. 

Qatadah berkata: Saya bertanya kepada Anas: "Berapa banyaknya kamu ketika itu?" Jawab Anas: "Tiga ratus atau kurang lebih tiga ratus".

Hadis Sahih Bukhari .

Tuesday, February 25, 2014

Fadhilat Wuduk

Selasa, 25 Rabiulakhir 1435H: Dari 'Usman bin 'Affan r.a., ketika itu dia sedang berada di halaman masjid, maka terdengar azan 'Asar, lalu dia berwuduk. Sesudah wuduk dia berkata: 

"Demi Allah Akan ku sampaikan kepada anda sebuah hadis; yang kalau bukanlah kerana suatu ayat dalam Al Quran yang memerintahkan supaya menyampaikannya, tidak akan ku sampaikan kepada anda. Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, 

"Tidak ada seorang pun lelaki muslim yang berwuduk, lalu dibagus-baguskannya wuduknya itu, sesudah itu dia solat, nescaya di ampuni Allah dosa-dosanya yang terjadi antara solatnya itu dengan solat berikutnya."

Hadis Sahih Muslim .

Friday, February 21, 2014

Kelebihan Wuduk

Jumaat, 20 Rabiulakhir 1435H: Dari Nu'aim bin 'Abdullah Al Mujmir r.a., katanya: 

"Aku melihat Abu Hurairah mengambil wuduk. Mula-mula dicucinya mukanya melebihi batas wajib dengan sempurna bagus. Kemudian dicucinya tangannya yang kanan hingga masuk ke lengan, kemudian tangannya yang kiri hingga masuk lengan juga. Sesudah itu disapunya kepalanya. Kemudian dicucinya kaki kanannya hingga masuk ke betis. 

Setelah itu dia berkata, "Begitulah ku lihat Rasulullah saw. berwuduk." 

Lalu disampaikannya sabda Rasulullah saw., "Pada hari kiamat kelak, anda semua akan tampak bercahaya-cahaya gilang-gemilang kerana anda menyempurnakan wuduk anda sebagus-bagusnya. Kerana itu lebihilah batas-batas tertentu yang diwajibkan mencucinya ketika berwuduk."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, February 20, 2014

Wuduk Yang Sempurna

Khamis, 20 Rabiulakhir 1435H: Humran r.a., maula Usman (bin Affan) mengkhabarkan, bahawa dia melihat Usman bin Affan meminta seember air untuk berwuduk. Dia menuangkan air itu ke tangannya dan membasuh kedua telapak tangannya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam air, lalu berkumur-kumur dan membersihkan, hidung dengan menghirup air ke hidung dan menyemburkannya kembali. Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali, membasuh kedua belah tangannya hingga siku tiga kali. Kemudian dia menyapu kepalanya, dan setelah itu dia membasuh kaki hingga dua mata kaki tiga kali. Kemudian dia berkata, "Bersabda Rasulullah saw. 'Barangsiapa berwuduk seperti wudukku ini, kemudian solat dua rakaat dengan khusyuk, nescaya diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu." (Hadis Sahih Bukhari) 


Dari Humran, maula 'Usman bin 'Affan r.a. katanya: "Pada suatu hari 'Usman bin 'Affan berwuduk dengan sempurna. Kemudian dia berkata, "Aku melihat Rasulullah saw. berwuduk, maka disempurnakannya wuduknya itu sebagus-bagusnya, kemudian beliau bersabda: "Siapa yang berwuduk seperti itu, kemudian dia pergi ke masjid tanpa ada yang mendorongnya selain solat, nescaya diampuni Allah dosanya yang telah lalu."Hadis Sahih Muslim.)

Wednesday, February 19, 2014

Memuliakan Tamu

Rabu, 19 Rabiulakhir 1435H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: 
"Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Aku dalam kesulitan susah hidup dan lapar."  
Maka beliau bawa pulang itu ke rumah isteri beliau satu persatu menanyakan kalau-kalau mereka ada sedia makanan. 

Para isteri beliau menjawab. "Demi Allah yang mengutus Anda dengan yang hak, aku tidak sedia apa-apa selain air." Begitulah jawapan mereka masing-masing. 

Lalu bersabda beliau kepada para sahabat. "Siapa bersedia menerima tetamu malam ini nescaya di beri rahmat oleh Allah Ta'ala." 

Maka berdirilah seorang lelaki Ansar seraya berkata, "Aku, Ya Rasulullah!" 

Maka dibawanya lah orang itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada isterinya, "Adakah engkau sedia makanan?" 

Jawab isterinya, "Tidak ada, kecuali makanan anak-anak." 

Katanya, "Pujuklah mereka dengan apa saja. Bila tetamu kita dah masuk tunjukkan kepadanya bahawa kita makan bersamanya. Bila dia telah mulai makan, berdirilah ke dekat lampu lalu padamkan." 

Maka duduklah mereka dan sang tetamu pun makanlah. Setelah Subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Nabi saw. lalu kata beliau, "Allah kagum dengan cara kamu berdua melayani tetamu kalian malam tadi."

