Jumaat, 1 Rabiul Awal 1448H | Bersifat Jujur dan Jauhi Dusta
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
Daripada Abdullah RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga. Sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan membawa kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan membawa ke neraka. Sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (HR Bukhari No: 5743) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap Muslim dituntut memiliki sifat kejujuran dalam setiap amal dan perbuatan. Seseorang dianggap jujur apabila perkataannya menepati kebenaran, tindakannya selaras dengan pengakuannya dan niatnya bebas daripada penipuan.
2. Menurut Imam al-Nawawi, kejujuran membawa seseorang kepada ketaatan dan segala bentuk kebaikan yang diredai Allah. Apabila seseorang membiasakan diri dengan kejujuran, sifat tersebut membimbingnya kepada amal soleh yang lain.
3. Sifat jujur yang dimiliki secara berterusan akan menjadi tabiat kebiasaan yang akhirnya membentuk akhlak kepada seseorang
4. Kejujuran membawa kepada kebenaran dan kebaikan kerana orang yang benar akan lebih mudah menjaga amanah, memenuhi janji dan menghindari pengkhianatan. Sifat jujur akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang Muslim di dunia untuk menjadi orang yang soleh.
5. Sifat dusta dan berbohong sama ada dalam percakapan, tulisan mahupun perbuatan akan mendorong seseorang kepada kejahatan dan membawa kepada kefasikan.
6. Sifat dusta dan bohong yang menjadi kebiasaan secara berterusan kepada seseorang, akhirnya akan membentuk tabiat dan akhlak yang buruk.
7. Sifat dusta akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang ke neraka. Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ
Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepda orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta (Mukmin: 28).
8. Kejujuran dan dusta bukan sekadar tindakan sekali-sekala. Kedua-duanya boleh menjadi kebiasaan, kemudian membentuk watak dan akhirnya menentukan kedudukan seseorang di sisi Allah. Orang yang terus memilih kejujuran akan dicatat sebagai siddiq, manakala orang yang membiasakan dusta akan dicatat sebagai kazzab. Berusahalah memiliki sifat jujur dan jauhilah dusta dan bohong.
No comments:
Post a Comment