Wednesday, May 4, 2011

Ilmu

Rabu, 30 Jamadilawal 1432H ;-Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”( al-Bazzar)

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai." ( Abu Umamah r.a)

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan."( Abu ad-Darda' r.a)

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh Malaikat langit dan bumi."( Ali r.a)

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".(HR At-Tarmizi dan Ad-Darimi)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat.”(HRt Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak.”(HR Abu Daud)

Pengajaran hadis:

1) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :

a. Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
b. Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
c. Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.

2) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.

3) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.

4) Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam.

5) Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian makhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya

6) Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-Nya.

7) Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.

8) Kita selaku umat Islam dilarang memperlekehkan golongan alim ulama’ dan penuntut ilmu agama ini kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa para malaikat sendiri seluruhnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada mereka disebabkan kemuliaan ilmu yang dituntut itu

9) Memberikan fatwa mengenai sesuatu masalah agama hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan yang berkaitan. Jika tidak, ia pasti akan membawa penyelewengan dalam hukum-hukum syarak.

10) Orang yang mengambil mudah dalam hal sebegini sehingga melakukan kesalahan dalam memberikan fatwa akan dimurkai Allah dan dilaknat oleh malaikat-Nya.

11) Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu.

12) Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu.

13) Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa ia kepada Allah S.W.T.

14) Islam sangat menghargai ilmu dan ulama (ilmuwan), sehingga kedudukan ilmu dan ulama sangat tinggi dan mulia dalam parameter Islam. Allah S.W.T telah berfirman: "... nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." (Al Mujaadalah [58]:

15) Kerana kedudukan ilmu yang sedemikian tingginya, maka Islam mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu, sehingga diharapkan mereka bekerja berdasarkan ilmunya, bukan sekadar mengikuti seseorang tanpa tujuan

16) Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan peradaban yang berguna serta memberikan gambaran yang betul tentangnya tanpa merasa iri hati atau tamak kerana orang yang memberikan ilmu berupa petunjuk akan dikurniakan balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang yang mengamal ilmu tersebut.

17) Orang yang berilmu dijanjikan Allah kedudukan yang tinggi di dunia mahupun di akhirat kelak.

18) Islam menuntut keihlasan niat dalam segala perkara termasuklah dalam menuntut ilmu sama ada yang berbentuk keduniaan atau ilmu agama. Dengan perkataan lain, setiap ilmu yang dituntut janganlah terkeluar daripada landasan syariat. Ia mestilah dimanfaatkan untuk kebaikan di dunia dan akhirat serta mengutamakan kebajikan manusia sejagat bukannya untuk kepentingan dunia semata seperti mengumpul harta, merebut kenaikan pangkat atau mengejar ‘glamour’ dan sebagainya.

19) Ilmu yang berkat adalah ilmu yang membuatkan seseorang itu semakin dekat dengan Allah SWT bukan menjadikan ia semakin jauh dan lalai sehingga melanggar hukum tuhan dan sanggup melakukan kemungkaran seperti keganasan, menipu, mencuri, merampas hak orang dan sebagainya.

1 comment:

zainal said...

Konsep belajar dan menuntut ilmu sepanjang hayat perlu ada pada setiap individu.

2.MUngkin kita Phd. dlm apa jua bidang tapi tahap tadika dlm ilmu tauhid, ibadah, tasauf. Mungkin kita pakar membaca pantas tapi tahap taska dlm membaca Al Quran, hadis dan kitab agama.

3.Belajarlah kerana manfaat dan faedahnya sgt tinggi. Org berilmu tak akan tertipu, org berilmu dihormati, org berilmu disayangi, org berilmu ada pendirian, org berilmu tidak sesat jalan.

4.Belajarlah juga dgn "alam dan isinya" kerana ia guru semulajadi yg menuntut manusia utk berfikir.

wallahuaklam.