Khamis, 24 Zulkaedah 1446H | Ibadat Tawaf
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنه، أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ قَالَ: الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلَاةِ، إِلَّا أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلَا يَتَكَلَّمَنَّ إِلَّا بِخَيْرٍ.
Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Tawaf di sekeliling Kaabah itu seperti solat, kecuali kamu dibenarkan bercakap-cakap dalamnya. Maka sesiapa yang bercakap dalamnya, janganlah dia bercakap kecuali dengan perkataan yang baik." (Sunan Tirmizi No: 960) Status Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Imam Nawawi menegaskan bahawa tawaf adalah ibadah yang sangat mulia dan mempunyai kedudukan yang tinggi seperti solat, bukan sekadar berjalan mengelilingi Kaabah. Justeru, ia menuntut adab seperti berwuduk, kekhusyukan dan penghindaran dari perkara sia-sia. Oleh itu, jika seseorang bercakap semasa tawaf, ia hendaklah dengan perkataan yang baik dan bermanfaat, seperti doa, zikir, atau memberi nasihat.
2. Ibnu Qudamah dalam al-Mughni menyatakan bahawa tawaf adalah ibadah jasmani dan rohani. Maka, walaupun seseorang bercakap semasa tawaf tidak membatalkan ibadat tawaf, tetapi percakapan sia-sia mengurangkan pahala. Justeru, dianjurkan untuk memperbanyak zikir, doa dan istighfar semasa tawaf.
3. Seorang yang sedang bertawaf perlu menjauhi perkara sia-sia dengan menghindari gosip, jenaka berlebihan, atau perkara duniawi.
4. Seorang yang sedang melakukan tawaf hendaklah dalam keadaan berwuduk, suci dan bersih, menjaga kekhusyukan hati, mengisi lidah dengan zikir dan doa, serta menjauhkan diri dari kata-kata yang tidak berfaedah.
No comments:
Post a Comment