Sunday, June 21, 2026

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

Ahad, 5 Muharram 1448H  |  Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, Baginda bersabda: “Tidak sempurna Iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya (mendapat kebaikkan) seperti dia cinta untuk dirinya sendiri (mendapatkannya)”. (HR Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Kesempurnaan iman berkait rapat dengan akhlak seseorang terhadap orang lain.
 
2.    Mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri adalah pra syarat kesempurnaan iman.
 
3.    Seorang Muslim menginginkan hidayah, rezeki, kesihatan, kejayaan, nikmat serta kebahagiaan untuk dirinya sendiri. Justeru Muslim yang sempurna imannya hendaklah mengharapkan kebaikan yang sama kepada saudara Muslimnya yang lain.
 
4.    Hadis ini secara tidak langsung menghapuskan penyakit hasad dengki, iri hati, kebencian juga permusuhan. Orang yang benar-benar beriman tidak akan berasa sempit hati apabila melihat saudaranya memperoleh nikmat daripada Allah.
 
5.    Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, antara tanda kesempurnaan iman ialah seseorang bergembira melihat saudaranya memperoleh kebaikan sebagaimana dia bergembira apabila dirinya sendiri memperoleh kebaikan.
 
6.    Semasa peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Golongan Ansar menunjukkan semangat ukhuwah sehingga sanggup berkongsi rumah, harta, kebun, perniagaan juga sumber pendapatan demi membantu saudara Muhajirin mereka yang kehilangan segalanya di Mekah.
 
7.    Langkah strategik Rasulullah SAW mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan Ansar dan Muhajirin kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang digeruni dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.
 
8.    Hijrah mengajar bahawa asas pembinaan ummah yang berjaya ialah kasih sayang, ukhuwwah dan sikap mengutamakan kepentingan saudara seagama. Inilah antara pengajaran terbesar yang wajar dihayati sempena kedatangan Tahun Baru Hijrah.

9.    Maal hijrah sewajarnya menyemarakkan ikatan ukhuwah dan berkasih sayang sesama Muslim. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan ukhuwah.


No comments: