Sabtu, 19 Zulkaedah 1446H | Mukmin Umpama Lebah
عَن عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مَثَلَ الْمُؤْمِنِ لَكَمَثَلِ النَّحْلَةِ أَكَلَتْ طَيِّبًا وَوَضَعَتْ طَيِّبًا وَوَقَعَتْ فَلَمْ تُكْسَرْ وَلَمْ تَفْسُدْ
Daripada Abdullah bin Amru bin al-As, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya perumpamaan seorang mukmin adalah seperti lebah, ia makan yang baik-baik, mengeluarkan yang baik-baik, bila ia hinggap tidak membuat dahan patah dan rusak." (HR Ahmad No: 6577) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Seorang Mukmin perlu sentiasa melakukan amal kebaikan walau kepada siapapun dan dimana sahaja.
2. Seorang Mukmin sepatutnya berperanan sebagai agen perubahan di mana sahaja dia berada.
3. Jadilah kita seperti lebah yang berperanan secara semulajadi membantu proses pendebungaan bunga-bunga dan dalam masa yang sama menghasilkan madu. (Kita sentiasa memberi manfaat kepada orang lain).
4. Jadilah seperti lebah yang hanya makan dari bunga-bungaan yang bersih dan tidak tercemar, seorang mukmin juga seharusnya memilih untuk memakan rezeki yang halal, baik dalam aspek makanan, minuman, pekerjaan, dan sumber pendapatan.
5. Jadilah kita seperti lebah, mendapat sesuatu dari sumber yang baik, menggunakan dan menyumbang kepada manusia lain juga yang baik dan bermanfaat. Dimana-mana kita berada, kita bukan beban tetapi asset kepada orang lain.
6. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa lebah itu produktif, bermanfaat dan tidak merosakkan, dan inilah ciri utama seorang mukmin yang sejati — tidak menyakiti orang lain, menghindari kerosakan dalam masyarakat dan persekitaran serta sentiasa memberi manfaat.
7. JOM kita berusaha meninggalkan warisan yang unggul (legacy) di mana pun kita berada, berlumba untuk meninggalkan kebaikan seperti lebah yang meninggalkan legacy madu.
8. Perlu diingat, kualiti madu yang dihasilkan oleh lebah bergantung pada sumber yang menghasilkan madu. Kita haruslah memastikan ‘sumber-sumber'nya; guru yang mendidik, ilmu yang diperolehi, pentarbiahan yang membentuk diri kita, rakan-rakan seperjuangan yang bersama kita, kumpulan yang kita bergabung dengannya dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment