Saturday, October 31, 2026

Penghulu Istighfar

Sabtu, 20 Jamadil Awal 1448H  |  Penghulu Istighfar
 
عَنْ شَدَّادُ بْنُ أَوْسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ قَالَ وَمَنْ قَالَهَا مِنْ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَمَنْ قَالَهَا مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ

Daripada Syaddad bin Aus RA daripada Nabi SAW; Baginda bersabda: " Penghulu istighfar ialah engkau mengucapkan: ‘Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku tetap berpegang pada perjanjian dan janji-Mu sekadar yang aku mampu. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan apa yang telah aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau.’ Baginda bersabda lagi: Sesiapa yang mengucapkannya pada waktu siang dengan penuh keyakinan terhadapnya, kemudian dia meninggal dunia pada hari itu sebelum petang, maka dia termasuk dalam kalangan ahli syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam dengan penuh keyakinan terhadapnya, kemudian dia meninggal dunia sebelum pagi, maka dia termasuk dalam kalangan ahli syurga.’” (HR Bukhari No: 6306) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Setiap Muslim tidak terkecuali dari melakukan kesalahan dan kesilapan
 
2.    Kita disuruh sentiasa beristighfar agar diampunkan segala dosa
 
3.    Antara lafaz istighfar yang paling baik dan dipanggil penghulu istighfar:
 
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
 
(‘Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku tetap berpegang pada perjanjian dan janji-Mu sekadar yang aku mampu. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan apa yang telah aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau’).
 
4.    Dinamakan penghulu istighfar kerana doa ini menghimpunkan secara sangat lengkap unsur tauhid, ubudiyyah, pengakuan terhadap nikmat Allah, pengakuan terhadap dosa, taubat, pergantungan kepada Allah dan permohonan keampunan.
 
5.    Mukmin yang mengucapkan penghulu istighfar di atas pada waktu pagi atau petang dengan keyakinan terhadap kandungannya, kemudian ia meninggal dunia, maka ia akan masuk syurga.
 
6.    Penghulu istighfar bukan sekadar meminta dosa diampunkan, tetapi mendidik manusia mengenal Allah, mengenal dirinya, mensyukuri nikmat dan berani mengakui kesalahannya.
 

No comments: