Jumaat, 10 Muharam 1448H | Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan
عن أبي هريرة رضي الله عنه قَالَ: قِيْلَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنَّ فُلاَنَةً تَقُوْمُ اللَّيْلَ وَ تَصُوْمُ النَّهَارَ وَ تَفْعَلُ وَ تَصَدَّقُ وَ تُؤْذِي جِيْرَانَهَا بِلِسَانِهَا فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: لاَ خَيْرَ فِيْهَا هِيَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ قَالُوْا: وَ فُلاَنَةً تُصَلِّى اْلمَكْتُوْبَةَ وَ تَصَدَّقُ بِأَثْوَارٍ وَ لاَ تُؤْذِي أَحَدًا فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: هِيَ مِنْ أَهْلِ اْلجَنَّةِ
Daripada Abu Hurairah RA berkata, pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya seorang wanita sentiasa bangun malam untuk beribadah, berpuasa di siang hari, mengerjakan banyak ibadah (berbagai kebaikan) dan bersedekah, tetapi dia sering menyakiti para tetangganya dengan lisannya?”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk dalam kalangan penghuni neraka”. Kemudian para sahabat bertanya lagi, “Sesungguhnya ada seorang wanita (yang lain) hanya mengerjakan solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah menyakiti seorangpun”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”. (HR Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrod: 119). Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Seseorang akan ditempatkan kedalam syurga atau neraka bukan hanya bergantung banyaknya amal fardhu dan sunat atau tidak.
2. Ada orang yang rajin solat sunat malam, rajin puasa sunat, banyak melakukan kebaikan dan bersedekah, tetapi masuk neraka kerana menyakiti jiran tetangganya dengan lisannya (habis segala pahala kebaikannya).
3. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, ancaman ini menunjukkan bahawa menyakiti jiran merupakan dosa besar apabila dilakukan secara berterusan tanpa penyesalan atau taubat.
4. Ada orang yang hanya mengerjakan amalan fardhu seperti solat fardhu dan puasa Ramadan, sedekahnya sedikit namun masuk syurga kerana tidak menyakiti orang lain.
5. Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, hadis ini menunjukkan bahawa menunaikan kewajipan agama serta menjaga hak manusia lebih utama daripada memperbanyakkan ibadah sunat tetapi mengabaikan akhlak.
6. Pada hari ini dosa lisan banyak digantikan dalam bentuk tulisan, gambar juga video yang kadang kala lebih kesat, buruk, penuh dengan adu domba, umpatan, kejian dan fitnah termasuk yang ditularkan di FB, Twitter, Whatsapp, Telegram, Tik Tok dan sebagainya.
7. Ingatlah amaran Allah kepada pengumpat, pemfitnah dan pencela dalam surah al-Humazah
وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ
"Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela"
- Humazah menurut Mujahid, pengumpat termasuk cemohan dengan lisan dan ucapan termasuk body shaming (ejekan menghina fizikal).
- Lumazah menurut Abi Hayan dalam Tafsir al-Bahrul Muhith bererti hinaan dengan isyarat mata, tangan dan sebagainya
Inilah gambaran manusia jahiliah yang memiliki jiwa lemah dan hina akibat tidak memiliki iman yang benar serta kehormatan diri. Ingatlah bahawa pengumpat akan dihumban ke neraka hutamah.
Pelihara ibadat fardhu dan bersungguh-sungguh menjaga lisan dan tulisan, sama ada yang kita tulis atau yang kita forward.
No comments:
Post a Comment