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, February 18, 2014

Minum Dan Makan Berdiri

Selasa, 18 Rabiulakhir 1435H: Dari Anas r.a., dari Nabi saw., bahawasanya beliau pernah melarang seorang lelaki minum sambil berdiri. 

Kata Qatadah, lalu kami bertanya: "Kalau makan?" Jawab Anas, "Itu lebih buruk dan lebih keji."

Hadis Sahih Muslim.

Monday, February 17, 2014

Mencela Makanan

Isnin, 17 Rabiulakhir 1435H : Dari Abu Hurairah r.a. katanya:

"Aku tidak pernah melihat Rasulullah saw. mencela suatu makanan sekali-kali tidak. Apabila beliau memang mengingininya dimakannya dan apabila beliau tidak mengingininya beliau diam saja."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, February 14, 2014

Bijaksanalah Membimbing Wanita

Jumaat, 14 Rabiulakhir 1435H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: 
"Siapa yang iman dengan Allah dan hari kiamat, maka apabila dia menyaksikan suatu peristiwa, hendaklah dia menanggapinya dengan baik atau diam. 

Bijaksanalah membimbing wanita, kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagiannya yang paling bengkok ialah yang sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya dia patah. Tetapi jika engkau biarkan, dia akan sentiasa bengkok. Kerana itu bijaksanalah membimbing wanita dengan baik."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, February 13, 2014

Tiada Solat Sunat Sesudah Qamat

Khamis, 13 Rabiulakhir 1435H: Berita dari Malik bin Buhainah r.a., mengatakan. bahawa Rasulullah saw. pernah melihat seorang laki-Iaki solat dua rakaat sesudah qamat. Ketika Rasulullah saw. telah selesai solat, dan orang banyak memandang hairan kepada orang itu, maka Rasulullah saw. bersabda: "Subuh! Subuh! Subuh! Subuh!" (empat kali)." ( Hadis Sahih Bukhari.)


Dari Ibnu Buhainah r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika solat Subuh telah diqamatkan, Rasullullah saw. melihat seseorang lelaki mengerjakan solat sunat. Maka bersabda Rasulullah saw. kepadanya, "Apakah anda solat Subuh empat rakaat?" (Hadis Sahih Muslim.)

Wednesday, February 12, 2014

Bacalah Quran Pada Waktu Subuh

Rabu, Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda :

"Pahala solat berjemaah melebihi pahala solat sendirian dua puluh lima darjat. Malaikat malam dan siang bertemu pada waktu Subuh." 

Kata Abu Hurairah selanjutnya, "Kerana itu bacalah Quran pada waktu Subuh, kerana membacanya waktu Subuh disaksikan para malaikat."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, February 7, 2014

Tujuh Orang Yang Mendapat Naungan Allah

Jumaat, 7 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Allah swt. akan memberikan naungan kepada tujuh jenis orang pada hari kiamat, di mana tidak ada naungan ketika itu kecuali naungan Allah. 

1. Imam (pemimpin, kepala pemerintahan yang adil.) 
2. Pemuda yang terdidik/terlatih sejak kecil dalam menyembah Allah. 
3. Seseorang yang hatinya tergantung di mesjid. 
4. Dua orang yang saling mengasihi kerana Allah; mereka berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah 
5. Seorang laki-laki yang dirayu untuk berbuat maksiat oleh wanita bangsawan yang cantik, lantas ia menolak dengan berkata halus, "Aku takut kepada Allah." 
6. Seorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang telah diberikan tangan kanannya. 
7. Seorang yang mengingat Allah waktu bersunyi-sunyi, lantas meleleh air matanya."

Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, February 6, 2014

Pengubat Hati Kematian Anak

Khamis, 6 Rabiulakhir 1435H: Dari Abu Hassan r.a. katanya dia bertanya kepada Abu Hurairah r.a. "Aku kematian dua orang anakku. Dapatkah anda menceritakan kepada ku hadis Rasulullah saw. yang dapat mengubati hati kami atas kematian anak-anak kami itu?" 

Jawab Abu Hurairah. Nabi saw. pernah bersabda: "Ya, anak-anak tersebut selamanya menjadi penghuni syurga. Salah seorang dari mereka datang menemui bapanya, atau kedua orang tuanya lalu dipegangnya baju atau tangan orang tuanya seperti aku memegang ujung bajumu ini. Maka tidak dilepaskannya, atau dia tidak berhenti memegang, sehingga Allah Ta'ala memasukkannya bersama bapanya ke syurga."

Hadis Sahih Muslim .

Wednesday, February 5, 2014

Rasa Kasih Sayang

Rabu, 5 Rabiulakhir 1435H :Dari 'Aisyah r.a, katanya: Ada seorang Arab dusun datang kepada Nabi saw. sambil berkata: 

"Kamu mencium anak-anak, sedangkan kami tidak pernah mencium mereka." 

Lalu Nabi saw. menjawab: "Apakah daya saya, seandainya Tuhan telah mencabut rasa kasih sayang dari hatimu."

Hadis Sahih Bukhari.