Jumaat, 18 Zulkaedah 1446H | Guru Didoakan Makhluk Di Langit, Bumi dan Lautan
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ قَالَ ذُكِرَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلَانِ أَحَدُهُمَا عَابِدٌ وَالْآخَرُ عَالِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ
Daripada Abu Umamah Al Bahili ia berkata; " Disebutkan kepada Rasulullah SAW tentang dua orang lelaki: salah seorangnya adalah ahli ibadah (abid) dan yang seorang lagi adalah orang berilmu (alim), kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Keutamaan seorang alim dari seorang abid seperti keutamaanku dari orang yang paling rendah di antara kalian, " kemudian baginda melanjutkan sabdanya: "Sesungguhnya Allah, MalaikatNya serta penduduk langit dan bumi bahkan semut yang ada di dalam sarangnya sampai ikan dilautan, semuanya akan berselawat (mendoakan) untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (HR Tirmizi No: 2609) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Kedudukan orang berilmu yang beramal adalah lebih utama daripada seorang ahli ibadah. Ahli ibadah adalah mereka yang beribadah secara individu, seperti solat, puasa, dan zikir. Mereka beribadah hanya untuk amalan peribadi tanpa memberi manfaat besar kepada orang lain. Sedangkan Ahli ilmu adalah mereka yang tidak hanya mengamalkan ilmu mereka sendiri, tetapi juga menyebarkan ilmu dan mengajar kepada orang lain kebaikan.
2. Ibn Rajab al-Hanbali dalam Fadhl 'Ilm al-Salaf menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan keutamaan ilmu dan pengajaran ilmu kerana orang yang berilmu bukan sahaja beramal untuk dirinya, malah menyampaikan manfaat kepada orang lain.
3. Guru yang memiliki ilmu dan mengajar serta membimbing orang lain untuk menjadi insan soleh dan bertaqwa akan didoakan kebaikkan oleh semua makhluk di langit, bumi dan di dalam air.
4. Fudlail bin Iyadl berkata; "Seorang alim yang mengamalkan ilmunya dan mengajarkan ilmunya akan dipanggil dengan kebesaran oleh para Malaikat yang ada di langit."
5. Nabi SAW membandingkan keutamaan seorang alim dengan ahli ibadat adalah seperti keutamaannya berbanding orang yang paling rendah di kalangan sahabatnya. Hal ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan orang yang berilmu dalam Islam.
6. Hadis ini sangat penting sebagai dorongan untuk kita mencari ilmu dan berusaha mengajarkan kebaikan kepada orang lain, kerana ia adalah satu amalan yang bukan hanya memberi manfaat di dunia tetapi juga akan memberi ganjaran yang sangat besar di sisi Allah.
No comments:
Post a Comment