Thursday, May 25, 2017

Berbekam Ketika Berpuasa

Khamis, 28 Syaaban 1438H:  Muhammad bin Rafi' An-Naisaburi, Mahud bin Ghailan dan Yahya bin Musa menceritakan kepada kami di mana mereka berkata: " 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Yahya bin Abu Katsir dari Ibrahim bin 'Abdullah bin Qaridh dari 'As-Sa'ib bin Yazid dari Rafi' bin Khadij dari Nabi s.a.w. di mana baginda bersabda:

"Orang yang membekam dan orang yang dibekam itu batal puasanya."

Di dalam bab ini terdapat hadis dari Sa'd, 'Ali, Syaddad bin Aus, Tsauban, Usamah bin Zaid, 'Aisyah dan Ma'qil bin Yasar. Ada yang mengatakan Ma'qil bin Sinan, Abu Hurairah, Ibnu 'Abbas, Abu, Musa dan Bilal. Abu Musa berkata: "Hadis Rafi' bin Khadij adalah hadis hasan sahih.

Disebutkan dari Hmad bin Hanbal bahawasanya ia berkata: "Hadis yang paling sahih dalam masalah ini adalah hadis Rafi' bin Khadij." Disebutkan dari 'Ali bin 'Abdullah bahawasanya ia berkata: "Hadis yang paling sahih dalam masalah ini adalah hadis Tsauban dan Syaddad bin Aus kerana Yahya bin Abu Katsir meriwayatkan dari Abu Qilabah dua hadis secara bersamaan, iaitu hadis Tsauban dan hadis Syaddad bin Aus." Sekelompok ulama' dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. dan yang lain melarang berbekam bagi orang yang berpuasa sehingga ada sebahagian sahabat Nabi s.a.w. berbekam pada waktu malam, antara lain Abu Musa Al-Asy'ari dan Ibnu 'Umar.

Pendapat ini diikuti oleh Ibnul Mubarak. Abu 'Isa berkata: "Dan saya mendengar Ishaq bin Manshur berkata: " 'Abdur Rahman bin Mahdi berkata: "Barangsiapa yang berbekam sedangkan ia sedang berpuasa maka ia wajib mengqada'nya." Itulah pendapat Ishaq bin Manshur. Ahmad bin Hanbal dan Ishaq bin Ibrahim juga mempunyai pendapat seperti itu.

Abu 'Isa berkata: "Al-Hasan bin Muhammad Az-Za'farani memberitahukan kepada ku di mana ia berkata: "Asy-Syafi'i berkata: "Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda sedang berbekam sedangkan baginda sedang berpuasa" ; serta diriwayatkan dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda: "Orang yang membekam dan dibekam itu batal puasanya"

Saya tidak mengetahui mana di antara dua hadis tersebut yang tsabit (dapat dijadikan pedoman). Seandainya ada seseorang khuatir untuk berbekam sewaktu sedang berpuasa maka itulah yang saya senangi. Namun seandainya ada seseorang yang berbekam sewaktu sedang berpuasa maka saya berpendapat bahawa tidak batal puasanya.

Abu 'Isa berkata: "Demikian itulah pendapat As-Syafi'i di Baghdad; sedangkan sewaktu beliau di Mesir, beliau lebih cenderung untuk memberikan rukhsah (keringanan), dan tidak berpendapat bahawa berbekam itu mempunyai kesan hukum. Beliau mengambil dalil bahawasanya Nabi s.a.w. berbekam dalam haji Wada' sedangkan baginda berihram dan berpuasa."

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 0771.

No comments: