Monday, December 31, 2012

Rasulullah

Isnin, 17 Safar 1434H : Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Rasulullah diutus setelah berusia empat puluh tahun. Beliau tetap di Mekah tiga belas tahun, diturunkan wahyu kepada beliau. Kemudian beliau diperintahkan pindah. Beliau hijrah ke Madinah selama sepuluh tahun. Dan beliau wafat dalam usia enam puluh tiga tahun.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1556.

Friday, December 21, 2012

Amanah


Jumaat, 7 safar 1434H: Dari Hudzaifah r.a., katanya: "Kami menerima dua buah hadis dari Rasulullah saw., yang satu telah ku lihat kenyataannya, sedangkan yang satu lagi masih ku tunggu-tunggu. Rasulullah saw. bersabda kepada kami, "Sesungguhnya amanah itu bertempat di hati sanubari seseorang. Kemudian Al Quran turun, lalu mereka belajar dari Al Quran dan Sunnah. Kemudian Rasulullah saw. bersabda pula tentang hilangnya amanah.

Sabda beliau, "Seorang sedang tidur, lalu dicabut amanah dari hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti noktah. Kemudian ia tidur lagi, lalu dicabut pula amanah dari hatinya maka kini tinggallah bekasnya seperti lepuh yang membengkak di tangan atau di kaki yang terkena bara panas, dan lepuh itu mengandung air sedikit. Ketika itu, amanah hampir saja hilang sehingga orang mencarinya ke mana-mana. Ketika dikatakan orang: Di sana ada amanah! Mereka sama berkata: alangkah sabarnya dia; atau alangkah baiknya dia; dan atau alangkah cerdiknya dia. Tetapi yang sebenarnya batin orang itu kosong dari iman.

Kata Hudzaifah, "Dahulu, ketika amanah masih dipegang orang erat-erat, aku bisa berdagang dengan siapa pun. Jika dengan orang muslim, ia berlaku jujur kerana agamanya, dan jika dengan orang Nasrani atau dengan orang Yahudi, kejujuran itu pun terdapat pada majikannya. Tetapi sekarang, aku tak hendak berdagang lagi melainkan dengan orang-orang tertentu, seperti si Anu dan si Anu yang masih memegang amanah erat-erat.
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0116.

 

Thursday, December 20, 2012

Syurga Firdaus

Khamis, 6 Safar 1434H: Dari Abu Hurairah r.a.. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya, mengerjakan solat, dan puasa dalam bulan Ramadan, adalah kewajiban Tuhan memasukkannya ke dalam syurga, baikpun ia berjihad dalam agama Allah atau tetap tinggal di negeri kelahirannya".
 
Orang banyak bertanya: "Apakah tidak baik tuan gembirakan manusia dengan yang demikian itu'!"
 
Beliau menjawab: "Sesungguhnya dalam syurga ada seratus darjat (tingkatan). Tuhan menyediakannya untuk orang-orang yang berjihad dalam agamaNya, jarak antara satu darjat dengan yang di atasnya bagai antara langit dan bumi. Jikalau kamu bermohon pada Tuhan, mohonkanlah beroleh Firdaus.Sesungguhnya Firdaus itulah yang paling baik dan paling tinggi darjatnya yang pernah diperlihatkan kepada saya. Di atasnya 'Arsy Tuhan, dan di situ mengalir sungai-sungai syurga".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1270.

Wednesday, December 19, 2012

Niat Semata-Mata Kerana Allah

Rabu, 5 Safar 1434H: Mahmud bin Rabi' Al Anshari r.a. menceritakan, "Bahawa 'Itban bin Malik adalah salah seorang sahabat Rasulullah saw. dari golongan Ansar yang ikut berperang dalam peperangan Badar. Dia datang kepada Rasulullah saw. dan berkata, "Ya, Rasulullah! Penglihatanku sudah lemah. Sedangkan aku solat menjadi imam bagi kaum ku. Apabila hari hujan, maka air mengalir di lembah yang terbentang antara rumahku dan mereka, sehingga aku tak dapat datang ke mesjid untuk solat bersama-sama dengan mereka. Aku ingin, ya, Rasulullah, supaya anda datang ke rumahku, kemudian anda solat di sana dan jadikanlah rumahku itu jadi mushalla.
 
