Thursday, August 25, 2011

Puasa Sunat Enam Hari Bulan Syawal

Khamis, 25 Ramadhan 1432H :Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “ Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun”. (HR Muslim)

Dari Abu Ayyub al-Anshari r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis.

1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.

2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.

3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.

4. Walau bagaimanapun, Islam mengharamkan umatnya berpuasa pada 1 syawal. Dari Abu Hurairah r.a kataya:”Rasulullah s.a.w melarang puasa pada dua jenis hari. Iaitu pada hari raya Idul Adha (10 Zulhijjah) dan hari raya Idul Fitri (1 Syawal).” (HR Muslim)

1 comment:

zainal said...

Terasa hiba Ramadhan hampir ke penghujungnya. Mana mungkin dpt seindah beribadat dan ketenangan jiwa spt di bulan Ramadhan.

"Ya Allah, temukanlah kami Ramadhan di tahun hadapan"

Wallahuaklam