Selasa, 30 Zulhijjah 1447H | Hijrah Menjadi Muslim Sejahtera
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Daripada Abdullah bin Amru bahawa Nabi SAW bersabda: "Seorang muslim yang sebenar ialah orang yang kaum Muslimin selamat daripada gangguan lidah dan tangannya. Dan seorang Muhajir (penghijrah) yang sebenar ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah " (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain melalui penjagaan lidahnya dengan bercakap benar, menjauhi umpatan, fitnah, menyebarkan berita palsu, adu domba juga mengelakkan kata-kata yang menyakitkan hati orang lain.
2. Menurut Ibn Hajar, lidah disebut terlebih dahulu kerana kebanyakan dosa yang merosakkan hubungan sesama manusia bermula daripada percakapan. Pada zaman moden, termasuk dalam makna "lidah" ialah tulisan di media sosial, komen di internet, mesej dan hantaran digital.
3. Muslim yang sempurna juga merupakan seorang yang sejahtera kepada orang lain melalui tangan atau perbuatannya seperti mengambil hak orang lain, menipu, menzalimi, merosakkan harta orang, menyalahguna kuasa, penindasan hak, mencuri dan sebagainya.
4. Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.
5. Muhajir atau seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan dosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala, daripada kelalaian kepada ketaatan.
6. Hijrah dengan meninggalkan segala bentuk larangan Allah, meninggalkan sifat mazmumah seperti hasad, takabur, riak adalah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.
7. Dalam era media sosial, ramai orang tidak memukul dengan tangan, tetapi menyakiti manusia melalui hantaran di media sosial, komen yang menghina, penyebaran berita palsu juga fitnah dan tohmahan. Oleh itu, seorang Muslim perlu bertanya kepada dirinya: “Adakah orang lain merasa selamat daripada lidah, tulisan dan tindakanku?”
8. Hadis ini mengajar kita bahawa seorang Muslim yang sebenar ialah yang menjaga akhlak terhadap sesama manusia dan berusaha menjauhi segala bentuk dosa. Ia menekankan pentingnya menjadi insan yang membawa keamanan dan kebaikan dalam masyarakat serta berhijrah sikap dan amal dengan meninggalkan larangan Allah.
9. Marilah kita melakukan pengorbanan untuk perubahan yang lebih cemerlang. Ayuhlah berhijrah dari maksiat kepada ketaatan, dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah.
No comments:
Post a Comment