Selasa, 23 Zulhijjah 1447H | Miliki Sifat Zuhud
عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ الَى النَّبِيِّ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَ فَقَالَ: يَا رَسولَ الله دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ اَحَبَنِيَ اللهُ وَ اَحَبَنِيَ النَّاسُ فَقَالَ: ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ وَ ازْهَدْ فِي مَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ ابْنُ مَاجَه وَ غَيْرُهُ بِأَسَانِيدَ حَسَنَةٍ
Daripada Abi al-Abbas Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi r.a berkata, bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya suatu amalan yang jika dikerjakan nescaya saya dicintai Allah dan dicintai umat manusia.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Bersikap zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah akan menyintaimu, dan bersikap zuhudlah engkau terhadap apa yang dimiliki oleh manusia, nescaya mereka akan mencintaimu.” (HR Ibn Majah no. 4102) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Suatu sifat penting yang wajib ada pada diri setiap mukmin ialah sifat zuhud.
2. Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian di kalangan ulama tasauf antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan diri dari kemewahan dunia serta mengosongkan hati dari mengingati perkara dunia.
3. Zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. Bukan bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.
4. Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn ‘Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda-benda selainNya.
5. Menurut Imam Ahmad ibn Hanbal, zuhud ialah: Tidak menjadikan dunia sebagai matlamat utama hati, walaupun dunia berada di tangan.
6. Hadis ini menghimpunkan satu formula kehidupan yang sangat ringkas tetapi mendalam. Rasulullah mengajar bahawa sesiapa yang ingin memperoleh cinta Allah hendaklah bersikap zuhud terhadap dunia, dan sesiapa yang ingin memperoleh cinta manusia hendaklah tidak tamak terhadap apa yang dimiliki oleh mereka.
7. Zuhud yang sebenar bukan meninggalkan dunia, tetapi menjadikan dunia berada di tangan dan bukan di dalam hati. Apabila hati dipenuhi kecintaan kepada Allah dan keyakinan kepada rezeki-Nya, seseorang akan memperoleh ketenangan, kemuliaan dan kasih sayang daripada Allah serta manusia.
No comments:
Post a Comment