Khamis, 21 Muharam 1431H : Tiada Tuhan Melainkan ALLAH, Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan kita sebagai seorang muslim dan disempurnakan dengan kemanisan iman. Jika tidak kerana rahmat Allah mungkin kita bertuhankan selain daripadaNYA dan beribadat di kuil, tokong atau pun gereja. Bersyukur dan bertakwalah kepada Allah atas anugerahnya dan peganglah Islam keteguh-teguhnya supaya anak cucucicit kita akan terus berada didalam Islam dan mati dalam Islam.
Firman Allah dalam surah al-Israa' ayat 9 yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Qur'an menjadi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam)"
Perjalanan hidup di dunia ini tidak selamanya tenang dan damai. Ia bagaikan seorang yang berada di tengah lautan, sekali sekala dipukul gelombang dan dilambung ombak. Demikian juga ketentuan Allah kepada alam ini. Hidup kita tidak akan terlepas daripada keadaan yang sentiasa bertentangan, iaitu susah senang, sihat sakit, untung rugi, berjaya gagal dan seterusnya. Secara fitrahnya apabila menghadapi keadaan positif, ia tidak menimbulkan masalah. Tetapi jika berlaku sebaliknya seperti sakit, susah, gagal dan kerugian, di situlah kadang-kadang akan menjejaskan ketenangan jiwa.
Firman Allah yang bermaksud : “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun?.?(Surah al-Mulk 67 : 2)
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah?."
Sebagai seorang mukmin kita dibekalkan kepercayaan yang boleh melahirkan kekuatan dalaman sehingga ia tidak akan menghakis ketenangan hidup dalam keadaan apapun. Kepercayaan itu ialah reda terhadap qada dan qadar Allah sebagai salah satu rukun iman yang keenam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mendengar azan lalu dia berkata: Aku reda dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, Nabi Muhammad sebagai Rasul-Nya, diampunkan Allah dosa-dosanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Yang dimaksudkan reda dengan Allah ialah reda kepada pentadbiran Allah terhadap hamba-Nya. Ia termasuk penyerahan diri sepenuhnya kepada-Nya, mengharapkan pertolongan semata-mata kepada-Nya, reda dan rela sepenuhnya terhadap apa yang dilakukan Allah kepadanya.
Firman Allah : “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.” (Al-Baqarah: 207)
Reda mencakupi dua bentuk iaitu reda dengan apa yang diperintahkan Allah kepada kita dan kedua, reda dengan apa yang ditakdirkan Allah kepada kita. Berasaskan kepercayaan bahawa apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku, dan apa yang tidak dikehendaki Allah tidak akan berlaku.
Firman Allah : "Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah, ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu." (Ath-thalaq: 12)
Maka, reda kepada Allah akan membuahkan kegembiraan dan ketenangan hidup kerana hidup ini tidak terlepas daripada ketentuan Allah. Namun, ia tidak menafikan doa kita kepada Allah kerana doa itu sendiri adalah ibadah. Allah memuji hamba-Nya dalam firman yang bermaksud: “Dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas.” (Surah al-Anbiya’, ayat 90)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meminta kepada Allah, Allah memurkainya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah) Oleh itu, orang yang reda terhadap Allah ialah yang tidak menentang takdir Allah. Reda dengan apa yang tidak disenangi oleh nafsu kita boleh berlaku dengan tiga faktor iaitu :
Pertama seorang mukmin yakin pentadbiran Allah lebih baik daripada pentadbirannya. Allah SWT menegaskan dalam firmanNya : Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali (kepada kebenaran).?(Surah al-A?raf 7:168)
Kedua, reda terhadap kesakitan yang dialami dengan harapan memperoleh pahala .
Ketiga, reda dengan Allah bukan kerana mengharapkan pahala, bahkan kerana ia dilakukan oleh kekasihnya (Allah).
Dalam sebuah Hadith, dijelaskan : “Orang pertama yang dipanggil untuk masuk ke syurga ialah orang yang selalu memuji Allah, sama ada dalam kesenangan mahupun dalam penderitaan.?”
Rabeah al-Adawiah, seorang sufi wanita terkenal pernah ditanya: “Bilakah seseorang itu dinamakan reda? Jawabnya: Apabila dia gembira ketika ditimpa musibah, sebagai mana dia gembira ketika menerima nikmat.” Ulama menjelaskan cara untuk mendapat keredaan terhadap qada dan qadar Allah adalah dengan sentiasa mengingati mati, kerana dengan mengingati mati akan menyebabkan mereka berasa kecil musibah yang dialami. Apabila kita sentiasa demikian, maka akan seronok dengan keredaan itu.
Sebagai seorang yang beriman kepada Allah, cukuplah kepercayaan kita kepada qada dan qadar ini menjadi kekuatan dalaman utuh dalam menghadapi seribu satu kemungkinan yang akan berlaku kepada kita dalam menjalani hidup ini.
1 comment:
Jika berdasarkan amalan yg sedikit & tak sempurna ini kita rasa dah layak nak masuk syurga Allah. Ia begitu jauh sekali untuk dicapai jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang begitu byk sekali. Jika kita rasa macam tak buat dosa & layak utk tidak dihumban ke neraka. Itupun tidak tepat kerana bolehkah kita menjaga semua pandaindera termasuk hati utk tidak berbuat maksiat pd Allah. Sesungguhnya kita kerdil, jahil, lemah,lalai & bermuka2. Apa yg diharapkan hanyalah "Keredhaan Allah". Ya Allah, moga hidup & matiku dlm KeredhaanMU. W'aklam.
Post a Comment