Jawab Rasulullah, "Insya Allah. aku akan datang."
 
Kata 'Itban, "Pada suatu pagi Rasulullah datang bersama-sama dengan Abu Bakar. Ketika itu hari telah agak siang. Rasulullah minta izin hendak masuk ke rumahku, dan aku mempersilakan beliau masuk. Ketika beliau telah berada di rumahku beliau tidak duduk.
 
Beliau bertanya, "Di sebelah mana engkau suka aku solat di rumah mu ini?"
 
Kata 'Itban, "Aku hanya menunjuk ke suatu sudut dalam rumahku."
 
Maka berdirilah Rasulullah saw. di tempat itu, lalu beliau takbir. Kami pun berdiri dan membuat saf di belakang beliau. Beliau solat dua rakaat kemudian memberi salam. Setelah itu kami minta beliau tinggal sebentar untuk menikmati makanan yang telah kami sediakan untuk beliau.
 
Maka datanglah para tetangga berkumpul ke rumah itu. Di antara mereka ada yang bertanya, "Mana Malik ibnu Dukhaisyin atau Ibnu Dukhsyun?"
 
Kata yang lain, "Si munafik itu? Dia tidak mencintai Allah dan Rasul-Nya."
 
Sabda Rasulullah, "Janganlah berkata begitu! Bukankah anda tahu, bahawa dia telah mengucapkan La illaha Illallah, kerana menginginkan keredhaan Allah?"
 
Jawab orang itu, "Allah dan RasulNya lah yang lebih tahu." Dan katanya pula, "Kami telah menyaksikan bagaimana pandangan dan kejujuran Nabi menghadapi orang - orang munafik. "
 
Bersabda Rasulullah saw. : "Sesungguhnya Allah mengharamkan masuk neraka orang-orang yang mengucapkan "La Illaahaillallah" dengan niat semata-mata kerana ingin keredaan Allah."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0250.

Tuesday, December 18, 2012

Allah Memudahkan....

Selasa, 4 Safar 1434H: Dari Abu Hurairah ra. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang menolong menghilangkan kesusahan orang mukmin, Allah Taala menghilangkan pula kesusahannya di hari kiamat kelak.
 
Siapa yang membantu memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya pula di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hambanya selama hamba itu mahu menolong saudaranya.
 
Siapa berusaha mencari ilmu, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga.
 
Bila suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid)lalu mereka membaca Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, diturunkan kepada mereka ketenangan dan diselubungi mereka dengan rahmat. Mereka dikerumuni oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut dengan bangga kepada orang-orang yang di dekat-Nya.
 
Sedangkan orang yang lalai beramal, ia tidak akan dapat mengejar ketinggalannya dengan gelar kebangsawanannya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2322.

Monday, December 17, 2012

Para Wanita, Bersedekahlah!

Isnin, 3 Safar 1434H: Dari Jabir bin' Abdullah r.a., katanya: "Aku hadir solat 'Id bersama-sama Rasulullah saw. pada hari raya. Mula-mula beliau solat sebelum berkhutbah tanpa azan dan iqamah. Beliau berkhutbah sambil berdiri dan berpegangan kepada Bilal. Beliau memerintahkan supaya taqwa kepada Allah dan mendorong supaya mentaati-Nya. Selanjutnya beliau memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka. Kemudian beliau berlalu hingga sampai ke tempat kaum wanita. Beliau memberi pengajaran kepada para wanita, memperingatkan dan menyuruh mereka supaya gemar bersedekah.
 
Sabda beliau, "Bersedekahlah anda semua, kerana sesungguhnya kamulah saya lihat yang terbanyak menjadi kayu neraka." Mendengar itu, maka berdiri seorang perempuan di antara para wanita yang banyak dengan wajah merah kehitam-hitaman.
 
Dia bertanya; "Kenapa begitu, ya, Rasulullah?"
 
