Sunday, November 8, 2026

Jadilah Orang Yang Paling Baik Pada Ahli Keluarga

Ahad, 28 Jamadil Awal 1448H   |  Jadilah Orang Yang Paling Baik Pada Ahli Keluarga

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

Daripada Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Apabila sahabat kamu meninggal dunia maka biarkanlah dia (jangan kamu membicarakan keburukannya)." (HR Tirmidzi No: 3830) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan rumah tangga dan ahli keluarga yang bahagia.
 
2.    Bagi mewujudkan kebahagiaan dalam berumah tangga, kita perlu berlaku baik terhadap ahli keluarga antaranya dengan saling memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, bapa dan ibu serta anak.
 
3.    Sebaik-baik kita adalah orang yang paling baik pergaulannya, serta penyayang terhadap ahli keluarganya. Kasih sayang dalam keluarga perlu dizahirkan melalui tindakan, bukan sekadar ungkapan.
 
4.    Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri  ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).
 
5.    Bertimbang rasa, bertolak ansur dan saling menyayangi antara pasangan dan anak-anak merupakan antara faktor yang menjamin keharmonian rumahtangga.
 
6.    Contohilah Rasulullah SAW dalam berbuat baik dan memberi layanan kepada ahli keluarganya kerana Rasulullah SAW paling baik layanan terhadap isteri dan anak-anaknya.
 
7.    Islam melarang umatnya mengungkit atau menceritakan keburukan orang yang telah meninggal dunia kerana ia termasuk dalam perbuatan ghibah (mengumpat) yang diharamkan, melainkan untuk tujuan syarak seperti pengajaran atau penjelasan hukum.
 
8.    Hadis ini mengajar kepentingan menjaga hubungan sosial, menghormati maruah orang lain dan tidak menyebarkan keburukan tanpa alasan yang dibenarkan.
 

No comments: