Friday, October 21, 2011

Hari Tashriq Diharamkan Berpuasa

Jumaat: 22 Zulkaedah 1432H :Dari Nubaisyah al-Hudzali r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Hari-hari Tashriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari-hari makan minum.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Pada hari-hari Tashriq, umat Islam (Muslim) sama sekali diharamkan untuk melakukan ibadat puasa, ini kerana Hari Tashriq juga membawa maksud "Hari Makan Minum".

2. Hari-hari Tashriq dalam istilah Islam adalah merujuk kepada hari ke-11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah mengikut kalender Islam Hijrah. Pada hari-hari tersebut, umat Islam yang sedang melakukan ibadah Haji akan menyempurnakan amalan bekenaan dengan melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah; iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah. Ibadah melontar jamrah ini dilaksanakan bersempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. melontar syaitan apabila ia menjelma bagi mengganggu kosentrasi kedua Nabi besar tersebut melakukan korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

3. Umat Islam boleh melakukan ibadah korban sehingga sebelumnya masuk waktu Maghrib 14 Zulhijjah. Begitu juga amalan bertakbir, juga disunatkan sehingga maghrib tersebut.

4. Takbir raya tidak semestinya dilaungkan di Masjid sahaja mahupun selepas setiap waktu solat. Umat Islam digalakkan melaungkan lafaz takbir ini (pada masa-masa yang disunatkan/dibenarkan) di mana-mana sahaja. Di dalam kereta waktu sedang memandu, di dalam rumah waktu sedang masak, di jalanan waktu pergi ke Masjid atau Surau dan di mana-mana sahaja mereka berada dan teringat hendak bertakbir. Tidak perlu tunggu sampai di Surau dan selepas solat baru hendak bertakbir

1 comment:

zainal said...

Syariat ini adalah antara keunikan Islam. Walaupun sesuatu itu baik tetapi pada masa yang tertentu diharamkan melakukannya. Setiap syariat adalah untuk keperluan/maslahat tertentu. Sesunguhnya Allah Maha Mengetahui setiap keperluan makhluknya.

2.Semua larangan atau suruhan adalah untuk bezakan Muslim yg taat dan engkar. Muslim yg baik adalah yg ikut suruhan walaupun logik akal kata, "apa salahlah puasa, kan puasa tu baik/ibadat".

3.Qurban adalah masa meraikan rezeki Allah. Justeru, mensyukuri nikmat Allah dgn makan daging Qurban adalah juga ibadat.

p/s (cuma jgn la lebih2, lain pula jadinya!, he, he...)

Wallahuaklam