عَنْ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ
Daripada Abdullah bin 'Amru RA beliau berkata: "Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu meminta izin untuk menyertai jihad. Baginda bertanya: "Adakah kedua orang tuamu masih hidup?" Lelaki itu menjawab: "ya". Lalu Baginda berkata: ‘Maka berjihadlah dengan berbakti kepada mereka berdua ". (HR Bukhari No: 2782) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Berkhidmat dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah dituntut seperti membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta mencurahkan kasih sayang.
2. Berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah sebahagian daripada jihad. Jihad dalam bentuk khidmat dan pengorbanan untuk kedua ibu bapa. Menurut Ibn Ḥajar berjihad dalam usaha menggembirakan mereka, memenuhi keperluan mereka, dan menanggung kesusahan dalam menjaga mereka sebagaimana seorang mujahid menanggung kesukaran di medan perang.
3. Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad dan diminta berjihad dengan berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup. Tidak semua jihad di medan perang wajib fardhu ain kepada semua orang di setiap masa.
4. Islam menekankan keseimbangan antara tanggungjawab agama dan tanggungjawab keluarga. Semangat jihad di medan perang mempertahankan agama serta tidak mengabaikan hak dan kebajikan kepada ibu bapa.
5. Seorang Muslim perlu memahami keutamaan antara tuntutan agama dan tidak mengabaikan kewajipan yang lebih utama demi melaksanakan amalan lain. Seorang yang mempunyai ibu bapa yang uzur dan memerlukan penjagaan, berkhidmat kepada mereka mungkin menjadi kewajipan yang lebih mendesak daripada menyertai suatu amalan pilihan.
6. Berkhidmat kepada ibu bapa bukan sekadar tugas rutin, tetapi suatu bentuk perjuangan melawan kepentingan diri demi melaksanakan amanah Allah.
7. Berbakti juga dituntut selepas ibubapa meninggal dunia. Antaranya Menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan juga hutang kepada manusia. Hadis Nabi SAWdaripada Ibn Abbas RA,
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk tunaikan.” (HR Bukhari No: 1953)
8. Menjaga dan berkhidmat kepada ibu bapa boleh menjadi suatu medan jihad yang besar ganjarannya apabila dilakukan dengan penuh kesungguhan, kesabaran dan keikhlasan.
1 comment:
Jazakallahu khairan katsiran.
Post a Comment