Jumaat, 15 Rabiul Awal 1448H | Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaik
حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْجَدَلِيُّ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ كَيْفَ كَانَ خُلُقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَهْلِهِ قَالَتْ كَانَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا لَمْ يَكُنْ فَاحِشًا وَلَا مُتَفَحِّشًا وَلَا سَخَّابًا بِالْأَسْوَاقِ وَلَا يُجْزِئُ بِالسَّيِّئَةِ مِثْلَهَا وَلَكِنْ يَعْفُو وَيَصْفَحُ
Telah menceritakan kepadaku Abu Abdullah Al Jadali dia berkata; Saya bertanya kepada Aisyah; "Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW terhadap keluarganya." Aisyah berkata; "Baginda adalah orang yang paling baik akhlaknya. Baginda tidak pernah berbuat keji, tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, tidak meninggikan suara atau bertengkar di pasar. Baginda tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya), akan tetapi baginda seorang yang pemaaf dan berlapang dada." (HR Ahmad No: 24797) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik akhlak terhadap keluarga dan orang lain. Kelembutan dan kasih sayang dalam keluarga adalah asas keharmonian rumah tangga.
2. Rasulullah SAW tidak pernah melakukan perbuatan buruk dan keji seperti perbuatan kasar kepada orang lain.
3. Rasulullah SAW tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, bertengkar serta tidak terjerit-jerit di pasar (shoping kompleks) atau di mana sahaja.
4. Al-Qadi Iyad menjelaskan bahawa sifat ini menunjukkan kewibawaan Rasulullah SAW. Baginda tidak mencari perhatian dengan suara yang kuat atau pertengkaran, sebaliknya dihormati kerana akhlak dan kebijaksanaan Baginda.
5. Antara akhlak terpuji Rasulullah SAW ialah tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya).
6. Rasulullah SAW adalah seorang yang pemaaf dan berlapang dada terhadap orang lain. Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim menegaskan bahawa sifat Baginda ini menunjukkan keutamaan memberi maaf kerana ia lebih membawa kepada kasih sayang dan keberkatan.
7. Ibn Rajab menjelaskan bahawa sifat memaafkan Rasulullah SAW bukan kerana kelemahan, tetapi kerana kekuatan jiwa. Baginda memaafkan apabila hak peribadi Baginda dizalimi, namun apabila hukum Allah dicabuli, Baginda tetap tegas menegakkan keadilan.
8. Hadis ini mengajar bahawa ukuran sebenar kemuliaan akhlak bukanlah bagaimana seseorang berinteraksi dengan orang luar, tetapi bagaimana dia melayan ahli keluarganya, pekerjanya dan orang yang berada di bawah tanggungannya. Rasulullah SAW membuktikan bahawa kelembutan bukan tanda kelemahan, bahkan ia adalah kekuatan yang mampu membina keluarga yang bahagia, masyarakat yang harmoni dan umat yang saling menghormati.
9. Berusahalah kita mencontohi Rasulullah SAW dengan tidak mengeluarkan kata-kata kotor, terjerit-jerit dimana sahaja kita berada termasuk dalam bentuk tulisan di media sosial. Jadilah kita orang yang pemaaf.
No comments:
Post a Comment