Khamis, 14 Syawal 1431H; Syawal merupakan bulan bermulanya musim haji sehinggalah hari kemuncaknya pada hari wukuf 9 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah setiap tahun. Pada bulan Syawal dan Zulkaedah & bumi Mekah dan Madinah sudah mula dikunjungi oleh umat Islam seluruh dunia untuk menunaikan rukun Islam yang ke lima iaitu ibadat haji.
Ibadat Haji difardhukan sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.Dalil dari al-Quran: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.Allah s.w.t telah memfardhukan ibadat Haji pada tahun kesembilan hijrah dan Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah mengerjakan ibadat Haji kecuali Haji Wida'.
Dalil dari hadis:
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Islam dibina atas lima rukun." Baginda s.a.w. menyebut di antaranya ialah ibadat Haji.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidak ada ganjaran bagi Ibadat Haji yang mabrur kecuali Syurga."
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan ibadat Haji dan tidak sekali-kali menyetubuhi isterinya juga tidak melakukan maksiat nescaya dia kembali suci bersih sebagaimana hari dia dilahirkan."
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Wahai umatku semua, sesungguhnya Allah s.w.t. memfardhukan ibadat haji kepada kamu, oleh itu kamu hendaklah mengerjakan ibadat haji." Lalu seorang lelaki bertanya Baginda s.a.w.: "Adakah wajib dikerjakan pada setiap tahun, wahai Rasullullah?" Rasulullah s.a.w. hanya diam sehinggalah lelaki tersebut bertanya kali ketiga lantas Baginda s.a.w. menjawab: "Jika aku katakan ya, nescaya kamu wajib mengerjakan pada setiap tahun, oleh itu kerjakanlah ibadat haji ketika kamu berkemampuan."
Semua imam-imam bersependapat bahawa ibadat Haji adalah fardhu, malah ia adalah rukun Islam kelima dan ia juga fardhu yang perlu dikerjakan secepat mungkin.
No comments:
Post a Comment