Wednesday, January 21, 2026

Amalan Di bulan Syaaban Untuk Menghadapi Ramadan

Rabu, 2 Syaaban 1447H  |  Amalan Di bulan Syaaban Untuk Menghadapi Ramadan

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا

Daripada Abu Salamah bahawa 'Aisyah RA menceritakan kepadanya, katanya: Nabi Muhammad SAW tidak pernah berpuasa dalam mana-mana bulan lebih banyak daripada puasa dibulan Syaaban. Ada kalanya baginda berpuasa hampir keseluruhan bulan Syaaban. Dan baginda bersabda: “Lakukanlah amalan sekadar kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak jemu (dalam memberi pahala) sehingga kamu sendiri yang menjadi jemu (dari mengerjakannya). Solat yang paling disukai oleh Nabi SAW ialah solat yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit.” Dan apabila baginda melakukan sesuatu solat (sunat), baginda akan berterusan melakukannya.". (HR Bukhari No: 1834) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban adalah peluang untuk memperbanyakkan ibadah sunat seperti puasa dan amal soleh lain sebagai persediaan rohani bagi menghadapi bulan Ramadan. Rasulullah SAW melaksanakan puasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban untuk kita contohi.

2.  Hadis ini mengajar pentingnya mengambil pendekatan sederhana dan realistik dalam ibadah, supaya kita tidak cepat merasa penat atau bosan. Amalan yang sedikit tetapi konsisten lebih bernilai di sisi Allah berbanding amalan besar yang dilakukan hanya sekali-sekala.

3.  Amalan kecil tetapi berterusan lebih dicintai Allah berbanding amalan besar tetapi terputus-putus. Solat sunat yang Nabi SAW cintai ialah yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit.

4.  Pelihara solat sunat mengiringi solat fardhu, duha, tahajud, witir dan lain-lain  walaupun hanya dua rakaat.

5.  Rasulullah SAW memanfaatkan bulan Syaaban sebagai masa latihan sebelum memasuki Ramadan. Ia memberi pengajaran kepada kita agar bersedia secara mental, fizikal, dan spiritual untuk menghadapi bulan yang penuh keberkatan.

Hadis ini memberi panduan kepada kita, cara mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan konsisten dan persiapan yang terancang. Ia juga mengajarkan bahawa keberkesanan ibadah terletak pada ketekunan dan istiqamah, bukan sekadar banyaknya amalan. Ambilah peluang untuk memperbaiki diri pada bulan Syaaban ini, sebagai persiapan menghadapi bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Laksanakan puasa sunat, solat sunat serta pelbagai amal soleh di bulan Syaaban ini. Semoga kebiasaan yang kita lakukan pada bulan ini akan berterusan di bulan Ramadan.


No comments: