Rabu, 25 Rabiulakhir 1432H: Dari Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:”Tidak seorangpun di antara kamu melainkan telah ada jin yang ditugaskan pemimpinnya untuk selalu menggodanya:”Para sahabat bertanya:”Anda juga ya Rasulullah?” Jawab baginda:”Ya. Aku juga. Tetapi Allah selalu melindungiku dari godaan mereka sehingga mereka yang menggodaku akhirnya Islam (menyerah). Kerana itu mereka tidak berani menyuruhku melainkan untuk kebaikan.” (HR Muslim)
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya di Madinah terdapat sekelompok jin yang telah Islam. Maka sesiapa yang telah melihat jin-jin ini, beri izinlah dia tinggal selama tiga hari. Jika sesudah tiga hari telah diperingatkan supaya pergi, tetapi dia masih kelihatan, bunuhlah. Kerana itu adalah syaitan.” (HR Muslim)
Rasulullah s.a.w memerintahkan daku dengan bersabda: "Hendaklah engkau memohon perlindungan Allah daripada angkara syaitan-syaitan manusia dan jin". Aku pun meminta penjelasan Baginda s.a.w, dengan berkata: "Ya Rasulullah! Adakah manusia juga menjadi syaitan-syaitan?" Baginda menjawab: "Ya! Benar!". ( HR Abu Zar r.a)
Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.” (H.Riwayat Muslim)
Daripada Abdullah ibn Abbas r.ahuma, bahawa rasulullah pernah berdoa, “ ya Allah aku berserah kepada engkau, aku beriman kepada engkau, aku bertawakal kepada engkau, aku kembali kepada engkau dan aku berjuang kerana engkau. Ya Allah ,aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuatan engkau, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan engkau, janganlah aku disesatkan . Engkau yang hidup dan tidak akan mati sedangkan jin dan manusia semuanya akan mati ( Muttafiqun alaih) (H.Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pengajaran hadith:
1. Setiap manusia yang lahir disertakan 'qarin' oleh Allah yang bertugas sebagai 'penggoda' seseorang itu sejak seseorang itu lahir hinggalah saat kematiannya.
2. Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atas, Qarin adalah dari golongan jin. Ia sentiasa mengajak manusia yang didampingi ke arah kejahatan. Sedangkan sifat manusia itu lemah, mudah lupa menjadi penyebab terjerumusnya manusia ke lembah nista dan kemaksiatan akibat tergoda dengan hasutan qarin ini.
3. Hanya Rasulullah s.a.w sahaja yang tidak dapat digoda oleh Qarin. Dalam al-quran. Allah SWT berfirman: "Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi qarin (teman yang selalu menyertainya).(az-Zukhruf:36)
4. Kita diseru agar memohon perlindungan Allah supaya dijauhkan dari godaan syaitan.
5. Sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai teman hidupnya (mengikut hasutan) maka ia tergolong di kalangan mereka (sekutu syaitan) malah merekalah yang dikenali sebagai “syaitan manusia”.
6. Maka berwaspadalah dalam menjalinkan hubungan sesama manusia, janganlah sekali-kali terikut atau berkompromi dengan “syaitan manusia” ini kerana kesudahannya kita akan ditimpa malang (kemudharatan) akibat daripada kejahatan mereka.
7. Rumah adalah sebahagian daripada kesempurnaan nikmat pemberian Allah SWT kepada manusia. Rumah menjadi tempat tinggal, tempat berehat dan banyak lagi manfaat lain yang boleh diperoleh daripadanya. Itulah yang dikatakan Ibnu Katsir ketika mentafsirkan surat An Nahl ayat 80 “Dan Allah menjadikan bagi mu rumah-rumah mu sebagai tempat tinggal”. Justeru mereka yang dikurniakan kemampuan memiliki rumah sendiri tidak kira besar mahupun kecil perlu mensyukurinya.
8. Islam mengajarkan kita tata cara tertentu dalam mendirikan rumah atau menduduki rumah baru iaitu membanyakkan membaca surat Al Baqarah dari ayat pertama sehingga ayat terakhir. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Bacalah surat al- Baqarah di rumah kalian, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya dibacakan surat al-Baqarah”
9. Surah al-Baqarah menceritakan asal usul kejadian manusia, serta asal usul kemurkaan Allah kepada syaitan. Hakikat inilah yang melemahkan syaitan apabila kita membaca surah tersebut. Ia mendedahkan kelemahan mereka dan kehormatan kita yang dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah di dunia. Dengan membacakan surah al-Baqarah suasana rumah akan menjadi lebih tenang dan akan dijauhi daripada gangguan syaitan.
10. Jangan pula ketika memasuki rumah baru kita membawa masuk segala perkara baru yang bercanggah dengan agama seperti mengamalkan perkara khurafat dan ritual-ritual seperti memanggil dukun dan paranormal agar rumah terhindar daripada gangguan syaitan atau perkara-perkara ghaib. Semua ini jelas merupakan perbuatan syirik dan mengundang kemurkaan Allah!
11. Ketika di rumah sama ada rumah baru atau yang sudah lama didiami jangan sekali-kali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang syaitan untuk masuk dan tinggal di dalamnya seperti membawa masuk perkara-perkara haram dan maksiat, menyimpan patung berhala dan sebagainya. Mahukah kita mendiami rumah bersama-sama syaitan?
12. Ketahuilah bahawa syaitan sekali-kali tidak akan pernah berhenti berusaha untuk memasuki rumah orang-orang yang beriman dengan tujuan untuk menyesatkannya.
1 comment:
Rumah adalah keperluan utama dalam hidup manusia.
2.Rumah yg disinari 'nur' adalah rumah yang penghuninya berzikir, membaca Al quran, majlis ilmu, membaca & mengulangkaji, berkasih sayang sesama ahli keluarga. Rumah sebegini akan dilimpahi rahmat dan hidayah. Adalah menjadi tanggungjawab semua ahli keluarga untuk membawa 'nur' ini. Keadaan sebaliknya berlaku jika rumah yang dipenuhi dgn maksiat/dosa/mungkar.
3.Iblis & syaitan telah berikrar utk menyesatkan manusia. Misi utama mereka ialah memporak peranda ikatan keluarga. Justeru, rumah yg punyai "nur" berupaya menghalang misi syaitan.
4.Memohon perlindungan drp Allah dari godaan syaitan perlu dilakukan setiap detik kehidupan.
5.Selain itu, amalan menadah lebihan air wudhu semua ahli keluarga dan digunakan kembali untuk kegunaan seharian spt mandi, membasuh adalah langkah mengekang gangguan syaitan dlm rumah.
Wallahuaklam.
Post a Comment