Friday, October 14, 2011

Keharusan Berkongsi Haiwan Korban

Jumaat, 16 Zulkaedah 1432H : Dari Jabir r.a. katanya: “Kami menunaikan Haji bersama Rasulullah s.a.w. maka kami sembelih seekor unta buat tujuh orang, dan seekor lembu buat tujuh orang”. (HR Ahmad dan Muslim)

Dari Abu Zubair, dari Jabir bin Abdullah r.a, katanya:”Kami pernah menyembelih korban bersama-sama rasulullah s.a.w di tahun perjanjian Hudaibiyah untuk korban seekor unta atau korban seekor lembu, kami bersekutu tujuh orang.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1.Seekor unta, lembu atau kerbau itu harus dikongsi oleh tujuh orang sama ada dari keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud qurban, misalnya ada antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja.

2.Bagi seekor kambing atau biri-biri hanya cukup untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor korban itu.

3.Adalah afdhal dibuat korban bagi seorang dengan seekor unta, kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri dan kemudian kambing.

4.Berkorban dengan 7 ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah ketika disembelih.

5.Berqurban dengan seekor kambing itu pula lebih afdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.

6.Yang utamanya binatang qurban itu adalah berwarna putih, kemudian kuning, diikuti dengan warna putih tetapi tidak bersih putihnya, kemudian binatang yang sebahagian bulunya berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semua bulunya, diikuti dengan binatang qurban yang berwarna merah bulunya.

1 comment:

zainal said...

Sesekali dapat daging korban unta best jugak!!!