Selasa, 27 Jamadilawal 1431H :- Doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Doa juga merupakan tanda pergantungan, pengharapan dan permohonan seorang hamba kepada Allah s.w.t. Kita hendaklah banyak dan selalu berdoa kepada Allah dengan penuh harapan dan kesabaran. Insyallah, akan diperkenankan oleh Allah SWT samada segera, ditangguhkan atau diperkenankan diakhirat kelak.
Hakikat Doa
"Firman Allah Dalam Surah Al-Baqarah Ayat Ke-187... maksudnya""Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran."
Mengapa Berdoa.
Berdoa adalah suatu perkara yang mulia di sisi Allah. "Daripada Abi Hurairah, sabda baginda... maksudnya: "Tidak ada sesuatu yang lebih mulia bagi Allah melainkan berdoa"
Berdoa kepada Allah tidak akan mengurangkan pemilikan Allah walau sedikit pun. Malah ia merupakan tanda keagungan Allah dan kehebatan-Nya.
"Abu Zar meriwayatkan daripada Rasulullah, sabdanya bahawa Allah s.w.t. berfirman... maksudnya: "Wahai sekalian hamba-hamba-Ku, sekiranya kamu semua, sama ada umat terdahulu atau pun terkemudian, manusia mahu pun jin, berdiri di satu kawasan lapang, kemudian memohon kepada-Ku, lalu aku berikan setiap orang permintaannya, ia tidak akan mengurangkan apa yang ada di sisi-Ku, melainkan sepertimana kurangnya sebatang jarum yang dimasukkan ke dalam lautan"
No comments:
Post a Comment