Jawab Rasulullah, "Kerana kamu banyak mengeluh dan suka membangkang kepada suami."
 
Kerana itu mereka sedekahkan perhiasan mereka, seperti anting-anting dan cincin, yang mereka lemparkan ke kain yang dibentangkan Bilal."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0835.

Friday, December 14, 2012

Imam (Pemimpin, Pembesar, Penguasa)

Jumaat, 30 Muharram 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Sesungguhnya Imam (pemimpin, pembesar, atau penguasa) itu adalah bagaikan perisai, di mana orang berperang memakai perisai dan menjaga diri dengannya.

Jika Imam memerintahkan supaya taqwa kepada Allah 'Azza wa Jalla dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya, dan jika dia memerintahkan selain itu, maka dia mendapat seksa."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1809.

Thursday, December 13, 2012

Umat Akhir Zaman

Khamis, 29 Muharram 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., Ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kita umat yang terakhir (di dunia) paling di muka (di akhirat). Siapa yang mematuhi perintah saya, bererti ia telah patuh kepada Tuhan. Sebaliknya, siapa yang mendurhakai saya, sesungguhnya ia mendurhakai Tuhan.
 
Siapa yang mematuhi Amir (pembesar negeri), sesungguhnya ia telah mematuhi saya dan siapa yang mendurhakai Amir, sesungguhnya ia telah mendurhakai saya.
 
Dan sesungguhnya Imam itu dinding (pembela) terhadap rakyat yang dibelakangnya. Jika rakyat itu diperangi musuh, Imam mempertahankannya.
 
Jikalau ia memerintahkan taqwa kepada Allah dan ia bersikap adil, maka kerana hal yang demikian itu, ia memperoleh pahala. Sebaliknya kalau ia berkata (berbuat) bukan demikian, maka ia berdosa (dihukum.)".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1339.

Friday, December 7, 2012

Rahmat Allah Sentiasa Terbuka

Jumaat, 23 Muharram 1434H: Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw. katanya:
 
"Allah 'Azza wa Jalla membentangkan tanganNya malam hari untuk menerima taubat orang-orang yang bersalah siang hari,
 
Dan membentangkan tanganNya siang hari untuk menerima taubat orang yang bersalah malam hari, sehingga matahari terbit di Barat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2368.

Thursday, December 6, 2012

Tujuh Perkara

Khamis, 22 Muharram 1434H: Dari Al Bara' bin' Ab r.a., katanya, "Rasulullah saw. memerintahkan kepada kami tujuh perkara yang melarang kami dari tujuh perkara. Beliau memerintahkan:
(1) Mengunjungi orang sakit.
(2) Menziarah jenazah.
(3) Mendoakan orang bersin.
(4) Menepati sumpah.
(5) Menolong orang yang teraniaya.
(6) Memenuhi undangan.
(7) Menyebarluaskan salam.

Beliau melarang :
(1) Memakai cincin emas,
(2) Minum dari bejana perak,
(3) Memakai seperai sutera,
(4) Memakai sutera campur katun, (
5) Memakai sutera biasa.
(6) Memakai sutera tebal,
(7) Memakai sutera kembang."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1974.

Wednesday, December 5, 2012

Madu

Rabu, 21 Muharram 1434H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Saudaraku sakit perut sehingga dia buang-buang air."
 
Sabda Rasulullah saw., "Minumkan madu kepadanya." Lalu diminumkan madu kepadanya.
 
Kemudian dia datang pula kepada Nabi saw. lalu katanya, "Telah ku minumkan madu kepadanya, tetapi sakitnya bertambah."
 
Nabi saw. menyuruhnya pula meminumkan madu sampai berulang tiga kali.
 
Dia datang untuk keempat kalinya, Nabi saw. tetap menyuruhnya supaya meminumkan madu. Kata orang itu, "Aku telah meminumkannya, ya Rasulullah, namun sakitnya bertambah juga."
 
Sabda Rasulullah saw., "Allah Maha Besar! Perut saudara mu itulah yang dusta."
 
Lalu diminumkannya pula madu, maka sembuhlah saudaranya.
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2073.

