Monday, October 10, 2011

Ibadah Qurban

Isnin, 12 Zulkaedah 1432H: Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH QURBAN

- Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

- Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.

- Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram.

- Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.

DALIL PENSYARIATAN

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 : Maksudnya : "Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 : Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".


Sabda Rasulullah S.A.W.: Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu
". (Hadis riwayat Tirmidzi)

FADHILAT IBADAH QURBAN

Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:

- Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

- Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah: Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

- Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah. Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadis riwayat Thabrani)

- Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda: Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadith riwayat Tirmidzi)

- Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".

3 comments:

zainal said...

Ibadah qurban mendekatkan silaturahim sesama Muslim.

2.Alangkah gembiranya org yg dpt daging qurban apatah lagi jika hanya sesekali merasa makan daging.

3.Sedekah yg baik adalah untuk kerabat yg dekat, jiran tetangga, saudara semukim barulah disebarkan sedekah pada saudara yg jauh. Ini adalah kerana sedekah itu akan merapatkan lagi tali silaturahim dan sifat kasih sayang.

Wallahuaklam.

Unknown said...

berkurban untuk mendekatkan diri kepada Allah yang mana setiap insan yang melakukan ibadah Qurban ini dengan penuh keikhlasan maka ia akan mendapat ganjaran begitu besar daripada Allah swa bermula langkah pertama berkaitan ibadah ini seperti ia berjalan untuk mencari binatang penyembelihan qurban, bertawar menawar harga binatang tersebut sehinggalah titisan darah yang jatuh adalah diganti dengan kebajikan yang tidak terkira banyaknya dan bahkan setiap suap yang dimakan oleh penerimanya akan menjadi kebaikan untuk mereka yang berqurban binatang tersebut.

Unknown said...

berkurban untuk mendekatkan diri kepada Allah yang mana setiap insan yang melakukan ibadah Qurban ini dengan penuh keikhlasan maka ia akan mendapat ganjaran begitu besar daripada Allah swa bermula langkah pertama berkaitan ibadah ini seperti ia berjalan untuk mencari binatang penyembelihan qurban, bertawar menawar harga binatang tersebut sehinggalah titisan darah yang jatuh adalah diganti dengan kebajikan yang tidak terkira banyaknya dan bahkan setiap suap yang dimakan oleh penerimanya akan menjadi kebaikan untuk mereka yang berqurban binatang tersebut.