Selasa, 27 Jamadilakhir 1432H: Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda:”Apabila seseorang kamu datang ke tempat tidurnya (hendak tidur), hendaklah dikipaskannya dengan hujung kainnya tiga kali dan hendaklah dibacanya:”Dengan nama Engkau Ya Tuhan, aku rebahkan rusukku (tidur) dan dengan nama Engkau aku angkat (bangun). Jika engkau ambil jiwaku, hendaklah Engkau ampuni dan jika Engkau lepaskan (kembalikan) hendaklah Engkau pelihara sebagaimana engkau memelihara hamba-hamba Engkau yang soleh.” (HR Muslim)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.” (HR al-Bukhari)
Keterangan Hadis:
Keterangan Hadis:
1. Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadith yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan solat. Nabi pun terus mengeluarkan arahan: "Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk, hendaklah tidur" - (Bukhari-Muslim)
2. Sesungguhnya tidur adalah suatu kematian yang sementara sedangkan hidup dan mati itu di tangan Allah. Tiada siapa yang tahu bila kita akan mati dan bagaimana kita akan menghadapi detik-detik apabila roh terlerai dari jasad. Bukan jarang kita mendengar orang yang mati ketika sedang tidur ! Oleh itu selaku orang Islam kita dituntut agar membaca doa sebelum melelapkan mata supaya terhindar daripada perkara yang tidak diingini iaitu mati dalam keadaan mengejut.
3. Ingatlah bahawa menghisab amalan sebelum tidur akan menyedarkan kita tentang hari akhirat kelak. Ia menjadikan kita insaf agar tidak mensia-siakan usia dan masa yang diperuntukkan.
4. Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: "Daripada 'Aisyah r.a katanya: "Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (at-Tirmizi)
5. Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur.
6. Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula.
7. Cara tidur Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.
1 comment:
Tidur membolehkan kita beralih dari gelombang otak Beta (Frekuensi tinggi) kepada Alpha, Tetha & Delta (Frekuensi rendah).
2.Jika gelombang Beta terlalu tinggi, ianya akan menyebabkan rasa cemas, tertekan, marah, hilang kawalan. Keadaan ini berlaku kerana tekanan kerja, tugasan yg bertimbun, hadapi peperiksaan yg penting, kejar date line, konflik dgn org lain dll. Bagi meredakan gelombang Beta ini, badan memerlukan rehat, santai, mengelamun dan tidur.
3. Apabila diri dlm keadaan gelombang Alpha, Tetha & Delta, hormon melatonin, serotonin, endofrin akan keluar yg menyebabkan diri rasa tenang, rileks, badan & emosi lebih stabil.
4.Kajian juga menunjukkan orang yg tidur dengan lena walaupun sekejap akan berada dlm keadaan Delta. Ini akan membantu mengalakan hormon HGH (Human Growth Hormone) yg boleh merawat penyakit, kesegaran yg tinggi dan awet muda.
Moral: santai, senam, riadah, "cuti-cuti Malaysia", tidur yg lena adalah ubat semulajadi bagi kesihatan fizikal dan mental yg berkualiti.
Wallahuaklam
Post a Comment