Tuesday, December 4, 2012

Solatlah Dengan Tenang

Selasa, 20 Muharram 1434H: Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi saw. masuk ke dalam masjid, kemudian masuk pula seorang laki-laki lalu dia solat. Selesai solat, orang itu datang dan memberi salam kepada Nabi saw. Nabi menolak orang itu dan bersabda,

"Ulangilah solat anda kembali kerana anda belum solat!"

Maka diulanginya solatnya kembali, kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi. Sabda Nabi,

"Ulangilah solat anda kembali, kerana anda belum solat!"

Sampai tiga kali Nabi saw. menyuruh orang itu demikian. Jawab orang itu,

"Demi Allah, yang telah mengutus anda dengan yang hak. Aku belum tahu cara solat yang lebih baik dari itu. kerana itu ajarkanlah kepada ku." Jawab Nabi saw.,

 "Apabila engkau berdiri hendak solat, ucapkanlah Takbir. Kemudian baca ayat-ayat Quran yang mudah bagi mu. Kemudian rukuk sehingga engkau tenang dalam rukuk itu, kemudian bangkit, berdiri lurus kembali. Sesudah itu sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Sesudah itu bangkit, duduk, sehingga engkau tenang tenteram dalam dudukmu itu. Kemudian sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Lakukanlah seperti itu setiap kamu solat."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0435.

Monday, December 3, 2012

Pemurah Dan Kikir

Isnin, 19 Muharram 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Perumpamaan orang yang kikir dengan orang yang pemurah, seperti dua orang memakai baju besi yang menutupi susu sampai ke leher.
 
Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badan sampai ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya).
 
Sedangkan orang yang kikir, kerana ia tidak hendak menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap pertemuan bajunya menyempit di tempatnya. Ia berusaha hendak melonggarkan, tetapi tidak boleh longgar."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0741.

Friday, November 30, 2012

Amalan Berbekam

Jumaat, 16 Muharram 1434H: Dari Humaid r.a., katanya: "Anas bin Malik ditanya orang tentang tukang bekam.

Jawab Anas, "Rasulullah saw. pernah berbekam. Yang membekamnya ialah Abu Thaibah. Setelah selesai berbekam, Rasulullah saw. memerintahkan supaya memberi Abu Thaibah dua gantang makanan, dan beliau menganjurkan kepada majikan Abu Thaibah supaya meringankan tugas yang dibebankan kepadanya."

Kemudian Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya berbekam itu termasuk cara pengubatan yang utama, atau termasuk ubat yang baik."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1545

Thursday, November 29, 2012

Cinta Bertemu Allah, Allah Cinta Menemuinya

Khamis, 15 Muharram 1434H: Dari 'Ubadah bin as-Shamit, dari Nabi saw., beliau bersabda: "Siapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga cinta untuk menemuinya."

Siapa yang benci untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci untuk bertemu dengannya."

Lalu 'Aisyah atau salah seorang isteri Nabi yang lain berkata: "Kami memang benci untuk mati."

Nabi berkata: "Bukan begitu! Tetapi seorang yang beriman, kalau kematian telah datang kepadanya, maka ia diberi berita gembira dengan keredhaan dan kemurahan Tuhan. Maka tidak ada yang lebih disenanginya selain dari apa yang di depannya (akan diperolehnya). Kerana itu, ia cinta untuk menemui Allah dan Allah cinta pula untuk bertemu dengannya.

Sedangkan orang yang kafir kalau telah didatangi kematian, maka ia diberi berita tentang seksaan dan hukuman Allah. Kerana itu tidak ada yang lebih dibencinya dari apa yang di depannya (akan ditanggungkannya). Ia benci bertemu dengan Allah, dan Allah benci pula bertemu dengannya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1748.

Wednesday, November 28, 2012

Penuhi Saf dan Rapatkan Barisan

Rabu, 14 Muharram 1434H: Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mendatangi kami lalu beliau bersabda: "Apa sebabnya anda mengangkat kedua tangan anda (dalam solat), sehingga ku lihat bagaikan ekor kuda liar? Bersikap tenanglah dalam solat!"

