Tuesday, January 18, 2011

10 Perkara Yang Dituntut oleh Agama

Selasa, 13 Safar 1432H :- Dari Aisyah r.ahn, katanya: Rasul s.a.w bersabda: “ sepuluh perkara dari (peraturan-peraturan kebersihan) yang dituntut oleh agama, iaitu: menggunting misai, membiarkan janggut(tumbuh panjang serta mengemaskannya), bersugi(membersihkan gigi), menyedut air-membersihkan hidung, memotong kuku, membasuh buku-buku jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, dan beristinjak”. Kata Mas`ab (salah seorang rawi hadis ini): “dan aku lupa akan perkara yang kesepuluh, aku fikir perkara itu) tidak lain dari berkumur-kumur..”( H. Riwayat Muslim )

Daripada Abu Hurairah r.a katanya:”Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:”Terdapat lima perkara fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencukur misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.” (H. Riwayat Muslim)

Dari Anas bin Malik, katanya: “Rasulullah SAW menentukan waktu kepada kami tentang menggunting kumis, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur ari-ari supaya jangan dibiarkan lebih dari empat puluh hari.” (HR Muslim ).

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Jikalau tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku menyuruh mereka bersugi ketika setiap kali sembahyang.”(H.Riwayat at-Tirmidzi)

Keterangan hadis :

1. Perkara-perkara tersebut ada yang wajib hukumnya dan ada yang sunat

2. Perkara yang wajib ialah beristinjak, dan yang lain ialah sunat

3. Khatan bererti memotong kulit yang menutup "hasyafah" (kepala zakar) lelaki. Berkhatan adalah salah satu keutamaan agama yang disyariatkan Allah kepada hambaNya.

4. Empat puluh hari merupakan tempoh waktu untuk menggunting kumis, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur ari-ari.

5. Antara hikmah bersugi ialah supaya kita berada dalam keadaan sempurna dan bersih sebelum mengerjakan ibadat kepada Allah SWT. Iman an-Nawawi menyatakan bahawa kita digalakkan bersugi dalam lima waktu iaitu :
i) Ketika hendak bersolat
ii) Ketika berwudhu’.
iii) Ketika hendak membaca al-Qurani
iv) Ketika bangun daripada tidur
v) Ketika berubah bau mulut disebabkan tidak makan dan minum atau kerana memakan sesuatu yang berbau busuk seperti petai, jering dan sebagainya

6. Apa yang penting, menjaga kebersihan adalah dituntut oleh syarak kerana ia sebahagian daripada iman.

1 comment:

zainal said...

Alangkah indahnya Islam kerana memberikan panduan sehingga perkara yg sekecil-kecil.

2.Apa yg mendukacitakan ialah umat Islam amat lemah dari sudut AMALAN. Faham/tahu tanpa amalan adalah sesuatu yg merugikan.

3.Mulakanlah sesuatu w/pun ianya sedikit. Sentiasa istiqamah hinggalah ia menjadi sebati dgn hidup. Amal lagi satu amalan yg lain, istiqamah, ianya akan jadi amalan yg rutin.

4.Pepatah ada menyatakan, "Kejayaan kecil akan menghasilkan kejayaan besar".

W'aklam.