Ahad, 28 Rejab 1447H | Solat Amalan Pertama Dihisab
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ. فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ، فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ، قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ، ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab seseorang hamba pada hari kiamat adalah daripada amalan solatnya. Jika baik solatnya maka berbahagia dan berjayalah ia. Jika solatnya rosak, maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terdapat kekurangan pada solat fardunya, maka tuhan ‘Azza wa Jalla berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku ini mempunyai amalan solat-solat sunat untuk menampung kekurangan solat fardunya itu. Kemudian seluruh amalan yang lain akan dihitung dengan cara yang demikian. (HR Tirmizi No: 413) Status Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Solat adalah ibadah paling penting dalam kehidupan seorang Muslim. Kejayaan akhirat bermula dengan penjagaan solat.
2. Imam Munawi menjelaskan bahawa jika amalan solatnya sempurna dan diterima oleh Allah, maka Allah akan mempermudahkan proses perhitungan dan pemeriksaan amalan-amalan yang lain.
3. Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi sesiapa yang meninggalkan keseluruhan solat fardu maka segala amalannya tidak diterima hal ini kerana solat itu adalah tiang agama.
4. Meninggalkan solat merupakan satu dosa yang sangat besar dalam Islam kerana solat merupakan salah satu rukun Islam dan menjadi kewajipan bagi setiap individu muslim. Begitu juga solat sebagai tanda keimanan dan ketakwaan seseorang hamba kepada Allah SWT. Dengan meninggalkannya akan mengundang kemurkaan dan azab daripada Allah SWT. Menurut pandangan mazhab al-Syafi’i, individu yang meninggalkan solat kerana malas pada masa yang sama tidak mengingkari kewajipannya maka ia dikategorikan sebagai fasik dan hendaklah bertaubat serta menggantikannya.
5. Solat sunat berfungsi melengkapkan kekurangan solat fardu.
6. Hadis ini menegaskan bahawa solat adalah neraca utama kehidupan seorang Mukmin. Ia menjadi pintu kejayaan atau kegagalan di hadapan Allah SWT. Keindahan syariat Islam terserlah apabila amalan sunat diberikan peranan sebagai pelengkap, menzahirkan sifat rahmat dan keadilan Ilahi.
Sempena turunnya perintah kefarduan solat lima waktu sehari semalam dalam peristiwa Isra Mikraj Rasulullah SAW yang berlaku pada bulan Rejab ini, mari kita renungi kata-kata Imam al-Juwaini: “Solat itu adalah tiang agama maka barangsiapa yang meninggalkan solat, nescaya dia telah meruntuhkan agama.“
No comments:
Post a Comment