Thursday, March 3, 2011

Mentaati Ibu Bapa

Khamis, 28 Rabiulawal 1432H : Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”( H.Riwayat al-Hakim )

DaripadaAbu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:“Janganlah kamu membenci bapa-bapa kalian. Sesiapa yang membenci bapanya bererti ia kafir.” (H. Riwayat Muslim )

Keterangan :

1. Seorang ibu mahupun bapa tidak akan menjadi ibu dan bapa tanpa anak-anak dan begitulah sebaliknya. Oleh itu ibu bapa berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak mereka sama sebagaimana anak-anak mereka berhak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa.

2. Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar. Anak yang mengasari ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka yang diharamkan syurga ke atasnya oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.

3. Untuk mendapatkan anak-anak yang baik, ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menunjukkan akhlak yang baik dengan anak-anak. Apabila anak-anak yang soleh ini dapat dibentuk, tiadalah permusuhan dan perbalahan dalam keluarga. Masing-masing akan saling sayang menyayangi antara satu dengan lain. Daripada Ibnu Abbas r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w:”Tanggungjawab bapa kepada anaknya ialah memberikan nama yang baik dan memperelokkan adabnya.” (H. Riwayat al-Baihaqi)

4) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

5) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

6) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

7) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

8) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

1 comment:

zainal said...

Walau dengan apa cara/bentuk sekalipun kita membalas jasa ibu bapa, ianya tidak sama dengan seteguk susu ibu, sesuap nasi, kasih sayang, keselamatan dll.

2.Namun begitu, terdapat segelintir anak yg sudah rasa bangga diri, bermegah apabila memberi hadiah,wang kepada ibu bapa. Lebih menyedihkan, mula mengungkit pemberian dan menempelak ibu bapa. Kekadang wujud juga keadaan di mana anak rasa riyak, menunjuk-nunjuk yg dialah anak yg taat, baik kerana sudah membalas ibu bapa dengan hadiah/material.

3.Wujud juga keadaan anak yang melawan cakap, mengasari, memalukan ibu bapa, bergaduh, bermasam muka, caci maki, menipu, seleweng duit ibu bapa dll. Ini lagi sedih....

4. Wahai ibu bapa! bersedialah untuk kamu ditinggal, kesunyian, keseorangan dan mungkin berakhir hidup di rumah orang tua melihatkan gelagat anak "globalisasi" masa kini.

5."Ya Allah!, aku insan yang lemah. Bantulah kami mendidik anak kami atas jalanmu yang lurus"

Wallahuaklam.