Kemudian beliau mendatangi kami pula, dan melihat kami berkelompok-kelompok. Lalu beliau bersabda: "Mengapa ku lihat anda berpisah-pisah?"

Kemudian beliau mendatangi kami pula lalu bersabda: "Mengapa anda tidak membuat saf (berbaris) seperti saf malaikat di hadapan Tuhannya?"

Tanya kami, "Bagaimana caranya saf malaikat di hadapan Tuhannya?"

Jawab beliau, "Mereka penuhi lebih dahulu saf pertama, dan mereka rapatkan barisan mereka."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0383

Tuesday, November 27, 2012

Kaya Jiwa

Selasa, 13 Muharram 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Yang disebut 'kaya', bukanlah kaya harta-benda duniawi, tetapi yang dikatakan 'kaya' ialah kaya jiwa."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1011.

Monday, November 26, 2012

Sekiranya Manusia Tahu!

Isnin, 12 Muharram 1434H: Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Ketika seseorang berjalan di suatu jalan; kemudian di menjumpainya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.
 
Sesudah itu beliau bersabda. pula: "Yang disebut mati syahid itu ada lima macam:
1. Orang mati kena tikam.
 2. Orang mati kerana sakit perut (kolera?)
3. Orang mati tenggelam.
4. Orang mati ditimpa tanah longsor (runtuh).
5. Orang yang mati fi sabilillah (mati di medan perang kerana berjuang menegakkan Agama Allah).
 
Kalaulah manusia tahu keutamaan azan dan saf pertama solat berjemaah, tetapi mereka tidak mungkin mendapatkannya kecuali hanya dengan jalan diundi, nescaya mereka akan mahu diundi untuk mendapatkannya.
 
Kalaulah mereka tahu keutamaan solat Zohor (dilakukan tepat pada awal waktu), pastilah mereka akan berlumba-lumba melaksanakannya.
 
Dan kalaulah mereka mengetahui keutamaan solat Isyak dan solat Subuh (dengan berjemaah), pastilah mereka akan memerlukan datang (ke masjid), sekalipun mereka akan merangkak."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0372.

Friday, November 23, 2012

Puasa Sunat Hari Asyura

Jumaat, 9 Muharram 1434H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. belum lama tiba di Madinah, didapatinya orang-orang Yahudi puasa pada hari 'Asyura. Maka bertanya beliau kepada mereka, "Hari apakah ini, sehingga anda semua mempuasakannya?"
 
Jawab mereka, "Hari ini hari besar, di mana Allah telah memenangkan Musa serta kaumnya, dan menenggelamkan Firaun serta kaumnya. Kerana itu Musa puasa setiap hari itu untuk menyatakan syukur, lalu kami mempuasakannya pula."
 
Maka bersabda Rasulullah saw., "Kami lebih berhak dan lebih patut memuliakan Musa daripada kamu semua." Lalu Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura dan memerintahkan kaum muslimin puasa pada hari itu. (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1099.)

Dari 'Abdullah bin 'Abbas r.a., dia menceritakan bahawa ketika Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan memerintahkan kaum Muslimin supaya puasa, para sahabat berkata, "Hari ini adalah hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani."
Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Apabila masih menyaksikan tahun yang akan datang, insya Allah kita puasa pada tanggal sembilan Muharram."

Kata 'Abdullah selanjutnya, "Ternyata tahun depan itu, beliau sudah wafat." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1103.)

Thursday, November 22, 2012

Puasa Asyura


Khamis, 8 Muharam 1434H:Dari 'Aisyah r.a.. katanya: "Biasanya orang-orang Quraisy pada masa jahiliyah, puasa dari hari 'Asyura. Dan Rasulullah saw. pun mempuasakannya. Ketika beliau tiba di Madinah, dia mempuasakannya dan suruhnya pula orang-orang puasa pada hari itu. Tatkala puasa Ramadhan telah diwajibkan, beliau meninggalkan puasa Asyura, dan siapa yang ingin mengerjakannya dibolehkan dan siapa yang ingin meninggalkannya boleh pula."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0988.