Wednesday, April 14, 2010

Pemimpin - Amanah dan Tanggungjawab.

Rabu, 29 Rabiulakhir 1431H : Firman Allah SWt yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada orang yang berhak kepadanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu, sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Melihat."


"Wahai orang-orang yang beriman! taatlah Allah dan taatlah Rasul-Nya dan Ulil Amri di kalangan kamu, kemudian jika kamu bertelingkah tentang sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (al-Hadith) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan demikian lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya."

Pemerintah menurut Islam bukanlah hanya sekadar memegang teraju pemerintahan dan melaksanakan menurut kemahuan sendiri, melakukan sesuatu dan memerintah dengan sewenang-wenang sahaja tetapi memikul kewajipan yang besar dan tanggungjawab yang berat. Untuk mengetahui sifat dan tanda-tanda sesuatu pemerintahan Islam ialah berpandukan kepada apa yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud:

"Orang-orang yang apabila telah Kami berikan kedudukan yang kukuh di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah yang mungkar dan kepada Allah jua akibat segala urusan."

Ayat ini menyatakan perkara-perkara yang mesti dilakukan oleh pemerintahan Islam.

  1. Mendirikan sembahyang. Iaitu melakukan hubungan yang kuat di antara masyarakat Islam dengan Allah SWT.
  2. Memberi zakat. dengannya diberi perhatian kepada masalah ekonomi dan pembahagiannya yang adil.
  3. Menyeru kepada yang makruf. menyebarkan kebaikan dan melakukan islah dalam masyarakat.
  4. Mencegah kemungkaran. memerangi segala bentuk kejahatan. penyelewengan, kezaliman dan maksiat.
  5. Pemerintah yang begitu rupa memerlukan orang yang benar-benar layak, adil dan soleh, mempunyai persediaan ilmu, amal dan peribadi yang mulia.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili di antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana membela (orang-orang yang khianat)."

Pemerintah Islam bersatu dalam satu perkataan di istilahkan sebagai Ad-Din, cara hidup yang lengkap dan sempurna, seperti firman Allah (mafhumnya):

"...Pada hari ini, Aku (Allah) telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku terhadap kamu, dan aku reda Islam menjadi ad-Din kamu (cara hidup yang sempurna)..." (Surah al-Maaidah, ayat 3)

Oleh kerana itu, kita umat Islam perlu terima hakikat, Islam adalah agama yang sempurna, termasuk cara berpolitik dan memerintah cara Islam. Maka tiada alasan yang munasabah kepada mereka yang takut kepada wujudnya Negara Islam tulin melainkan orang-orang yang zalim dan fasik.

Pemerintah Islam yang berakhlak mulia dan tunduk kepada Allah SWT mestilah bersedia menerima pandangan, teguran atau nasihat daripada rakyatnya. Kita boleh melihat contoh bagaimana seorang pemimpin mendengar pandangan daripada rakyatnya melalui ucapan Saidina Abu Bakar As-Siddiq setelah dilantik menjadi Khalifah yang pertama.

"…..Saudara-saudara sekalian, saya sudah terpilih untuk memimpin kamu semua, dan saya bukanlah orang yang terbaik diantara kamu sekalian. Kalau saya berlaku baik bantulah saya, kalau anda sekalian melihat saya salah, maka luruskanlah. Kebenaran adalah suatu amanah, dan dusta adalah pengkhianatan. Orang yang lemah diantara kamu adalah kuat dipandangan saya, sesudah haknya saya berikan kepadanya, Insya Allah. Orang yang kuat diantara kamu adalah lemah dipandangan saya , sehingga saya terpaksa menarik kembali hak daripadanya, Insya Allah ! Janganlah ada seseorang dari anda sekalian yang mau meninggalkan jihad.
Apabila sesuatu kaum telah meninggalkan jihad (perjuangan dijalan Allah), maka Allah akan menimpakan kehinaan kepadanya.
Apabila kejahatan sudah meluas pada sesuatu golongan, maka Allah akan menyebarkan bencana kepada mereka. Ikutlah saya selama saya taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Tetapi apabila saya melanggar (perintah) Allah dan RasulNya maka tidak wajib anda sekalian mentaati saya. Marilah kita solat, semoga Allah memberi Rahmat kepada anda sekalian."


Begitu juga dengan ucapan Saidina Omar bin al-Khattab, Khalifah yang kedua.

"Siapa yang melihat berlakunya kepadaku penyelewengan maka perbetulkanlah aku."

Ketua Negara mestilah sentiasa membuka dada untuk dibangkang. Perhatikanlah ucapan Omar bin Abdul Aziz, seorang Khalifah yang memerintah selepas zaman Nabi dan zaman para sahabat sebagai bukti kewujudan pemerintahan Islam yang berjaya selepas generasi pertama. Di antaranya beliau berkata yang bermaksud:

"Adapun selepas itu, maka sesungguhnya tiada lagi Nabi selepas Nabi kamu Muhammad SAW dan tiada lagi kitab selepas Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadanya. Ingatlah, sesungguhnya apa yang dihalalkan oleh Allah Azzawajalla tetap halal hingga ke hari kiamat dan apa yang diharamkan oleh Allah tetap haram hingga ke hari kiamat. Ingatlah sesungguhnya tidak harus bagi seseorang itu taat dalam perkara derhakakan Allah Azzawajalla. Ingatlah, sesungguhnya aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu, tetapi Allah telah menjadikan aku orang yang paling berat memikul tugas."

Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku melantik kamu untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah aku daripada melakukannya.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud"

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin. ia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang lelaki pemimpin pada ahlinya dan ia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang perempuan itu pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya dan ia ditanya tentang rakyatnya, dan khadam itu menjadi pemimpin urusan harta tuannya dan ia akan ditanya tentang rakyatnya dan seorang anak menjadi pemimpin menggunakan harta ayahnya dan ia ditanya tentang rakyatnya, maka semua kamu adalah pemimpin dan ditanya tentang rakyatnya."

Allah berfirman yang maksudnya:

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha penerima taubat.” (An-Nashr: 1 – 3)

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a., aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya semua amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu. “- (Riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments: